
Beli lampu biru jaundis bayi secara ‘online’ untuk merawat jaundis? Kedengaran mudah, tetapi hakikatnya ia boleh membawa risiko yang besar kepada bayi baru lahir.
Merawat jaundis bayi bukan perkara yang boleh dipandang ringan. Walaupun nampak seperti masalah biasa, ia sebenarnya memerlukan pemantauan rapi daripada doktor. Lebih membimbangkan, ada ibu ayah yang cuba mencari jalan mudah dengan membeli lampu biru secara dalam talian untuk merawat bayi sendiri di rumah.
Hakikatnya, tindakan ini boleh mengundang risiko besar kepada si kecil. Menurut Public Health Malaysia (PHM), rawatan jaundis tidak boleh dilakukan sendiri tanpa pemeriksaan yang betul. Ia bukan sekadar melihat warna kulit bayi, tetapi memerlukan ujian darah untuk mengetahui tahap bilirubin serta penilaian profesional bagi menentukan rawatan yang sesuai.
Jaundis yang tidak dirawat dengan betul boleh membawa kesan jangka panjang yang serius terhadap kesihatan bayi. Oleh sebab itu, penggunaan lampu biru jaundis bayi tanpa pengawasan doktor adalah sangat tidak digalakkan.
PHM turut memberi amaran bahawa penggunaan lampu biru jaundis bayi yang dibeli secara dalam talian tanpa pengesahan perubatan boleh mendatangkan pelbagai risiko. Ini antara sebabnya:
Ramai ibu ayah menyangka jaundis boleh dinilai hanya melalui warna kulit bayi. Hakikatnya, ia tidak semudah itu.
Jika rawatan tidak berkesan, paras bilirubin boleh meningkat secara senyap tanpa disedari. Lebih bahaya, ia boleh memasuki otak dan menyebabkan kerosakan kekal seperti masalah pendengaran, lumpuh atau sawan.
Dalam situasi ini, penggunaan lampu biru jaundis bayi yang tidak memenuhi standard perubatan hanya memberi rasa selamat yang palsu tanpa rawatan sebenar.
Rawatan fototerapi di hospital bukan sekadar menggunakan lampu berwarna biru. Ia menggunakan julat gelombang cahaya tertentu antara 460 hingga 490 nanometer dengan intensiti yang dikawal rapi.
Lampu biasa yang dijual secara dalam talian mungkin tidak memenuhi spesifikasi ini. Akibatnya, ia tidak mampu membantu memecahkan bilirubin dalam badan bayi.
Ini bermakna, walaupun ibu ayah sudah membeli lampu biru jaundis bayi, ia mungkin langsung tidak memberi kesan terhadap tahap jaundis bayi.
Di hospital, setiap bayi yang menjalani fototerapi akan dipantau dengan teliti. Mata bayi dilindungi dengan alat khas, suhu badan diperiksa secara berkala, dan penyusuan serta hidrasi dipastikan mencukupi.
Jika rawatan dilakukan sendiri di rumah tanpa pemantauan, bayi berisiko mengalami masalah seperti terlalu panas, suhu badan terlalu rendah atau komplikasi lain yang boleh membahayakan nyawa.
Penggunaan lampu biru jaundis bayi tanpa pemantauan juga boleh menyebabkan ibu ayah terlepas tanda-tanda bahaya yang memerlukan rawatan segera.
Walaupun ada rawatan di rumah, ia tetap memerlukan peralatan khas dan pemantauan oleh petugas kesihatan. Ia bukan sesuatu yang boleh dilakukan secara sendiri tanpa nasihat doktor.
Doktor akan menentukan sama ada bayi memerlukan fototerapi, pemantauan lanjut, atau rawatan lain berdasarkan tahap bilirubin. Ini adalah langkah penting bagi memastikan bayi menerima rawatan yang tepat dan selamat.
Justeru, penggunaan lampu biru jaundis bayi hanya sesuai dalam persekitaran yang dikawal dan diselia oleh profesional kesihatan.
Sebagai ibu ayah, naluri untuk mencari penyelesaian cepat memang ada. Namun, dalam soal kesihatan bayi, keselamatan harus menjadi keutamaan.
Jangan ambil risiko yang boleh memberi kesan seumur hidup kepada anak yang baru mengenal dunia. Elakkan membeli atau menggunakan lampu biru jaundis bayi tanpa nasihat dan pemantauan doktor.
Jika bayi menunjukkan tanda jaundis, segera dapatkan pemeriksaan di klinik atau hospital. Langkah ini jauh lebih selamat dan memberi ketenangan kepada ibu ayah.