
Tragedi menyayat hati menimpa sepasang suami isteri apabila bayi perempuan mereka berusia lima bulan, Ruhi Minote, meninggal dunia selepas diberi minum sirap batuk herba yang dibeli dari sebuah kedai perubatan swasta di pekan Bichua.
Kejadian yang berlaku pada pagi Khamis itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat apabila sirap batuk herba sekali lagi menjadi punca kematian bayi, selepas beberapa kes serupa dilaporkan bulan lalu.

Menurut laporan Sinar Harian, ibu bapa Ruhi pada mulanya gagal mendapatkan rawatan di pusat kesihatan kerajaan berhampiran. Mereka kemudian mendapatkan rawatan di sebuah kedai ubat tempatan, Kurethe Medicals, yang memberikan beberapa paket ubat dan sebotol sirap batuk herba untuk diminum oleh bayi berkenaan.
“Pada mulanya keadaan anak saya kelihatan bertambah baik, namun semakin teruk keesokan harinya. Bila kami bawa ke pusat kesihatan komuniti pada Khamis, doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” kata bapa mangsa, Sandip Minote dengan nada sebak.
Bahaya Sirap Batuk Herba Yang Tidak Diuji Secara Klinikal
Daerah Bichua sebelum ini pernah menjadi tumpuan negara apabila sekurang-kurangnya 20 kanak-kanak maut akibat kegagalan buah pinggang akut selepas mengambil sirap batuk herba tercemar bulan lalu. Kes terbaru ini sekali lagi membuka mata ramai tentang bahaya ubat yang tidak diuji dan disahkan secara saintifik.
Ketua Balai Polis Bichua, Satish Uikey, memaklumkan dua lelaki yang mengendalikan kedai ubat tersebut kini sedang disoal siasat. Semua ubat di kedai berkenaan telah dirampas dan dihantar untuk diuji oleh Jabatan Makanan dan Ubat-Ubatan serta Jabatan Kesihatan negeri.
“Jika terbukti ada unsur kecuaian, tindakan tegas akan diambil,” ujarnya.
Kedai ubat tersebut juga telah ditutup sementara bagi tujuan siasatan lanjut.

Ibu Bapa Perlu Lebih Peka: Jangan Ambil Mudah Soal Ubat Anak
Pakar perubatan menegaskan bahawa bayi bawah usia dua tahun tidak sepatutnya diberi sebarang ubat batuk atau selesema tanpa nasihat doktor. Ini kerana sistem hati dan buah pinggang bayi masih belum matang untuk menapis bahan kimia atau herba tertentu yang mungkin toksik.
Dr. Aina, Pakar Pediatrik, menjelaskan bahawa walaupun ubat herba sering dikatakan “semula jadi”, tidak semua bahan herba selamat untuk bayi.
“Ramai ibu bapa menyangka ubat herba tidak berbahaya kerana dibuat daripada tumbuhan, tetapi hakikatnya ada bahan yang boleh menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang bayi,” katanya.
Langkah Selamat Bila Anak Batuk Atau Selesema
Sebagai ibu bapa, langkah terbaik ialah memilih rawatan yang selamat, sah dan terbukti berkesan. Antara langkah yang boleh dilakukan ialah:
- ✅ Pastikan anak cukup menyusu – Susu ibu membantu meningkatkan imunisasi semula jadi bayi.
- ✅ Gunakan wap air suam atau humidifier – Membantu bayi bernafas lebih selesa.
- ✅ Pastikan bayi cukup rehat dan berada di persekitaran bersih.
- ✅ Segera ke klinik atau hospital jika bayi menunjukkan tanda sesak nafas, demam tinggi atau tidak aktif seperti biasa.
Kematian kecil seperti Ruhi bukan sekadar satu angka dalam laporan berita. Ia satu peringatan besar untuk semua ibu bapa agar lebih berhati-hati dalam memberikan ubat kepada anak kecil.
Setiap titisan ubat yang diberi mesti dipastikan selamat, berdaftar dengan KKM dan sesuai dengan usia bayi. Jangan kerana mahu anak cepat sembuh, nyawa si kecil pula yang menjadi taruhan.
Kesimpulan: Lindungi Anak Daripada Bahaya Sirap Batuk Herba
💔 Semoga kisah ini menjadi pengajaran buat semua ibu bapa agar lebih peka dan berhati-hati dalam menjaga amanah paling berharga iaitu nyawa anak kecil kita. Elakkan penggunaan sirap batuk herba yang tidak diuji klinikal, dan sentiasa dapatkan nasihat doktor sebelum memberi sebarang ubat kepada bayi.
BACA LAGI : Ini senarai Ubat Batuk & Selesema Yang Tak Sesuai Untuk Anak Bawah 2 Tahun, Mak Ayah Kena Alert!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!











