Bentuk Badan Berubah Drastik Selepas Bersalin, Syakirin Husnal Bersyukur Dapat Jadi Ibu Kepada Vea Khadija

Share

Biasalah jika ibu-ibu naik berat badan selepas melahirkan anak. Itu perkara normal. Kenyataan ini diakui sendiri oleh pengacara TV, Syakirin Husnal. Menurut ibu muda ini, dia juga sedang berusaha untuk menyayangi tubuhnya selepas melahirkan si comel Vea Khadija. Di dalam perkongsiannya, Syakirin tidak segan mengakui bentuk tubuhnya berubah drastik selepas bersalin dan menyebabkan dirinya tertekan.

Positif dengan hal ini, Syakirin mengatakan dia tidak boleh berlaku kejam kepada tubuhnya sendiri. Tambahnya, tubuhnya itu telah melalui satu perjalanan yang menakjubkan. Iaitu menjadi seorang IBU! Turut melahirkan rasa syukurnya, dia sangat menghargai peluang untuk bergelar seorang ibu.

Kata Syakirin, dia ditakdirkan hamil ketika berat dan bentuk badannya pada tahap yang ideal. Adakah dia menyesalinya? Sudah tentu tidak. Inilah kurniaan dari Allah SWT.

Walaupun meneruskan tabiat makanan bersederhana, berat badannya tetap bertambah ketika hamil. Selepas melahirkan, Syakirin menjalankan pantang dengan berdisiplin, tetapi hanya mampu turun 10kg. Tetapi katanya, dia tidak boleh membenci diri sendiri. Inilah lumrah menjadi seorang ibu. Syakirin mengatakan untuk dapat semula bentuk tubuh seperti sebelum mengandung selepas bersalin, pasti mengambil masa.

Syakirin juga gembira kerana pada tahun 2019, semua orang mengamalkan Body Positivity. Dia turut mengucapkan terima kasih kepada para ibu yang memberinya sokongan moral yang diperlukan oleh seorang ibu baru sepertinya. Tambahnya lagi, setiap ibu itu cantik tidak kiralah warna kulit, saiz badan dan parut yang bagaimana. Syakirin turut menyeru semua ibu untuk menghargai kurniaan Tuhan yang hebat ini.

Sempat berseloroh, Syakirin mengatakan dia berharap orang yang menegur bentuk badannya akan menjadi lebih ‘besar’ darinya supaya mereka tidak akan menyakiti hatinya lagi. Memohon maaf atas gurauannya itu, Syakirin berharap orang-orang yang tidak sensitif terhadap perasaan ibu yang naik berat badan ini agar belajar sesuatu ketika mereka juga melalui proses yang sama.

Posting ini dimuat naik di laman Instagram Syakirin sempena Hari Wanita Sedunia tempoh hari. Pengikut laman Instagram Syakirin juga sempat meninggalkan komen membina buat ibu ini.

Admin berpendapat, setiap ibu bertarung nyawa untuk melahirkan zuriat mereka. Jadi tidak timbul soal orang lain boleh mempertikaikan perubahan bentuk badan ibu itu selepas melahirkan. Gemuk boleh kurus, yang penting usaha secara konsisten. Buat semua ibu, anda CANTIK tidak kiralah bagaimana pun rupa anda.

 

SUMBER: INSTAGRAM SYAKIRIN HUSNAL

IKLAN