Mengapa perlu rangsang otak bayi awal? Otak adalah seperti rangkaian dan talian telefon dengan ibusawatnya dan cabang-cabang semua sekali. Berbagai rangsangan dan pengalaman akan disalurkan sebagai maklumat letrik. Maklumat-maklumat ini akan diperoses dan disimpan dalam cerebral cortex.

Dengan rangsangan yang banyak dan bertubi-tubi lebih banyak sel-sel neuron akan digunakan dan sel-sel tersebut akan terus hidup dan bertambah cabang dendrites dan synapses. Sel-sel yang tidak digunakan akan dicantas dengan satu proses ‘pruning’. Lebih penting lagi rangsangan awal akan meningkatkan dendrites dan synapses serta memperkukuhkan selaput wayar dendrites dengan myelin sheath.

Rangsangan sensori iaitu pendengaran, penglihatan dan sentuhan pada umur awal bayi akan mencetuskan jaluran saraf yang digelar ‘sensory superhighway’. Ia amat penting dalam proses pembelajaran bahasa, matematik dan sains nanti. Anak ini akan mempunyai kemahiran-kemahian unik saperti pantas baca (fast reading), mudah faham dan daya ingatan (memori) yang cemerlang.

Oleh itu ibu perlu terus menerus merangsang dan mengajar bayi ilmu dan kemahiran seperti pertuturan dan kemahiran bahasa melalui percakapan dan tunjuk ajar dengan menggunakan gambar-gambar dan angka pada flash card. Pencapaian kemahiran bertutur dan bahasa adalah terbaik sehingga umur 5 tahun.

Ujian ke atas haiwan seperti tikus, kucing dan monyet yang tidak mendapat rangsangan sensori tertentu pada peringkat awal kehamilan didapati mengalami kepincangan dalam deria-deria sensori yang penting. Kemahiran dalam bidang seni muzik juga sebaiknya dicapai sebelum umur 7 tahun.

Perkembangan Otak

Otak adalah mesin ajaib ciptaan Allah SWT. Ia adalah organ terpenting untuk manusia kerana mengawal segala organ lain, anggota badan, fungsi hidup , pergerakan, emosi , pemikiran intelek dan seterusnya. Ia mula tumbuh 3 minggu selepas persenyawaan benih. Pertumbuhan sel-sel otak iaitu neuron berlaku terus sehingga akhir hayat.

Ketika kehamilan berumur 5 bulan beberapa billion sel otak telah tumbuh. Ketika lahir otak bayi mengandungi 100 billion sel neuron dan proses ini berterusan hingga mencapai beberapa trillion sambungan dendrites dan synapses.

Otak dan saraf pada asasnya terdiri daripada 3 bahagian iaitu saraf tunjang (bawah), pangkal otak (tengah) dan cerebral cortex (atas). Ketika lahir pembentukan otak bayi sudah sempurna tetapi saiznya hanya 20% daripada saiz otak orang dewasa. Otak terus tumbuh membesar dan mencapai 80% saiz dewasa pada umur 2 tahun dan 90% saiz dewasa pada umur 5 tahun.

Pertumbuhan ini adalah hasil pembiakan sel-sel neuron hingga mencapai beberapa trillion bilangannya di samping tumbuh wayar-wayar penyambung antara sel-sel nueron bernama dendrites. Setiap sel neuron mempunyai beberapa ribu (lebih 5000) dendrites yang fungsinya adalah menyalurkan maklumat. Setiap dendrite disambungkan dengan dendrite daripada neuron lain melalui synapses. Dendrite-dendrite ini disaluti oleh myelin sheath. Jika lebih tebal salutan myelin sheath maka lebih cekap dan pantas penyaluran dan pemprosesan maklumat.

Apakah keupayaan otak ketika lahir?

Ketika lahir otak bayi berfungsi secara refleks sahaja di mana fungsi-fungsi seperti pernafasan, denyutan jantung, menangis, tidur, menelan, kencing , gerakan tangan dan kaki yang tidak berkoodinasi dikawal oleh saraf tunjang dan pangkal otak. Sedangkan bahagian otak atas (cerebral cortex) menjalankan berbagai tugas motor dan sensori, bahasa, pemikiran intelek dan kreatif, memori, emosi, logik, kemahiran sains dan matematik. Lain-lain kebolehan belum berfungsi lagi.

Apakah cara-cara terbaik untuk merangsang otak bayi?

Rangsangan sensori

1. Rangsang pendengaran

2. Rangsang penglihatan

3. Rangsang sentuhan

Menggalakkan gerakan motor

1. Meniarap dan menyelar (gerakan menjalar) . Gunakan Crawling Track.

2. Meningkatkan imbangan/balancing

3. Merangsang pertuturan bahasa dengan percakapan dan flash card.

4. Meningkatkan kawalan dan pergerakan berkoordinasi.

Mana lebih penting – baka atau persekitaran dalam perkembangan otak?

Ramai yang berfikiran bahawa kepintaran dan kecerdasan otak hanya dipengaruhi oleh baka dan genetik. Anggapan saperti ini tidak tepat. Malah faktor persekitaran memainkan peranan lebih penting daripada faktor baka.

Baka dan genetik hanya menyediakan prasarana otak iaitu pembentukan berbillion sel-sel neuron dan rangkaian trillion dendrites dan synapses. Persekitaran yang terdiri daripada pengalaman, rangsangan, pendidikan dan pendedahan sangat penting untuk menjadikan otak cerdas dan pintar.

Otak kita diprogramkan untuk memahami percakapan, membezakan bunyi percakapan, menganalisa perkataan dan maknanya serta mengatur dan menyusun perkataan-perkataan menjadi ayat. Tetapi bahasa yang dikuasai oleh anak, banyaknya vocabulary atau perbendaharaan kata juga gaya dan telo pertuturan bahasanya bergantung pada pendedahan serta pengalaman yang didapati daripada persekitaran bertahun lamanya.

Waktu kritikal dalam perkembangan otak anak

Perkembangan otak anak bergantung pada aktiviti, pengalaman dan pendedahan. Otak adalah seperti komputer dan memproses maklumat-maklumat sensori, motor, emosi dan kognitif melalui pancaran eletrik. Tetapi circuit komputer terhad atau fixed, sedangkan neural circuit atau litar dalam otak kita dinamik. Ia sentiasa berubah dan berkembang menjadi semakin kukuh jika ada aktiviti rangsangan secara terus menerus. Rangkaian neuro yang tidak dipakai akan dicantas dan dihapuskan melalui proses pruning.

Proses ‘pruning’ atau pemilihan rangkaian neuro yang aktif dan berfungsi berlaku terus menerus seumur hidup kita. Tetapi ia berlaku jauh lebih banyak ketika zaman kanak-kanak. Kajian-kajian neurosains ke atas berbagai haiwan saperti kucing, tikus dan monyet menunjukkan wujudnya waktu-waktu kritikal bagi perkembangan otak. Tetapi pada manusia perkara ini agak kurang jelas.

Walau demikian pada bayi penglihatan yang normal sejak lahir adalah penting dalam membentuk kemahiran bahasa dan pertuturan. Atas dasar ini program Bina Minda Jabal Nur menekankan kepentingan merangsang sensori penglihatan sejak lahir. Waktu kritikal untuk perkembangan dalam kemahiran bahasa dan pertuturan mula ditutup daripada umur 5 tahun hingga remaja. Seseorang yang mempelajari sesuatu bahasa bukan ibunda selepas umur remaja tidak akan dapat bertutur seperti orang yang memiliki bahasa tersebut.

Pakar-pakar neurosains kurang jelas fahaman mereka tentang perkembangan fungsi-fungsi otak yang lain saperti emosi, kemahiran matematik atau muzik. Mereka juga kurang faham apakah asas biologi untuk waktu kritikal tersebut. Satu teori mengatakan antara umur bayi sehingga sekolah rendah otak membina rangkaian neuro yang sangat berlebihan, digelar synaptic excess. Hanya 50 % akan kekal sehingga umur dewasa. Dalam jangka umur waktu kritikal, pengalaman dan pendedahan – sensori, motor, emosi dan intelek- akan menentukan rangkaian neuro yang mana akan dikekalkan dan seterusnya diperkukuhkan, manakala yang lain akan dicantas dan dihapuskan. Dengan pembelajaran melalui pengalaman dan pendedahan yang berulang-ulang terhadap kanak-kanak, semakin kukuh rangkaian neuro (neural circuits) tersebut.

Bilakah otak mencapai pertumbuhan maksima?

Ini tidak akan berlaku kerana otak kita akan terus berubah fungsi mengikut keperluan dan cabaran harian. Mungkin pertumbuhan sel-sel neuron dan rangkaian neuro (dendrites dan synapses) akan level off atau jadi mendatar pada suatu tahap, iaitu kekal bilangan, yang mati sekadar diganti dengan yang baru. Otak bayi berfungsi jauh lebih lambat daripada otak dewasa dalam memproses maklumat – otak dewasa 16 kali lebih cepat daripada otak bayi. Kelajuan memproses ini meningkat dengan lonjakan daripada umur bayi dan kanak-kanak lalu mencapai tahap maksima pada umur 15 tahun.

Kelajuan memperoses maklumat dicapai melalui proses penyalutan myelin pada jaluran axon – digelar myelination. Myelin terdiri daripada bahan lemak, semakin tebal semakin cekap dan laju menyalurkan maklumat antara sel otak kepada yang lain. Myelination berlaku sejak bayi dilahirkan dan paling aktif dalam tempoh umur dua tahun petama. Ia berterusan secara perlahan sehingga umur 30 tahun.

Meningkat dan mempercepatkan proses myelination adalah asas program Bina Minda Jabal Nur. Kita mulakan dengan rangsangan sensori – pendengaran, penglihatan dan sentuhan sejurus lepas lahir sehingga berumur 2 tahun.

Apakah makanan terbaik untuk otak bayi?

Pertumbuhan otak bayi sangat sensitif terhadap bekalan makanan daripada umur kehamilan 5 bulan hingga umur bayi 2 tahun. Bekalan makanan perlu seimbang, berkhasiat dan berzat, mengadungi karbohidrat, protin dan lemak serta logam dan vitamin. Kekurangan makanan dan kebuluran kepada ibu akan menyekat pertumbuhan jasad dan otak bayi, menyebabkan bayi ringan timbang berat ketika lahir. Saiz otaknya kecil dan kurang pertumbuhan dendrites, kurang myelination dan kurang sel glial ( sel sokongan otak ). Akibatnya bayi mengalami kerencatan mental khususnya kelemahan intelek, IQ rendah, lemah pertuturan bahasa dan matematik membawa kepada prestasi rendah di sekolah. Sangat penting ibu hamil makan bahan-bahan berzat dan berkhasiat, tambah protin (lauk-pauk) 10 – 15 gm setiap hari.

Selepas lahir bayi bergantung sepenuhnya pada penyusuan ibu. Sangat penting ibu sihat dan pemakanannya lebih berkhasiat dan berzat untuk proses pemulihan dan penyusuan. Suplemen-suplemen vitamin dan logam kalsium juga iron (besi) perlu digandakan. Amalan pantang makanan dan jamu perlu dibasmi kerana mengganggu pengeluaran susu.

Susu ibu adalah sumber pemakanan bayi yang terbaik untuk pertumbuhan otak. Ia mengandungi segala bahan dan zat makanan – karbohidrat, protin dan lemak, logam serta vitamin yang diperlukan untuk pertumbuhan jasad dan otak bayi. Apabila mencapai umur 6 bulan , di samping susu ibu bayi perlu tambahan zat besi untuk pembentukan sel-sel darah merah yang membekalkan oksigen kepada otak. Titisan vitamin yang mengandungi vitamin dan logam besi boleh diberikan.

Dalam dua tahun pertama umur bayi ketika mana pertumbuhan myelination pada jalur-jalur axon giat berlaku dalam otak bayi penting sekali makanan bayi mengandungi lemak dan minyak dengan kandungan Omega 3, DHA dan Omega 6. Amalan kita memberi minyak ikan saperti cod liver oil perlu diteruskan. Bahan-bahan tersebut juga banyak didapati dalam ikan makerel (mackerel), kembung, tenggiri dan salmon. Selepas umur satu tahun bayi boleh diberi susu lembu yang mengandungi protin dan lebihan lemak. Dan mulai 2 tahun ke atas makanan anak perlu mengandungi protin dan lemak daripada daging, ayam, ikan dan sayuran.

Toksin yang perlu dijauhkan

Barang-barang mainan khususnya perlu tidak diperbuat daripada PVC atau mengadungi logam plumbum dan arsenik. Ini kerana mengikut kajian banyak barang mainan kanak-kanak buatan negara Cina mengandungi toksin . Bayi memang suka memasukkan mainan ke dalam mulut dan menggigit barang mainan . Barang-barang bertoksin mempunyai kesan buruk tehadap otak bayi.

Racun serangga dalam pelbagai bentuk seperti semburan, pelet dan kertas pelekat juga merbahaya bila terkena pada bayi. Waspadalah dengan penggunaan semburan racun serangga.

Berbagai jenis pencemaran dan keracunan berada di persekitaran kita. Jauhkan bayi daripada bahan-bahan tersebut demi untuk menentukan pertumbuhan otak yang sihat.

Sumber: Dr. Hamid Arshat