Berita

Bayi Empat Bulan Maut Dalam Jagaan Taska, Keluarga Mahu Tuntut Keadilan

Share

Kehilangan seorang anak, apatah lagi bayi yang masih kecil, adalah ujian yang sangat berat untuk ditanggung oleh mana-mana ibu bapa. Lebih menyayat hati apabila pemergian itu berlaku secara mengejut ketika anak yang disayangi berada di bawah jagaan pihak lain.

Seorang bayi empat bulan maut dalam jagaan taska di pusat jagaan kanak-kanak dalam kawasan Hospital Seberang Jaya di sini dilaporkan meninggal dunia hari ini.

Keluarganya kini menuntut keadilan selepas mendakwa kemungkinan terdapat unsur penderaan yang menyebabkan kejadian tragis tersebut.

Bayi itu, Hayl Haarith Mohd Syafaeez dikejarkan ke Jabatan Kecemasan dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira jam 4 pagi, selepas dihantar ke pusat berkenaan pada malam sebelumnya.

Ibunya, Ummu Habibah Wahab, 30, yang merupakan seorang jururawat, ketika itu sedang bekerja syif malam.

Doktor melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama kira-kira sejam, namun mangsa tidak dapat diselamatkan.

Keluarga Dakwa Ada Unsur Penderaan

Hayl Haarith Mohd Syafaeez

Bapa saudaranya, Ahmad Lutfihadi Wahab, 31, berkata Ummu Habibah memaklumkan perkara itu selepas menerima panggilan yang melaporkan bahawa wajah anaknya bertukar menjadi biru.

“Kakak saya menelefon dan memberitahu anaknya kebiruan dan tidak bernyawa.

“Kami bergegas ke Jabatan Kecemasan, tetapi dia telah meninggal dunia semasa CPR,” katanya kepada New Straits Times ketika ditemui.

Lutfihadi berkata dia berjaya mendapatkan akses rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pusat berkenaan yang dipercayainya menunjukkan penderaan dan buli.

Susulan itu, keluarga membuat laporan polis bagi menggesa siasatan menyeluruh dilakukan berhubung kes bayi empat bulan maut dalam jagaan taska tersebut.

“Oleh itu, saya membuat laporan polis, menggesa siasatan menyeluruh dan tindakan tegas diambil,” tambahnya.

Pusat Jagaan Beroperasi 24 Jam

Menurutnya, pusat jagaan kanak-kanak terbabit beroperasi selama 24 jam dan dipantau oleh penyelia. Namun kejadian tidak diingini tetap berlaku sehingga anak saudaranya dihantar ke Jabatan Kecemasan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Katanya lagi, bayi itu merupakan anak pertama Ummu Habibah dan baru dihantar ke pusat jagaan tersebut apabila wanita itu kembali bekerja selepas menamatkan tempoh berpantang.

“Kami fikir akan selamat kerana pusat itu berada dalam kawasan hospital. Kami tidak pernah menjangkakan perkara seperti ini akan berlaku kepada keluarga kami sendiri,” katanya.

Keluarga Mahu Keadilan

Dua wanita dibawa pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung kes kematian bayi lelaki berusia empat bulan, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, yang sebelum ini ditempatkan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak dalam kawasan Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang. Foto: Berita Harian

Lutfihadi berkata dia kerap menghantar dan mengambil anak saudaranya sebelum ini dan tidak pernah menyedari sebarang kecederaan pada bayi tersebut.

Bagaimanapun, menurutnya, terdapat ibu bapa lain yang pernah membangkitkan kebimbangan mengenai kejadian di pusat jagaan tersebut, termasuk dakwaan kanak-kanak ditampar.

Katanya lagi, dia juga telah membeli pakaian baharu untuk dipakai anak saudaranya itu pada Aidilfitri nanti.

“Saya telah merancang untuk menyambut hari raya bersama kakak dan anak saudara saya. Kini, yang tinggal hanyalah pakaiannya,” katanya dengan penuh sebak.

Keluarga mangsa menegaskan mereka tidak akan memaafkan individu yang bertanggungjawab atas kejadian bayi empat bulan maut dalam jagaan taska ini dan mahu tindakan undang-undang diambil.

“Ini melibatkan kematian. Mereka yang bertanggungjawab tidak boleh dibiarkan terlepas begitu sahaja,” katanya.

Polis Jalankan Siasatan

Jenazah bayi itu akan dikebumikan di Terengganu, bersebelahan kubur neneknya.

Sementara itu, polis dilihat hadir di lokasi kejadian dan membawa keluar beberapa sampul surat yang dipercayai mengandungi bahan bukti berkaitan kes berkenaan.

Difahamkan dua wanita turut dibawa oleh pihak polis bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes tersebut.

Sumber: Berita Harian

Published by
Nor Yusoff