
Itulah yang berlaku dalam satu kejadian penuh pilu di Taman Cempaka Indah, Bukit Selambau, Kedah pada pagi Sabtu lalu. Seorang bayi lelaki baru lahir ditemui ditinggalkan berhampiran bahu jalan dalam keadaan sangat menyayat hati, tanpa sebarang pakaian dan perlindungan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihak polis menerima panggilan kecemasan pada jam 9.55 pagi daripada orang awam yang menemui bayi tersebut.
Menurut la[oran Sinar Harian, seorang penduduk yang sedang menjemur pakaian terdengar tangisan kuat di belakang rumahnya. Tidak sedap hati, beliau mencari punca suara tersebut dan tergamam apabila terlihat seorang bayi lelaki di tepi jalan — kesejukan dan ketakutan.
Saksi itu menjerit meminta tolong, dan jeritan tersebut menarik perhatian jiran-jiran lain yang segera datang membantu. Bayi kemudiannya dialihkan ke tempat yang lebih selamat sebelum dibawa ke hospital.
Menurut pihak hospital, bayi lelaki itu kini berada dalam keadaan stabil selepas dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Pemeriksaan mendapati terdapat kesan calar kecil pada mata kanan dan bahagian kanan badannya — dipercayai akibat diletakkan terus di atas tanah tanpa alas.
Dalam perkembangan terkini, pihak polis memaklumkan bahawa si ibu telah dikenal pasti dan sedang dirawat di hospital. Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat untuk membuang bayi.
Pa&Ma, kami sentiasa mengajak masyarakat untuk membuka hati bukan menghukum, tetapi membantu. Ramai ibu muda yang panik, takut, dan keliru. Mereka tidak tahu kepada siapa perlu dituju, dan dalam keterdesakan itu, mereka memilih jalan yang salah.
Kami merayu jika anda sedang hamil tanpa sokongan, carilah pertolongan. Banyak pusat bantuan disediakan seperti hospital kerajaan, NGO, rumah perlindungan wanita dan anak-anak. Jangan sesekali buang bayi anda. Mereka tidak bersalah.
📌 INFO BANTUAN:
Jika anda kenal seseorang yang sedang hamil dan keliru, berikan maklumat ini kepada mereka:
Talian Kasih 15999
Hospital atau klinik kerajaan terdekat
NGO seperti OrphanCARE, Rumah Kita dan Protect and Save the Children
Satu nyawa sudah diselamatkan hari ini, mungkin esok giliran anda menyelamatkan satu lagi. Kongsikan kisah ini, semoga menjadi kesedaran buat semua.
