Anak suka memasukkan objek ke dalam mulut sangat bahaya. Lagi-lagi jika objek kecil dan kita tak perasan pun bila anak tertelan.

Menurut Dr Ezairy M. Sallih, kes tertelan objek ini biasanya berlaku di kalangan kanak-kanak di bawah umur 3 tahun ke bawah. Bagaimanapun, masih ada juga berlaku pada kanak-kanak yang dah besar.

Siapa berisiko tertelan objek? Bagaimana nak tahu anak kita tertelan objek asing? Apa tanda-tanda objek tersebut telah menyebabkan sekatan pada salur pemakanan? Adakah ia berbahaya kepada pesakit?

Bertindak Cepat Jika Syak Anak Tertelan Objek. Lagi Berisiko Bila Anak Dah Mula Muntah

“Doktor, anak saya ni tiba-tiba saja mengadu tak boleh nak telan makanan. Sekarang ni air liur berkumpul dalam mulut dia, meleleh-leleh keluar. Saya perasan dia ada main dengan duit syiling dalam tabung dia tadi,” keluh si ibu.

Perkara seperti ini bukanlah asing dan jarang berlaku di kalangan masyarakat kita. Selalu pun dijumpai di klinik-klinik dan hospital.

Siapa yang berisiko menelan objek asing?

IKLAN

Kanak-kanak dan bayi antara yang berisiko dimana mereka sering meneroka dan belajar tentang perkara-perkara baru. Jangan terkejut kerana salah satu daripadanya adalah dengan memasukkan sesuatu objek ke dalam mulut mereka. Kebanyakan mereka yang menelan objek asing berada di bawah umur 3 tahun.

Risiko menelan sesuatu di kalangan kanak-kanak adalah lebih tinggi apabila mereka ditinggalkan keseorangan atau tiada pengawasan. Risiko juga meningkat apabila objek tersebut berada dalam jangkauan mereka. Saya beri beberapa contoh yang biasa ditemui :

1. syiling
2. bateri kecil
3. butang
4. skru
5. pin
6. magnet kecil

Berhati-hatilah apabila anda menjumpai atau sedang menggunakan objek seperti di atas. Pastikan ia berada jauh daripada anak-anak anda.

Bertindak Cepat Jika Syak Anak Tertelan Objek. Lagi Berisiko Bila Anak Dah Mula Muntah

IKLAN

Bagaimanakah saya tahu jika objek asing telah ditelan?

Gejala objek asing yang tertelan biasanya boleh dikenalpasti sejak di rumah lagi. Anda akan melihat tanda-tanda jika objek tersebut menghalang dan menyekat salur pernafasan. Simptom yang paling umum termasuk:

1. tersedak
2. kesukaran bernafas
3. batuk
4. berdeham

Sekiranya seorang kanak-kanak menelan objek dengan mudah dan tidak terperangkap dalam tekak dan berjaya sampai ke bahagian perut, ia biasanya tidak ada tanda-tanda membahayakan kepada pesakit. Objek itu biasanya akan terus melalui dalam saluran pencernaan. Ia akan bergerak secara semulajadi . Gejala hanya akan muncul kemudian jika badan mempunyai masalah ketika melalui salah satu bahagian salur pencernaan tersebut.

IKLAN

Oleh itu, bagaimana mengenalpasti jika sesuatu objek yang tertelan itu tersekat pada bahagian bawah tekak dan salur pencernaan?

Gejala-gejala yang mungkin berlaku apabila sesuatu barang itu tersekat dalam esofagus atau usus termasuk:

1. muntah
2. air liur meleleh
3. sakit dada atau tekak
4. keengganan makan
5. sakit perut
6. demam jika jangkitan telah berlaku

Adalah penting untuk berunding dengan doktor jika anda atau anak anda menelan objek asing.

Menelan objek seperti bateri dan magnet adalah dikira sebagai perkara kecemasan. Dapatkan rawatan perubatan segera jika anda atau seseorang yang anda kenal telah menelan objek magnetik.

Sumber: Dr. Ezairy M.Sallih

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI