
Suasana di Bachok, Kelantan pagi tadi digemparkan dengan penemuan bayi lelaki baru lahir di sebuah tapak binaan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pak Badol. Menurut laporan Harian Metro, kejadian menyayat hati itu mencetuskan rasa sebak dan simpati dalam kalangan masyarakat setempat apabila penduduk menemui bayi berkenaan dalam keadaan masih bertali pusat.
Menurut Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohd Ismail Jamaluddin, pihak polis menerima panggilan daripada Klinik Kesihatan Mahligai pada jam 8.45 pagi yang memaklumkan tentang penemuan bayi itu oleh orang awam.
“Bayi lelaki itu ditemui tanpa pakaian dan hanya dibalut menggunakan sehelai kain berwarna hijau. Pemeriksaan awal oleh doktor mendapati bayi tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, namun terdapat kesan kemerahan pada muka disyaki baru dilahirkan,” katanya.
Bayi berkenaan telah dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
Tindakan pantas penduduk kampung berjaya menyelamatkan nyawa bayi itu. Menurut sumber tempatan, tangisan halus bayi berkenaan kedengaran dari arah bangunan yang masih dalam pembinaan sebelum mereka bertindak memeriksa kawasan tersebut dan menemui bayi yang masih bertali pusat.
Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu bertanggungjawab meninggalkan bayi tersebut. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Polis menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Nurul Aida Jaafar di talian 014-2714926 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” tambah beliau.
Kejadian seperti ini seharusnya menjadi pengajaran buat masyarakat. Menurut pakar psikologi keluarga, tindakan membuang bayi sering berpunca daripada tekanan, rasa takut dan ketiadaan sokongan sosial, terutama dalam kalangan wanita muda atau ibu tunggal.
Bagi mereka yang berdepan kehamilan tidak dirancang, ada jalan penyelesaian yang lebih selamat. Malaysia mempunyai pusat ‘Baby Hatch’ atau tempat perlindungan bayi seperti yang diusahakan oleh OrphanCare Foundation. Inisiatif ini membolehkan ibu menyerahkan bayi mereka secara sah dan selamat tanpa perlu dikenakan tindakan undang-undang.
Majalah Pa&Ma menyeru agar masyarakat lebih prihatin terhadap isu pembuangan bayi dan memperkukuh sistem sokongan kepada wanita hamil yang tertekan. Setiap bayi yang lahir ke dunia ini adalah amanah dan rezeki, mereka tidak pernah meminta untuk dilahirkan tanpa kasih sayang.
💗 Pesanan Pa&Ma: Jika anda mengenali sesiapa yang berdepan kehamilan luar jangkaan, bantu mereka mendapatkan bantuan. Jangan biarkan ketakutan meragut nyawa si kecil yang tidak berdosa.