Anak kecil ini bukanlah insan biasa-biasa. Keberaniannya di litar tidak mungkin dapat disangkal oleh sesiapa pun. Si kecil ini, Qabil Irfan Azlan mula berlumba di litar seawal usianya 4 tahun. Dan dia kini sudahpun berusia 6 tahun.  Paling menarik, menurut kata ayahnya, Azlan Abd Rahman, Qabil tidak pernah sekali-kali gentar ketika berada di litar. Hebat!

Anak kecil yang dianugerah sebagai Ikon Permotoran Negeri Terengganu ini juga merupakan anak angkat kepada kerajaan Negeri Terengganu. Kejayaannya dalam dunia permotoran memang telah diakui sejak dulu.

Menurut ayahnya, minat Qabil dalam dunia permotoran datang daripada dirinya sendiri. Walaupun ayahnya merupakan bekas pelumba motor Cup Prix yang berpengalaman namun dia tidak pernah mendorong Qabil untuk terlibat sama dalam dunia permotoran ini.

Berlumba Di Litar Sejak Usia 4 Tahun, Pernah Jatuh Dan Melanggar Kereta, Qabil Terus Cekal Jadi Juara!

“ Mungkin dia selalu lihat saya di litar, timbul minatnya untuk mencuba. Dia datang pada saya dan beritahu untuk berlumba motorsikal. Sejak itulah saya mula melatihnya secara serius.

Pengalaman pertamanya cukup buat saya puas hati. Dia ada semangat dan keinginan yang tinggi untuk mencuba. Saya latih dia selama tiga bulan sahaja dan bawa dia berlumba di Kulai, Johor. Seingat saya waktu tu pada 1 Mei 2016.

Sejak itu, Qabil tak pernah menolak untuk berlumba di mana-mana. Alhamdulillah kini pencapaiannya membanggakan. Dia sentiasa di tangga lima pelumba terbaik,” katanya bangga.

Berlumba Di Litar Sejak Usia 4 Tahun, Pernah Jatuh Dan Melanggar Kereta, Qabil Terus Cekal Jadi Juara!

Kini anak kelahiran Kuala Terengganu ini menjalani sesi latihan tiga kali seminggu di bawah pengawasan ayahnya. Setiap kali latihan, Qabil akan turun ke litar di perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak dan mengasah bakat walaupun masih muda.

IKLAN

Anak kedua dari tiga adik beradik itu kini merupakan salah seorang pelumba pocket bike/minibike yang berada dalam kelasnya tersendiri.

Walaupun baru berusia enam tahun, namun Qabil menjadi antara pelumba yang sering mencuri perhatian setiap kali perlumbaaan diadakan.

Raih Kejayaan

Sejak menceburi bidang ini pada 2016, kelibat Qabil sentiasa dinantikan semua penonton. Penyertaannya bukanlah biasa-biasa malah dia acapkali menaiki podium menerima hadiah kemenangan.

Kehebatan Qabil mula terserlah bila dia mula menaiki podium dalam perlumbaan di Sijangkang, Selangor dengan pencapaian tempat kedua (P2) untuk Kategori Bawah Lapan Tahun dan P3 untuk Kategori Bawah 12 Tahun.  Ketika itu dia baru berusia empat tahun.

IKLAN
Berlumba Di Litar Sejak Usia 4 Tahun, Pernah Jatuh Dan Melanggar Kereta, Qabil Terus Cekal Jadi Juara!
Ketika berusia 4 tahun.

Anak hebat ini terus memburu kemenangan mencapai kejayaan dengan merangkul tempat kedua di Johor Open Mini Bike, Kulai, tempat kelima di Kajang, Selangor dan di Melaka Qabil merangkul juara dalam Kategori Bawah 10 Tahun.

Kini kehebatannya makin terserlah bila mana dia beberapa kali muncul juara di beberapa litar seperti di Maeps Serdang (P1), Sprintest QT & Amp; Kategori Terbuka, Mini Cuprix, Kuala Terengganu, Jempol, Negeri Sembilan dan terbaru di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur P1 (bawah 14 tahun).

Berlumba Di Litar Sejak Usia 4 Tahun, Pernah Jatuh Dan Melanggar Kereta, Qabil Terus Cekal Jadi Juara!

“ Boleh dikatakan setiap kali ada perlumbaan, saya mesti bawa dia pergi. Dalam sebulan pasti akan  ada dua tiga perlumbaan dan saya akan pastikan dia sertai untuk tambah pengalaman,” katanya lagi.

Tak Pernah Takut

IKLAN

Sukan ekstrem ini pastinya tidak terlepas daripada risiko kemalangan dan kecederaan. Dan pengalaman ini tidak terlepas dilalui oleh anak kecil ini.

Berlumba Di Litar Sejak Usia 4 Tahun, Pernah Jatuh Dan Melanggar Kereta, Qabil Terus Cekal Jadi Juara! Berlumba Di Litar Sejak Usia 4 Tahun, Pernah Jatuh Dan Melanggar Kereta, Qabil Terus Cekal Jadi Juara!

“Pengalaman yang tidak dapat saya dan Qabil lupakan pastinya bila Qabil jatuh dan melanggar kereta. Ketika itu kami sedang menjalani sesi latihan dan tiba-tiba tali minyaknya melekat. Dia terpelanting melepasi longkang dan seterusnya terlanggar pada kereta di tempat letak kereta.

Kata Qabil itu sahaja cara bagi membolehkan motorsikalnya berhenti kerana dia terlalu laju. Dia tidak mengalami kecederaan yang serius malah langsung tidak trauma untuk berlumba lagi. Dia diam sahaja ketika itu dan keesokkan harinya barulah dia ceritakan masalah teknikal yang dia alami.

Dia juga pernah jatuh di litar gara-gara kesalahan motorsikal di hadapannya. Mujur tiada kecederaan serius dan dia tak serik.

Buat masa ini perancangan saya hanya untuk bawanya ke perlumbaan di mana-mana sahaja dan kalau diberikan rezeki saya memang nak bawa dia pergi berlumba di luar negara untuk menimba ilmu dan tengok pencapaiannya dengan pelumba asing. Alhamdulilah kami sedang usahakan ke arah itu.

Jauh di sudut hati, saya dan isteri pastinya mahu lihat dia melangkah lebih jauh lagi. Saya sayang pada bakat dan kebolehan yang dianugerahkan Allah kepadanya.  Saya tak mahu dia berusaha sekerat jalan dan mensia-siakan bakat yang ada,” katanya penuh harap.

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI