
Dunia pernah digemparkan dengan kelahiran bayi kembar sembilan pada tahun 2021. Kesembilan anak comel itu kini semakin membesar dan kesemua mereka baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran keempat.
Detik bersejarah itu terus menjadi perhatian kerana kelahiran mereka diiktiraf sebagai antara pencapaian paling luar biasa dalam sejarah perubatan moden.
Ibu mereka, Halima Cisse, wanita berusia 29 tahun dari Mali, sebelum ini mendapat perhatian global apabila berjaya melahirkan sembilan bayi serentak.
Beliau yang bergelar pemegang rekod dunia sebagai ibu kepada anak paling ramai dalam satu kelahiran, sekali lagi menarik perhatian apabila memuat naik beberapa gambar kenangan kehamilannya di Instagram.
Halima dan suaminya, Abdelkader Arby, baru-baru ini meraikan ulang tahun keempat kesembilan anak mereka pada Mei lalu. Pasangan ini, yang dikenali sebagai Nonuplets Mali, mencatat sejarah apabila kesemua bayi berjaya diselamatkan walaupun bukan hasil kandungan kembar semula jadi.
Untuk mengimbau kembali detik istimewa itu, mereka berkongsi momen penuh nostalgia bersama lebih 57,000 pengikut di media sosial dengan memuat naik foto-foto lama yang merakamkan perjalanan luar biasa keluarga mereka.
“Kenangan yang tidak dapat dilupakan empat tahun lalu.
“Inilah antara gambar-gambar istimewa dan jarang dilihat, sejurus selepas kelahiran permata hati kami di dalam inkubator kecil masing-masing, serta sekeping foto berharga semasa kehamilan luar biasa Halima.
“Kami sangat bersyukur atas sejauh mana kami melangkah serta sokongan yang tidak putus-putus sejak dari awal lagi. Terima kasih kepada semua yang bersama kami sejak hari pertama,” kata pasangan itu.
Pada 4 Mei 2021, Halima selamat melahirkan sembilan bayi melalui pembedahan ketika kandungan berusia 30 minggu iaitu 10 minggu lebih awal daripada tempoh normal. Bayi-bayi itu terdiri daripada empat lelaki: Mohammed VI, Elhadji, Oumar dan Bah; serta lima perempuan: Kadidia, Fatouma, Hawa, Adama dan Oumou.
Ketika dilahirkan, berat setiap bayi hanya sekitar 0.5 hingga 1 kilogram. Kejayaan ini akhirnya mencatat sejarah dunia apabila kesemua nonuplets selamat, seterusnya menerima pengiktirafan Guinness World Records.