Bayi Czer: Rahsia Imun Lemah & Cara Bantu Mereka Membesar Sihat

Share

Dalam era moden kini, semakin ramai ibu hamil memilih untuk melalui proses kelahiran secara pembedahan caesarean (czer) atas pelbagai faktor kesihatan dan keselamatan. Ada yang perlu dilakukan segera demi menyelamatkan nyawa ibu dan bayi, dan ada juga yang dirancang lebih awal atas nasihat doktor.

Walaupun prosedur ini kini dianggap selamat dan biasa dalam dunia perubatan moden, pakar kesihatan menegaskan bahawa bayi yang dilahirkan secara pembedahan czer mungkin mempunyai sistem imun yang sedikit lemah berbanding bayi yang lahir secara normal.

Gambar Hiasan

Keadaan ini boleh memberi kesan terhadap ketahanan tubuh mereka terhadap penyakit sejak peringkat awal kehidupan.

Kurang Terpupuk Bakteria Baik Dalam Usus Bayi Czer

Menurut Pakar Kesuburan dan Kesihatan Wanita, Dr. Raihana Ismail, perbezaan utama antara kelahiran normal dan kelahiran czer bergantung kepada proses pendedahan bakteria ketika bayi dilahirkan.

“Apabila bayi lahir secara normal, dia secara semula jadi akan mengutip bakteria baik daripada vagina dan usus ibu. Bakteria ini sangat penting untuk membina asas sistem imun sejak hari pertama kelahiran,” jelasnya di laman Threads.

 

View on Threads

 

Namun bagi bayi yang lahir melalui pembedahan caesarean, bakteria pertama yang mereka terdedah bukanlah daripada saluran kelahiran ibu, sebaliknya datang daripada udara hospital dan persekitaran sekeliling. Ini menyebabkan mikrobiom usus bayi menjadi kurang sihat dan mempengaruhi kekuatan sistem ketahanan tubuh mereka.

Bayi Czer Kurang Bakteria Baik, Perlukan Probiotik Tambahan

Pakar Kesihatan Ibu dan Anak, Dr. Fatin Liyana Asri pula menjelaskan, kajian menunjukkan bayi yang lahir secara pembedahan czer cenderung kekurangan bakteria baik seperti bifidobacterium dan bacteroides dalam usus mereka.

“Kekurangan bakteria baik ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan mikrobiom usus (gut dysbiosis), menjadikan sistem imun anak lambat matang,” katanya di laman Instagram.

Beliau menambah, pemberian susu ibu amat penting kerana ia kaya dengan probiotik dan prebiotik semula jadi yang membantu menstabilkan kembali bakteria baik dalam usus bayi. Selain itu, terdapat juga formula khas yang mengandungi gabungan probiotik dan prebiotik (symbioplas) bagi menyokong kesihatan usus serta imuniti bayi, terutamanya untuk bayi kelahiran caesarean.

Kajian Antarabangsa Sokong Penemuan Mengenai Bayi Czer

Penemuan sama turut disokong oleh kajian antarabangsa yang diterbitkan dalam Nature Communications, yang mendapati bayi kelahiran czer menunjukkan tindak balas imun lebih rendah berbanding bayi lahir secara normal.

Menurut Pakar Ekologi Sistem, Paul Wilmes dari University of Luxembourg, pendedahan awal terhadap bakteria semula jadi memainkan peranan penting dalam membentuk asas sistem imun seseorang sejak awal kelahiran.

Gambar Hiasan

“Bayi yang lahir secara pembedahan caesarean kurang terdedah kepada bahan bakteria yang merangsang imuniti awal, dan ini mungkin menjelaskan mengapa mereka lebih berisiko mengalami penyakit berkaitan imun seperti alahan atau asma,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa pembedahan caesarean sebaiknya dilakukan apabila benar-benar perlu dan bukan semata-mata atas pilihan peribadi, agar risiko kesihatan jangka panjang dapat diminimumkan.

Bayi Czer Tetap Boleh Membesar Sihat

Walaupun bayi kelahiran czer berisiko sedikit tinggi terhadap alahan dan sistem imun lemah, itu tidak bermakna mereka tidak boleh membesar sihat. Dengan penjagaan selepas bersalin yang betul, penyusuan susu ibu, pemberian nutrisi seimbang, serta pendedahan terkawal kepada persekitaran semula jadi, bayi czer juga mampu membesar kuat dan ceria seperti bayi lain.

Kesimpulannya, kelahiran secara pembedahan caesarean bukanlah sesuatu yang negatif. Setiap kelahiran adalah istimewa dan membawa perjuangan tersendiri buat seorang ibu. Apa yang penting, ibu bapa perlu memberi perhatian kepada penjagaan imuniti dan pemakanan anak sejak awal supaya tumbesaran mereka terus sihat dan optimum.

✨ Yang penting bukan bagaimana bayi itu dilahirkan, tetapi bagaimana kita menjaganya selepas itu dengan kasih sayang, nutrisi dan penjagaan rapi, setiap anak berhak membesar sihat dan bahagia.

BACA LAGI : Demi Nyawa Ibu, Doktor Cadang ‘Ikat’ Selepas 3 Kali Czer – Ini Penjelasan Dr. Malar

Published by
Nana