
Bayi kurang susu boleh berlaku tanpa disedari oleh ibu bapa, terutama pada minggu-minggu awal selepas kelahiran. Naluri seorang ibu memang nak beri yang terbaik seawal detik pertama kelahiran. Pakar kesihatan pun tekankan perkara sama bayi sangat digalakkan menerima susu terawal ibu, iaitu kolostrum, kerana di situlah terkandung nutrien dan antibodi penting untuk lindungi si kecil.
Kolostrum ni sebenarnya dah mula dihasilkan sejak pertengahan kehamilan, sekitar minggu ke-12 hingga ke-18, dan terus keluar pada hari-hari awal selepas bayi lahir. Walaupun kuantitinya tak banyak, nilainya sangat tinggi — ibarat “vaksin pertama” untuk bayi.
Tapi persoalannya… macam mana nak tahu baby cukup susu atau tak?
Menerusi perkongsian doktor kesihatan di Threads DrRedzaZainol, ada beberapa tanda yang mak ayah kena alert kalau bayi kurang susu atau tidak mendapat penyusuan yang mencukupi.
4 Tanda Bayi Kurang Susu Yang Mak Ayah Perlu Perhatikan

Berikut antara tanda awal yang sering dikaitkan dengan keadaan bayi kurang susu. Jika berlaku, ibu bapa perlu lebih peka dan memantau keadaan bayi dengan teliti.
1. Berat badan masih turun walaupun dah masuk usia 2 minggu
Biasanya bayi akan turun sedikit berat badan selepas lahir, tapi akan naik semula dalam tempoh dua minggu. Kalau masih menyusut, itu red flag yang menunjukkan kemungkinan bayi kurang susu atau penyusuan tidak mencukupi.
2. Lampin ditukar kurang daripada 5 kali sehari
Kurang kencing bermaksud kurang cecair masuk. Bayi yang cukup susu biasanya akan kencing dengan kerap, jadi lampin memang selalu penuh. Jika lampin jarang basah, ini antara tanda awal yang sering dikaitkan dengan bayi kurang susu.
3. Air kencing nampak pekat (macam warna Teh O)
Warna air kencing sepatutnya jernih atau kuning cair. Kalau terlalu pekat, itu tanda badan kurang hidrasi dan boleh berlaku apabila bayi kurang susu dalam tempoh tertentu.
4. Ada kesan merah jambu atau oren pekat pada lampin

Ini dipanggil urate crystal sejenis garam yang terbentuk akibat kekurangan susu. Kalau nampak tanda ni, jangan ambil ringan kerana ia juga boleh menjadi petunjuk bayi kurang susu.
Keempat-empat keadaan ni menunjukkan susu yang diberi mungkin tak mencukupi.
Mak ayah kena ambil perhatian. Teruskan penyusuan secara konsisten dan pastikan bayi kencing banyak — idealnya tukar lampin lebih daripada 5 kali sehari.


Bahaya Jika Bayi Kurang Susu
Isu ni bukan sekadar baby lapar ya, kesannya boleh jadi serius jika keadaan bayi kurang susu berlarutan tanpa rawatan atau pemantauan.
Dehidrasi
Mulut kering, lampin kering terlalu lama, ubun-ubun nampak cengkung — semua ni tanda badan kekurangan cecair.
Penurunan berat badan & pertumbuhan terbantut
Nutrisi tak cukup boleh ganggu perkembangan fizikal dan juga perkembangan otak bayi.
Sistem imun jadi lemah
Terutama kalau tak cukup antibodi daripada susu ibu, bayi lebih mudah dijangkiti penyakit.
Masalah pencernaan
Sembelit dan perut kembung lebih mudah berlaku apabila bayi tidak mendapat susu mencukupi.
Gangguan emosi & tidur
Bayi jadi tak tenang, kerap menangis dan susah tidur lena kerana rasa lapar.
Tindakan Segera Jika Syak Bayi Kurang Susu
Kalau bayi tunjuk tanda dehidrasi, demam, muntah atau sesak nafas — terus rujuk doktor. Jangan tunggu.
Dalam masa sama, pastikan teknik lekapan (latch) betul dan penyusuan dibuat dengan kerap. Lekapan yang tidak tepat boleh menyebabkan susu tidak keluar dengan efektif walaupun bayi menyusu lama.
Kalau ragu-ragu, jumpa lactation consultant atau doktor untuk pemeriksaan lanjut. Pakar boleh membantu menilai teknik penyusuan, penghasilan susu ibu serta keadaan kesihatan bayi.
Ingat ya mak ayah, kadang-kadang tanda dia halus je. Tapi bila kita peka awal, banyak komplikasi boleh dielakkan dan bayi boleh membesar dengan sihat.
Sumber: Threads DrRedzaZainol
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





