
Seorang bayi perempuan meninggal dunia selepas ibunya melahirkannya di dalam kolam bersalin.- Agensi
Bayi dijual melalui TikTok apabila pihak polis Indonesia berjaya membongkar sindiket anak angkat haram yang dipercayai beroperasi menggunakan platform media sosial popular itu. Sembilan individu telah ditahan dalam operasi tersebut, sekali gus mencetuskan kebimbangan serius terhadap keselamatan bayi dan kanak-kanak.
Pendedahan mengejutkan ini menimbulkan persoalan besar tentang bagaimana media sosial boleh disalahgunakan untuk jenayah tidak berperikemanusiaan, khususnya melibatkan pemerdagangan bayi.
Menurut laporan CNN Indonesia, Ketua Polis Medan, Jean Calvijn Simanjuntak memaklumkan bahawa sindiket berkenaan dipercayai telah menjual sekurang-kurangnya dua bayi dengan harga antara 9 juta rupiah (RM2,151) hingga 25 juta rupiah (RM5,976) seorang.
Bayi-bayi tersebut dijual kepada pembeli di beberapa bandar di Sumatera Utara, selain Riau dan Aceh, menunjukkan rangkaian sindiket yang luas dan terancang.
Menurut beliau, siasatan turut mengenal pasti kewujudan rangkaian pembeli yang lebih besar merentasi beberapa wilayah.
“Siasatan masih diteruskan dan kami sedang memburu tiga lagi suspek yang dipercayai sebahagian daripada sindiket ini,” katanya.
Kes bayi dijual melalui TikTok ini terbongkar hasil keprihatinan orang awam apabila penduduk setempat melaporkan aktiviti mencurigakan di sebuah rumah sewa di daerah Medan Johor.
Menurut saksi, beberapa wanita hamil sering dilihat keluar masuk rumah tersebut dalam tempoh tertentu, sekali gus menimbulkan syak wasangka.
Hasil serbuan polis mendapati seorang wanita sedang menunggu masa untuk melahirkan anak di lokasi berkenaan.
Wanita itu didakwa telah bersetuju menjual bayinya kepada sindiket dengan bayaran 9 juta rupiah sebelum bayi tersebut dijual semula kepada pembeli lain dengan harga mencecah 20 juta rupiah.
Lebih menyentuh perasaan, wanita terbabit dipercayai bertindak demikian akibat tekanan kewangan yang teruk.
Wang hasil penjualan bayi itu dirancang untuk digunakan bagi menampung kos pemprosesan dokumen untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia, sekali gus menggambarkan bagaimana golongan terdesak mudah dieksploitasi oleh sindiket tidak bertanggungjawab.
Pihak berkuasa mendedahkan bahawa bayi-bayi tersebut diperdagangkan ketika masih berusia beberapa hari, dengan harga jualan meningkat bergantung kepada permintaan.
Sindiket ini lazimnya menyasarkan wanita hamil yang hidup dalam kesempitan, tidak mempunyai pekerjaan tetap serta kekurangan sokongan keluarga.
Bagi Pa&Ma, isu bayi dijual melalui TikTok ini bukan sekadar kes jenayah, sebaliknya tragedi kemanusiaan yang merobek nilai keibuan dan hak seorang bayi untuk dibesarkan dengan kasih sayang serta perlindungan sewajarnya.
Proses pengambilan anak angkat seharusnya dilakukan melalui saluran sah dan beretika, bukan melalui urusan gelap di media sosial.
Pihak polis menegaskan siasatan akan diteruskan bagi membongkar sepenuhnya rangkaian sindiket pemerdagangan bayi ini, termasuk mengenal pasti pembeli serta mana-mana pihak profesional yang mungkin terlibat.
Masyarakat juga digesa agar lebih peka, berani melapor dan tidak berkompromi dengan sebarang bentuk eksploitasi kanak-kanak.
Setiap bayi berhak mendapat masa depan yang selamat, bermaruah dan penuh kasih sayang bukan menjadi mangsa kerakusan manusia.
BACA LAGI : Bayi Tak Perlukan Bantal Tidur, Bahaya Bantal Lembut Yang Ramai Ibu Bapa Tak Sedar
BACA LAGI : Sinar Harian