Bantal Busuk Teman Setia Anak Rupanya Sarang Bakteria – Pakar Pediatrik Dedah Bahayanya!

Share

Hampir setiap anak kecil ada bantal busuk kesayangan mereka, sama ada berbentuk bantal, selimut atau patung soft toy. Objek ini jadi teman setia yang tak boleh dilepaskan ke mana saja mereka pergi. Nampak comel, tapi tahukah ibu ayah bahawa bantal busuk sebenarnya boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan anak jika tidak dijaga dengan betul?

Menurut Pegawai Perubatan Pediatrik, Dr Redza Zainol, anak-anak biasanya mula rapat dengan bantal busuk seawal usia 8 hingga 12 bulan. Ia berfungsi sebagai comfort object yang membantu mereka rasa lebih selamat dan tenang, terutama bila berjauhan dengan ibu ayah. Namun, sepatutnya kebergantungan ini hanya sementara, dan anak digalakkan mula berenggang dengan bantal busuk ketika usia 2 hingga 5 tahun.

Kenapa Anak Terlalu Sayang Bantal Busuk?

✔ Memberi rasa tenang dan selamat bila berjauhan dengan ibu ayah.
✔ Membantu anak tidur lena tanpa terlalu bergantung pada kehadiran orang dewasa.
✔ Jadi ‘peneman emosi’ ketika berada di taska atau rumah pengasuh.

Kajian juga mendapati kanak-kanak berusia 3 tahun lebih cenderung memiliki bantal busuk jika dihantar ke pengasuh seharian berbanding hanya separuh hari.

 

View on Threads

 

Bahaya Bantal Busuk Jika Tidak Dibasuh

Walaupun nampak remeh, bantal busuk yang jarang dibasuh boleh jadi sarang bakteria dan kuman berbahaya. Dr Redza berkongsi pengalaman seorang ibu yang tidak pernah mencuci bantal anak sehingga bertukar warna coklat bercapuk. Akibatnya, anak kerap masuk wad kerana demam dan batuk berulang.

Bantal busuk yang kotor boleh mengandungi:

  • Habuk dan hama pencetus alahan.

  • Kutu, bakteria dan kulat penyebab jangkitan kulit serta masalah pernafasan.

  • Risiko penyakit seperti aspergillosis dan jangkitan bakteria berbahaya.

  • Punca gangguan tidur dan risiko Sudden Infant Death Syndrome (SIDS) jika digunakan bayi kecil.

Tips Pisahkan Anak Dengan Bantal Busuk (Dr Redza)

  1. Peluk & beri perhatian lebih – gantikan bantal busuk dengan sentuhan kasih sayang ibu ayah.

  2. Hadkan penggunaan – hanya benarkan anak gunakan bantal busuk waktu tidur di rumah.

  3. Jangan paksa – biarkan proses beransur-ansur supaya anak tidak tertekan.

  4. Basuh secara berkala – pastikan bantal busuk sentiasa bersih dan bebas kuman.

  5. Hormati perasaan anak – jangan perlekehkan kesayangan mereka, sebaliknya bantu perlahan-lahan.

Bantal busuk memang teman setia anak dan sebahagian daripada proses tumbesaran mereka. Namun, ibu ayah perlu bijak mengawal penggunaannya serta memastikan ia sentiasa bersih. Ingat, bantal busuk boleh jadi tempat berkumpulnya bakteria yang mengundang pelbagai masalah kesihatan. Dengan pendekatan lembut dan penuh kasih sayang, anak akan lebih mudah berenggang dengan bantal busuk tanpa rasa tertekan.

Published by
Nana