
‘Misi’ bahaya inspirasi Roblox, murid Tahun 2 jadi kapla arah rakan terjun! Itulah kejadian mengejutkan yang mencetuskan kebimbangan ramai ibu bapa apabila seorang murid perempuan sekolah rendah hampir mencederakan diri sendiri kerana terpengaruh dengan permainan dalam talian.
Kisah ini dikongsikan oleh Khairul Ahmad Fitri Suhaimi di Facebook, yang menceritakan pengalaman menimpa anak saudaranya sendiri. Menurutnya, kanak-kanak perempuan itu menerima ugut dan arahan pelik daripada seorang rakan sekelas yang digelar sebagai “kapla”, yang sering memberi tugasan kepada kawan-kawannya seperti dalam satu permainan maya.
Dalam perkongsian itu, Khairul menjelaskan bagaimana ‘kapla’ memberikan misi pertama kepada anak saudaranya mencium seorang pelajar lelaki. Namun apabila kanak-kanak itu menolak, dia menerima misi kedua yang jauh lebih berbahaya iaitu terjun dari tingkat satu bangunan sekolah.
Anak saudaranya menolak dengan berkata, “Kenapa pula aku kena terjun, hang la terjun.”
Tindakan itu membuatkan ‘kapla’ berang lalu mengarahkan seorang lagi rakan sekelas untuk mendukung dan membaling anak saudaranya keluar dari tingkap. Mujurlah rakan tersebut enggan melakukannya kerana bersahabat baik dengannya.
Lebih menyedihkan, ‘kapla’ kemudian mengeluarkan kata-kata tajam, “Aku bukan sayang hang pun. Kalau hang mati pun biar ja la.”
Selepas kejadian, keluarga kanak-kanak itu segera memaklumkan perkara tersebut kepada guru kelas dan pihak sekolah. Ibu mangsa kini mengalami anxiety dan vertigo akibat trauma mendengar pengakuan anaknya sendiri. Manakala si kecil itu tidak hadir ke sekolah selama tiga hari kerana masih ketakutan.
Perbualan dengan ibu bapa pelajar lain turut mendedahkan bahawa ini bukan kali pertama ‘kapla’ memberi misi pelik kepada rakan sekelas. Antara misi lain termasuk mengetuk tangan menggunakan pen atau gunting, serta mencucuk buku hingga koyak – semuanya dipercayai terinspirasi daripada misi dalam permainan Roblox.
Permainan Roblox memang popular dalam kalangan kanak-kanak kerana memberi peluang kepada mereka “mencipta dunia sendiri”. Namun, di sebalik keseronokan itu, ada unsur pergaulan tanpa kawalan dan cabaran berisiko yang boleh mempengaruhi anak-anak meniru aksi berbahaya.
Tanpa pengawasan, anak mudah terserap ke dalam dunia maya dan gagal membezakan antara realiti dan fantasi. Sebab itulah, peranan ibu bapa amat penting untuk memantau setiap aktiviti anak ketika bermain.
Berikut beberapa langkah yang boleh ibu bapa lakukan untuk elak kejadian sebegini:
Kisah murid Tahun 2 ini bukan sekadar kisah tular, tetapi peringatan besar buat semua ibu bapa. Dunia digital kini menjadi sebahagian kehidupan anak-anak, dan kita tidak boleh menafikannya. Namun, pengawasan dan bimbingan daripada ibu bapa amat diperlukan supaya mereka tidak hanyut dalam pengaruh dunia maya yang berisiko.
Sebagai ibu bapa, jadilah rakan kepada anak dalam setiap perjalanan mereka termasuk dalam dunia permainan digital. Kerana dalam dunia mereka yang penuh imaginasi, kitalah sempadan yang menentukan mana yang benar dan mana yang bahaya.
BACA LAGI : Roblox Antara Permainan Bakal Dilesenkan Kerajaan Demi Lindungi Anak-Anak Kita