
Dunia digital hari ini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan anak-anak kita. Seawal usia tiga atau empat tahun pun sudah tahu buka telefon, main permainan video dan melayari internet sendiri. Tapi awas ibu ayah, tidak semua permainan video sesuai untuk si kecil. Jika dibiarkan tanpa pengawasan, anak-anak boleh terdedah kepada permainan video ganas yang boleh menggugat kestabilan emosi dan mental mereka.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, kanak-kanak yang sering bermain permainan video ganas tanpa kawalan ibu bapa berisiko tinggi mengalami masalah kesihatan mental. Dunia digital masa kini memberi ruang luas untuk anak-anak terdedah kepada pelbagai kandungan yang boleh mempengaruhi minda dan emosi, katanya.
Kanak-kanak belajar dengan memerhati dan meniru. Bila mereka kerap bermain permainan yang mengandungi unsur pergaduhan, tembakan atau pembunuhan, lama-kelamaan mereka boleh jadi kurang empati dan agresif. Malah, sesetengahnya mudah marah atau cepat gelisah bila dilarang bermain permainan video ganas.
Dr Dzulkefly menjelaskan, masalah kesihatan mental boleh dialami sesiapa sahaja tanpa mengira usia. Namun, kanak-kanak adalah golongan rentan yang memerlukan perhatian dan sokongan daripada keluarga serta masyarakat.
“Tekanan emosi, keresahan dan kemurungan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja apabila berdepan tekanan hidup,” ujarnya.
Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan besar untuk memantau apa yang anak-anak tonton dan main. Jangan serah bulat-bulat telefon atau tablet tanpa had masa. Tetapkan masa bermain permainan video ganas supaya anak tidak ketagihan dan tahu batas.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menjalankan pelbagai inisiatif dalam menangani isu kesihatan mental akibat permainan video ganas dan tekanan digital. Antaranya termasuk talian bantuan Hotline 15555 dan Program K-Mindset, yang menerima peruntukan sebanyak RM21.6 juta bagi melatih pemimpin komuniti mendekati serta membantu individu berisiko di kawasan masing-masing.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Paru-Paru & Minda Sihat 2025 bersama Program Rahmah Mesra Santuni MADANI, yang juga memperkukuh kesedaran mengenai penyakit paru-paru dan bahaya rokok elektronik atau vape.
Sebagai ibu bapa moden, kita tidak boleh elak anak daripada dunia teknologi. Namun, tugas kita adalah memastikan mereka menggunakan gajet dengan cara yang betul dan seimbang. Permainan video ganas boleh jadi menyeronokkan pada pandangan mereka, tetapi ibu bapa perlu mendidik supaya hanya memilih permainan yang membina minda, bukan merosakkan emosi.
Jika anak menunjukkan tanda kemurungan atau ketagihan terhadap permainan video ganas, jangan tunggu lama untuk dapatkan bantuan. Kesihatan mental anak sama pentingnya dengan kesihatan fizikal mereka.
BACA LAGI : WHO Iktiraf Ketagih Permainan Video Sebagai Gangguan Kesihatan Mental. Awasi Anak Anda!
Sumber: Harian Metro