
Bayi lemas dalam selimut bukan sekadar kisah menakutkan, tetapi realiti pahit yang hampir meragut nyawa seorang bayi berusia 10 bulan pada malam Hari Raya kedua. Pengalaman menggerunkan ini menjadi detik paling sukar buat sepasang suami isteri apabila kejadian berlaku ketika kebanyakan keluarga sedang lena berehat selepas seharian beraya.
Menerusi satu perkongsian menyentuh hati di media sosial, seorang ibu yang dikenali sebagai NurShahirahk berkongsi detik cemas yang hampir meragut nyawa bayinya. Kejadian berlaku selepas dia dan suami pulang ke rumah sekitar jam 1 pagi usai menziarahi keluarga di rumah mentua.

Keletihan seharian beraya membuatkan mereka membersihkan diri, menunaikan solat dan terus berehat bersama anak. Segalanya kelihatan normal, sehinggalah beberapa jam kemudian naluri seorang ibu ‘menyapa’ dalam keadaan yang tidak disangka.
Tersedar Kerana Sentuhan, Bertukar Mimpi Ngeri
Sekitar jam 3 pagi, NurShahirahk tersedar daripada tidur selepas terasa sentuhan tangan kecil di badannya. Pada awalnya, dia menyangka bayinya sekadar bergerak seperti biasa. Namun, sebaik menoleh, jantungnya seakan terhenti apabila mendapati anaknya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Wajah bayi tersebut kelihatan pucat kebiruan, bibir keunguan dan langsung tidak menangis atau bersuara. Lebih menyayat hati, bayi itu tidak menunjukkan sebarang reaksi seolah-olah sudah tidak bernafas.
Dalam keadaan panik dan emosi yang bercampur-baur, NurShahirahk segera mengangkat anaknya sambil menangis teresak-esak. Dia hanya mampu berdoa tanpa henti agar nyawa si kecil itu diselamatkan.

Terus Ke Hospital, Anak Ditahan Di Zon Merah
Tanpa berlengah, pasangan suami isteri itu segera membawa bayi mereka ke hospital kecemasan berhampiran. Sepanjang perjalanan, perasaan takut dan cemas menguasai diri, hanya doa menjadi peneman.
“Saya menangis sekuat-kuatnya sambil berdoa. Saya dan suami terus pergi ke hospital kecemasan yang berdekatan. Bila dah sampai, anak saya ditahan dalam bilik red zone,” luahnya.
Setibanya di hospital, bayi tersebut segera diberikan rawatan rapi oleh pasukan perubatan dan ditempatkan di zon merah. Saat itu, NurShahirahk mengakui perasaannya sukar digambarkan, seolah-olah masa berhenti dan harapan hanya bergantung kepada izin Tuhan.
Trauma Seorang Ibu, Selimut Jadi Ketakutan
Syukur Alhamdulillah, selepas rawatan segera diberikan, keadaan bayi tersebut beransur stabil. Bayi itu kembali sedar dan nyawanya berjaya diselamatkan. Detik hitam bayi lemas dalam selimut yang hampir meragut segalanya akhirnya berakhir dengan khabar yang paling melegakan buat seorang ibu.
“Alhamdulillah masih panjang umur anak saya, malaikat jaga. Sampai sekarang saya trauma, takut nak guna kain selimut lagi dan setiap malam dua jam sekali saya akan terjaga tengok anak tidur,” katanya.
Menurut NurShahirahk, insiden tersebut meninggalkan kesan trauma yang mendalam sehingga ke hari ini. Dia kini memilih untuk tidak menggunakan selimut ketika anak tidur dan sering terjaga beberapa kali setiap malam semata-mata untuk memastikan anaknya berada dalam keadaan selamat.
View this post on Instagram
Peringatan Buat Semua Ibu Bapa
Kisah bayi lemas dalam selimut ini menjadi peringatan penting buat semua ibu bapa agar lebih peka terhadap keselamatan bayi, khususnya ketika waktu tidur. Bayi di bawah usia setahun masih belum mempunyai keupayaan untuk mengalihkan selimut atau objek yang menutupi wajah mereka.
Keadaan ini boleh menyebabkan bayi mengalami kekurangan oksigen tanpa disedari, terutamanya ketika ibu bapa berada dalam keadaan terlalu letih. Walaupun kelihatan remeh, penggunaan selimut, bantal atau kain nipis ketika bayi tidur boleh mengundang bahaya dalam sekelip mata.
Pengalaman NurShahirahk membuktikan bahawa satu kejadian kecil boleh bertukar menjadi mimpi ngeri yang menghantui seumur hidup. Kes bayi lemas dalam selimut bukan perkara asing, namun masih ramai ibu bapa yang terlepas pandang risiko ini.
Sebagai ibu bapa, utamakan keselamatan anak walau dalam keadaan letih sekalipun. Kerana tiada apa yang lebih berharga daripada nyawa dan keselamatan si kecil yang menjadi amanah terbesar dalam hidup kita.
BACA LAGI : Hip Dysplasia & SIDS: Risiko Bahaya Akibat Silap Bedung Bayi Yang Ramai Ibu Bapa Tak Sedar
Sumber: Instagram NurShahirahk
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


