Bayi Lahir Tahun Depan Akan Dapat Vaksin Pneumokokal Percuma

Share

Lagi berita gembira buat semua ibu bapa. Pembentangan Bajet 2020 semalam, kerajaan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi suntikan vaksin Pneumokokal  dan akan diberikan secara percuma kepada semua bayi yang lahir pada tahun 2020. Pelaksanaan ini sebahagian dari Program Immunisasi Negara.

Sebelum ini, vaksin tambahan ini tidak ditawarkan dalam suntikan imunisasi wajib tetapi boleh diambil oleh ibu bapa sebagai vaksin tambahan di klinik luar dengan anggaran kos antara RM200 hingga RM300 untuk satu dos.

Disebabkan terlalu mahal untuk satu dos suntikan, hanya segelintir ibu bapa yang mampu berbuat demikian walaupun vaksin ini penting untuk kesihatan anak kecil.

Bagaimanapun menerusi twitter Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, beliau bersyukur kerajaan mendengar suara ramai.

“Alhamdulillah, selari dengan JANJI MANIFESTO PH, Bajet 2020 memperuntukkan awal RM60 juta untuk mulakan Vaksinasi Pneumokokal untuk kanak-kanak dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).

“Vaksin ini boleh elak jangkitan paru-paru,darah & otak-jangkitan yang boleh membawa maut/kecacatan kekal,” kongsinya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah ternyata bersyukur dengan pengumuman Belanjawan 2020 kerana akhirnya vaksin pneumococcal dimasukkan dalam program imunisasi wajib kebangsaan.

“Kerajaan telah menunaikan janji dan ini adalah hadiah terbaik untuk rakyat setelah bertahun memohon untuk vaksin pneumococcal diberikan percuma,” katanya di twitter.

KEPENTINGAN VAKSIN PNEUMOKOKAL

Pneumokokal adalah sejenis kuman bakteria yang biasa menyebabkan jangkitan pada tekak dan telinga dan lebih mudah berlaku pada kanak-kanak.

Bakteria ini boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan serius antaranya:

1. Radang paru-paru
2. Meningitis – radang pada selaput yang kelilinh saraf tunjang dan otak
3. Sepsis – jangkitan bakteria dalam darah
4. Sinusitis – jangkitan pada sinus
5. Otitis media – jangkitan telinga tengah

Walaupun jangkitan bakteria ni mampu dirawat dengan antibiotik, namun dengan kemungkinan komplikasi yang teruk yang boleh membawa maut, lebih bagus kalau ia dicegah melalui immunisasi.

Jadi sebab itulah vaksin pneumokokal ni penting dan elok sangatlah dijadikan sebahagian daripada vaksin wajib dalam Program Imunisasi Kebangsaan.

PELBAGAI LAGI PENAMBAHBAIKAN DALAM SEKTOR KESIHATAN DALAM BAJET 2020

Secara keseluruhannya, Kementerian Kesihatan Malaysia menerima peruntukan RM 30.6 bilion bagi infrastruktur kesihatan dan perlindungan kesihatan seperti yang diumumkan dalam Bajet 2020.

Selain membina dan menaik taraf hospital, klinik, serta perkhidmatan kesihatan, beberapa inisiatif baru turut diperkenalkan contohnya membenarkan pengeluaran KWSP bagi pasangan yang menjalani IVF serta rawatan kesihatan tanpa cukai.- Sumber: Sirap Limau

 

IKLAN