Bolehkah bayi minum air putih? Sudah tentu boleh, namun ibu harus menunggu si manja mencapai usia yang disarankan atau terdapat risiko yang boleh dialami mereka.
Bolehkah bayi minum air putih?
Sehingga si manja mencapai usia 6 bulan, minuman terbaik untuk diberikan adalah susu ibu atau susu formula – kedua-duanya mempunyai penghidratan dan nutrien yang diperlukan dalam tempoh awal kehidupan.
Walaupun selepas memperkenalkan makanan pejal apabila bayi mencecah usia 6 hingga 12 bulan, susu ibu dan susu formula masih menjadi keutamaan berbanding air putih.
Namun pada tempoh ini, anda boleh mula memperkenalkannya kerana ia dapat membantu mencegah sembelit.
Jumlah air yang boleh diberikan adalah sekitar 4-8 auns sehari. Jika berlebihan ia boleh menyebabkan mabuk air (water intoxication).
Di samping itu, terlalu banyak air putih boleh menggantikan nutrisi berharga daripada susu ibu atau formula dan menyebabkan ketidakseimbangan elektrolit bayi.
Fahami risiko terlebih air
Bayi yang minum air dengan berlebihan adalah sangat berbahaya. Air boleh menyebabkan ketidakseimbangan paras natrium yang mengakibatkan:
Sawan
Kerosakan otak
Koma
Kematian
Water intoxication membawa kepada perubahan tingkah laku seperti:
Kekeliruan
Mengantuk
Kekejangan otot
Pening dan muntah
Kesukaran bernafas
Lemah
Penting untuk ibu ayah memerhatikan tanda-tanda jika bayi mengalami mabuk air dan melakukan pemeriksaan doktor dengan segera sekiranya mempunyai sebarang kebimbangan.
Ads
Cara memperkenalkan air kepada si manja
Kaedah terbaik untuk mengajar bayi minum air adalah melalui cawan atau menggunakan penyedut minuman (straw) – dapat membantu mengembangkan kemahiran minum si manja.
Percaya atau tidak, air sebenarnya merupakan antara cecair yang paling sukar untuk dipelajari teknik meminumnya.
Ini kerana air boleh mengalir dengan cepat, sekali gus memerlukan lidah dan otot menelan untuk bekerja dengan sangat cepat. Usah risau sekiranya si manja batuk-batuk kecil apabila baru belajar untuk minum air putih.
Amnya, kemahiran motor lisan yang diperlukan untuk minum air daripada cawan atau penyedut minuman adalah berbeza daripada pergerakan penyusuan susu ibu atau botol.
Jadi ia adalah normal apabila bayi mengalami batuk atau memuntahkan kembali air putih yang diminum. Keadaan ini akan berkurangan apabila kemahiran bayi minum air bertambah baik.
Ads
Namun, sekiranya batuk berterusan ketika bayi minum air putih walaupun selepas beberapa bulan masa latihan, berundinglah dengan pakar pediatrik.
Elakkan daripada menawarkan air putih di dalam botol. Ia boleh mengakibatkan pengambilan air terlalu banyak dan tidak memberikan manfaat kepada perkembangan kemahiran motor oral bayi.
Tanda bayi minum air secukupnya
Pertama sekali, anda harus ingat bahawa hampir 90% daripada susu ibu dan formula bayi (campuran standard) adalah air!
Anak berusia kurang daripada 12 bulan jarang memerlukan air tambahan.
Tetapi mengamal dan mengajar bayi minum air putih menggunakan cawan pada usia ini memberikan manfaat kepada perkembangan dan membantu mereka menyesuaikan diri dengan rasa cecair selain susu ibu atau formula.
Untuk mengetahui sama ada si manja mendapat air yang secukupnya adalah apabila mereka mempunyai antara 4-6 lampin basah dalam tempoh 24 jam.
Ads
Tanda bayi tidak cukup air atau dehidrasi pula termasuklah:
Bibir merekah
Sedikit atau tiada air mata apabila menangis
Mata kuyu
Warna air kencing gelap
Ubun kepala (anterior fontanelle) tenggelam
Cerewet atau meragam
Mengantuk yang berlebihan
Sekiranya anda bimbang bayi mengalami dehidrasi atau tampak terlalu dahaga, ia mungkin petanda wujud masalah kesihatan. Jadi lakukan pemeriksaan doktor segera!
Cara menggalakkan anak minum
Tip terbaik untuk menggalakkan bayi minum air adalah dengan menunjukkan kepada mereka cara melakukannya.
Jika bayi tidak berminat untuk belajar minum melalui cawan:
Cuba menuangkan air ke dalam cawan di hadapan bayi.
Ketuk meja untuk menarik perhatian bayi.
Minum sendiri air daripada cawan bayi.
Serahkan cawan kepada bayi di udara dan perhatikan sama ada dia mencapainya atau cuma bersandar.
Bagi anak yang lebih berusia, anda boleh ajar mereka menuang air daripada jag ke dalam cawan sendiri.
Lebih banyak anda memberikan kebebasan dan kawalan kepada anak, lebih cepat mereka akan meneroka, menyentuh dan berkemungkinan besar, minum air putih.
Anda juga boleh menambah potongan buah di dalam air atau daun pudina sebagai menambah rasa dan menjadikan ia lebih menarik untuk diminum.
Cara terakhir yang boleh anda cuba adalah dengan menawarkan air minuman anda. Ini kerana anak-anak biasanya akan lebih mudah tertarik untuk mencuba dan meminum air kepunyaan ibu dan ayah.
Anda boleh menawarkan antara 1-2 auns air di dalam cawan kecil untuk menggalakkan bayi minum air dengan sendiri. Bawa cawan tersebut hampir dengan si manja dan biarkan mereka mencapainya sendiri.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lima Ogos lalu menjadi detik terindah buat penyanyi, Shila Amzah yang kembali bergelar isteri apabila sah menjadi isteri kepada influencer, Ubai.
Banyak perkongsian gambar-gambar indah sepanjang majlis berlangsung dikongsikan oleh Shila menerusi Instagramnya.
Namun sekeping gambar di pelamin bersama buah hati tersayang, Seth Uwais, anak Shila bersama bekas suami menjadi foto kenangan paling bermakna.
Tambah menarik perhatian pastinya kapsyen lucu Shila bersama anak dan suami.
“Lepas ni tengok gambar kahwin, takde lah Seth tanya kenapa tak invite dia pergi wedding,” seloroh Shila di kapsyennya.
Teramat bertepatan sekali bila mana Shila menulis kapsyen sebegitu. Ayat-ayat biasa yang selalu ditanyakan oleh anak-anak kita kepada mak ayahnya. Memang lucu!
Dalam pada itu, Shila dan Ubai atau nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli turut mengucapkan terima kasih di atas semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan majlis pernikahannya di The Boathouse Ampang, Kuala Lumpur tempoh hari.
Terdahulu, Shila Amzah pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki pada 2018 sebelum sah bercerai pada 8 Februari 2022 setelah empat tahun bergelar suami isteri. Shila turut mempunyai seorang cahaya mata, Seth Uwais yang dilahirkan pada 31 Ogos 2019.
Bakal melahirkan anak keempatnya sedikit masa lagi, juruhias dan dandanan yang cukup dikenali, MUA Bellaz berkongsi sudah pun mempersiapkan nama untuk anak keempatnya itu.
Menerusi Insta Storynya, MUA cantik jelita ini membuka pertanyaan untuk berinteraksi bersama pengikutnya di IG.
Tidak hanya memberi bayangan nama anak keempatnya, bahkan Bellaz turut menjawab beberapa pertanyaan lain mengenai berpantang dan kehamilannya kali ini.
“Baby NNN, ada 3 N,” tulisnya ringkas menjawab pertanyaan pengikutnya.
Memberi bayangan huruf NNN, pengikut Bellaz sudah mula berteka-teka nama cantik yang dipilihnya oleh Bellaz dan suami.
Dalam pada itu, menjawab pertanyaan pengikutnya mengenai tempoh berpantangnya kali ini, kata Bellaz ianya sama sahaja seperti kebiasaannya namun kali ini bakal dijaga oleh ibunya sendiri berbanding sebelum ini bersama ibu mentuanya.
“Maa kami lah jaga, excited dia nak jaga sebab sebelum ini arwah ibu mentua Bellaz dengan kak ipaq.
“Insyallah tahun ni dia yang nak jaga dia kata,” kongsinya lagi.
Bahkan kata Bellaz lagi, sepanjang berpantang tiga anaknya sebelum ini dia tidak pernah menggunakan khidmat Confinement Lady (CL) dan hanya berpantang sendiri sambil dibantu suaminya serta ibu mentua yang setia menjaganya ketika berpantang.
“Yess tak pernah rasa ambik CL lagi dan tak ada maid semua urus sendiri dengan suami.
“Cuma kalau ada event apa mintak tolong kakak biras abang ipar tolong jagakan anak-anak.
“Kalau berpantang mak, kakak-kakak tolong jagakan,”tulisnya lagi.
Ibu kepada tiga cahaya mata ini dijangka bakal melahirkan bayi keempatnya ini pada penghujung Julai ini.
Terdahulu, Mua Bellaz mempunyai tiga orang cahaya mata, Iris Arisya, Mohd Aidil Mikhali dan Ean Yusof.
Epal yang dipotong selalunya akan menjadi lebam dan kelihatan kurang menarik. Apabila terlalu lama disimpan dan tidak dimakan, epal juga menjadi kurang rangup. Bila sudah lebam dan kurang rangup tentu tiada siapa sudi menjamahnya.
Bagi mengelakkan pembaziran ada beberapa tip yang boleh dipraktikkan. Melalui perkongsian Lailatul Munira Zainuddin empat petua ini boleh kita gunakan jika mahu mengupas dan memotong epal.
EMPAT PETUA ELAK BUAH EPAL LEBAM LEPAS POTONG WALAUPUN TERDEDAH
Boleh guna cara 1 dan 2 kalau bawa bekal buah, lepas letak dalam bekas bertutup- simpan peti sejuk di bahagian chiller.
1. Air garam
Sediakan air biasa, tambah secubit garam kemudian rendam hirisan epal ke dalam air tersebut sekejap. Saya rendam dalam 5 minit saja, kemudian toskan. Garam tu jangan banyak sangat sebab nanti buah epal akan masin. Agak-agak saja.
2. Madu
Selain daripada petua yang saya biasa gunakan, ada lagi beberapa petua yang saya ingin kongsikan. Yalah, mungkin ada orang tak suka rasa masin garam pada buah epal. Jadi, bolehlah menggunakan madu.
Caranya pun mudah. Cuma campurkan 2 sudu madu dengan segelas air biasa. Kemudian, rendam potongan epal ke dalam campuran itu selama beberapa minit. Lepas itu, toskan dan sudah boleh dihidangkan.
3. Jus lemon
Hanya perlu perah sedikit jus lemon ke dalam air. Kemudian, rendam potongan epal beberapa minit dan toskan sebelum dihidang.
4. Pisau tajam dan limau nipis
Gunakan pisau tajam untuk memotong epal. Tapi sebelum itu, sapu atau lengserkan pisau dengan limau nipis. Kemudian baru potong epal seperti biasa.
Petua ini pun boleh digunakan untuk mengelakkan kita ‘menangis’ masa nak potong bawang. Cubalah! Kalau tak ada jus lemon, boleh juga gantikan dengan jus limau nipis atau apa-apa jus buah yang bersifat sitrus seperti oren atau nanas. Petua ini juga boleh digunakan untuk buah pear, lai, pisang, atau buah-buahan lain.
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.