
Kebanyakan ibu pasti berasa sedih apabila tiba fasa untuk bercerai susu. Ada yang mula risau anak tidak mendapat nutrisi yang sepatutnya, ada juga yang gusar anak akan menjauhkan diri apabila sudah tidak menyusu lagi.
Sebenarnya, bercerai susu adalah satu proses di mana ibu menghentikan penyusuan kepada anak. Biasanya fasa ini berlaku apabila si kecil sudah mula mengambil makanan lain selain susu ibu, dan kebiasaannya apabila anak sudah berusia dua tahun ke atas.
Bercerai susu merupakan proses yang normal dalam perkembangan anak. Keputusan untuk berpisah susu seharusnya berada di tangan ibu sendiri berdasarkan keadaan dan kesediaan anak, bukan kerana tekanan atau pengaruh orang lain.
Dalam hal ini, keputusan ibu perlu dihormati. Sokongan daripada suami juga sangat penting kerana penyusuan bukan sekadar hubungan fizikal, tetapi turut melibatkan kesihatan emosi ibu dan anak.
Bercerai Susu Selepas Anak Berusia Dua Tahun
Waktu yang sering dianggap sesuai untuk seorang ibu bercerai susu dengan anak ialah apabila anak sudah berusia dua tahun ke atas.
Pada usia ini, keperluan nutrisi anak tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada susu ibu. Anak yang sudah mengambil makanan harian seperti nasi, sayur-sayuran dan buah-buahan boleh mendapatkan nutrisi mencukupi melalui pemakanan seimbang.
Selain itu, anak pada usia ini juga biasanya sudah mula memahami percakapan ibu. Jadi, untuk memulakan fasa bercerai susu, ibu boleh berbual dan menerangkan secara perlahan-lahan supaya anak lebih bersedia dari segi emosi.

Berhenti Menyusukan Anak Jika Ibu Hamil
Dalam sesetengah keadaan, doktor akan menasihatkan ibu untuk menghentikan penyusuan sekiranya ibu sedang hamil.
Ketika hamil, keperluan nutrisi dan tenaga ibu akan meningkat. Jika ibu masih menyusukan anak dalam masa yang sama, badan ibu perlu berkongsi nutrisi untuk ibu sendiri, bayi dalam kandungan dan anak yang masih menyusu.
Keadaan ini boleh menyebabkan ibu mudah letih, pening atau pitam jika badan tidak mampu menampung keperluan tersebut.
Namun begitu, jika tahap kesihatan ibu baik dan doktor mengesahkan ia selamat, penyusuan boleh diteruskan mengikut kemampuan dan nasihat perubatan yang sesuai.
Taktik Bercerai Susu Yang Lebih Berkesan
Untuk ibu yang ingin menghentikan penyusuan apabila anak sudah besar, proses ini perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati dan berperingkat.
Jika anak tidak meminta untuk menyusu, ibu tidak perlu mempelawa. Biarkan anak menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut kerana lama-kelamaan mereka akan lebih mudah berhenti menyusu.
Ibu juga boleh mengalihkan perhatian anak dengan memberi makanan atau minuman kegemaran mereka apabila anak mula menunjukkan tanda ingin menyusu.
Pada waktu siang, pelbagaikan aktiviti supaya anak lebih aktif dan mudah letih. Ini membantu anak tidur dengan lebih lena pada waktu malam tanpa bergantung kepada penyusuan.
Ibu juga digalakkan memakai pakaian yang sukar diakses untuk menyusu bagi mengurangkan peluang anak menyusu dengan kerap.
Ibu Juga Perlu Bersedia Dari Segi Emosi
Proses bercerai susu bukan sahaja mencabar untuk anak, tetapi juga untuk ibu.
Setelah sekian lama anak sentiasa menyusu dan melekat dengan ibu, perubahan ini boleh menimbulkan rasa kosong dan sedih. Oleh itu, proses bercerai susu perlu dilakukan secara berperingkat supaya ia menjadi lebih mudah dan positif.
Langkah ini juga membantu mengelakkan masalah payudara seperti bengkak dan mastitis jika penyusuan dihentikan secara perlahan-lahan.
Ibu juga digalakkan menetapkan sasaran bila ingin menghentikan penyusuan supaya proses ini tidak berlaku secara mendadak dan mengejutkan emosi anak.
Dalam masa yang sama, ibu perlu sentiasa yakin dan positif dengan keputusan yang dibuat kerana emosi ibu turut mempengaruhi emosi anak.
Dapatkan sokongan daripada rakan yang berpengalaman dan berbincang dengan suami supaya keputusan bercerai susu ini dapat dilalui dengan lebih tenang dan penuh sokongan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


