
“Selagi dia masih boleh jadi budak, biarlah dia jadi budak.” – Che Puan Sarimah
Bergelar ibu bukan tentang kemewahan, tapi tentang membesarkan anak dengan kasih, nilai dan jiwa. Itulah pegangan Che Puan Sarimah Ibrahim dalam membesarkan satu-satunya puteri kesayangan, Tunku Sofia Najihah, walaupun anaknya merupakan kerabat Diraja Negeri Sembilan.
Mungkin ramai menyangka kehidupan anak selebriti dan kerabat Diraja dipenuhi dengan protokol dan gaya hidup mewah. Namun, bagi Sarimah, perkara paling utama bukan status atau penampilan sebaliknya pengalaman membesar sebagai budak kecil biasa
yang bahagia dengan dunianya.“Saya nak anak saya membesar senormal mungkin. Saya tak kejar rupa atau status. Saya lebih pentingkan pembentukan peribadi dia.”
Dalam dunia serba digital, Sarimah memilih untuk mengurangkan pendedahan anak kepada teknologi. Bagi beliau, zaman kanak-kanak bukan tentang gajet, tapi tentang kenangan – panjat pokok, main rumah-rumah, keluar pagi balik bila azan Maghrib, seperti zaman kita dulu.
“Kita dulu membesar tanpa telefon pintar. Dunia anak-anak sepatutnya bebas. Saya nak anak saya merasa semua itu.”
Beliau juga membenarkan anaknya memilih sendiri pakaian, termasuk baju kartun kegemaran, walau ada yang melihat sebagai ‘kurang bergaya’. Baginya, ekspresi diri adalah hak anak.
Tunku Sofia yang kini berusia 6 tahun pernah menjadi mangsa ‘face shaming’ disebabkan rambut kerinting dan kaca mata yang dipakai. Namun, Sarimah tetap tenang dan tidak goyah dengan kecaman.
“Dia masih kecil. Dia berhak menjadi diri dia. Saya tak mahu dia rasa kena jadi sempurna untuk diterima.”
Sarimah percaya, kanak-kanak harus diberi peluang membina identiti dan keyakinan diri sejak kecil, tanpa tekanan masyarakat atau dibandingkan dengan orang lain.
Dalam mendidik anak, Che Puan Sarimah menekankan nilai diri berbanding kecantikan luaran.
“Saya ajar anak saya supaya tahu nilai diri sendiri. Saya tak ajar dia jadi cantik untuk orang lain, tapi jadi kuat untuk diri sendiri.”
Sebagai ibu, beliau sedar bahawa cabaran mendidik anak zaman sekarang amat besar, lebih-lebih lagi apabila dunia luar mudah menghakimi. Namun beliau kekal teguh dengan pendekatan penuh kasih sayang dan kepercayaan.
💛 Pa&Ma Suka:
Didikan Che Puan Sarimah ini menjadi inspirasi buat ramai ibu bapa muda. Walau anak bergelar puteri, beliau tetap memilih pendekatan keibubapaan yang tenang, bersahaja dan menghormati fitrah kanak-kanak.
Kerana anak bukan untuk dipamerkan. Anak adalah amanah, untuk dibimbing dengan jiwa dan dibesarkan dengan kasih.