
Perkongsian di Instagram milik pengasas HijabistaHub, atas nama Wanielena, mencuri perhatian warganet apabila memuat naik beberapa keping gambar dan video model menggayakan koleksi busana nikah serta kahwin terbaru.
Apa yang lebih mencuri tumpuan, model yang memperagakan busana indah itu bukan calang-calang orang, sebaliknya penyanyi popular Amira Othman, yang cukup dikenali dengan lagu Dalam Sujudku dan Bila Nak Kahwin.
Video yang dikongsikan itu berulang kali ditonton semula oleh netizen yang rata-rata terpesona melihat penampilan Amira dalam persalinan serba putih dengan solekan manis dan gaya anggun bagaikan pengantin sebenar. Ada yang berseloroh, “Nanti kahwin makeup sweet macam ni lah!”
Tidak kurang juga yang mula ‘membaca’ tanda, seolah-olah Amira memberi bayangan dirinya bakal menamatkan zaman bujang pada usia 32 tahun. Malah ramai yang mengimbas kembali pengakuannya sebelum ini, bahawa dia pernah menyasarkan usia 26 tahun dan 30 tahun untuk berkahwin. Namun, kata Amira, kini dia lebih tenang dan bersabar, percaya bahawa soal jodoh adalah aturan terbaik daripada Tuhan.
Sedikit gosip lama turut kembali disebut warganet Amira pernah dikaitkan dengan aktor terkenal Fattah Amin, tetapi kedua-duanya pernah tampil menjelaskan bahawa hubungan itu hanyalah urusan kerja semata-mata.
Apa pun, peminat lebih selesa melihat sisi positif penyanyi ini yang sentiasa mesra dengan keluarga, sekaligus mendoakan agar pintu jodohnya dipermudahkan.
Sumber: hijabista.hub