Apabila dilanda demam, ada segelintir ibu menyusu mengambil keputusan untuk tidak menyusukan bayi sedangkan tindakan itu salah! Perbetulkan ia dan terus susukan bayi demi kesihatannya juga.
Sebagai manusia, kita kadang kala diserang demam apabila suhu badan meningkat melebihi 37.5 °C. Ramai yang keliru dan risau apabila demam kerana bimbang ia membawa kemudaratan kepada bayi jika dia terus disusukan. Ketahuilah, ramai pakar perubatan menegaskan penyusuan susu ibu harus diteruskan walaupun anda demam!
Apabila demam biasa dan hanya mengalami selesema, sakit tekak dan batuk, anda sangat digalakkan untuk terus menyusukan bayi kerana ia tidak memberi kesan kepada anak yang disusukan itu. Doktor berpendapat bahawa menyekat penyusuan susu ibu sewaktu diri mengalami demam biasa boleh menyebabkan bayi mudah jatuh sakit dan demam kerana dia tidak mendapat perlindungan daripada susu ibu.
Ads
Jadi, apa lagi! Terus susukan anak anda kerana susu ibu memberikan perlindungan kepadanya daripada kuman-kuman yang telah mengakibatkan anda demam. Hal ini kerana susu ibu kaya dengan nutrien dan antibodi melawan kuman.
Ads
Ketahui juga bahawa apabila anda demam, terdapat reaksi imunologi iaitu pembentukan antibodi yang dipercepatkan dengan suhu tinggi yang dialami. Dengannya, antibodi dapat disalurkan menerusi susu ibu. Antara reaksi imunologi yang berlaku ialah:
Meningkatkan pergerakan leukocytes.
Menggalakkan sel darah putih memusnahkan kuman.
Mengurangkan kesan toksin.
Memperbanyakkan sel-sel antibodi (T-cells).
Jaga kebersihan diri
Dalam pada itu, anda sangat digalakkan untuk menjaga kebersihan diri bagi mengelakkan bayi dijangkiti. Antara amalan yang boleh dilakukan ialah mencuci tangan sekerap mungkin dan mengelakkan batuk atau bersin secara langsung ke muka bayi.
Ads
Sementara itu, semasa mendapatkan rawatan, anda perlu memberitahu doktor bahawa sedang menyusukan anak. Hal ini penting supaya doktor berkenaan dapat membekalkan ubat-ubat yang selamat untuk penyusuan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kebiasaannya dalam bab membeli mainan, ada ibu bapa yang terlebih teruja. Soal harga tak kisah yang penting boleh buat anak gembira. Bagaimanapun, menurut pakar kanak-kanak ibu bapa perlu tahu mainan yang sebetulnya untuk anak bawah setahun.
Ini kerana ia sangat penting untuk merangsang perkembangan otak anak dan bukan hanya sebab ibu bapa yang suka. Kesilapan ini sering berlaku hingga akhirnya tersimpan dalam stor tanpa diusik.
Perkongsian dari Dr Aen Saari ada beberapa jenis mainan yang boleh dibelikan untuk bayi berumur 0-12 bulan.
1) Bola merah atau mainan warna merah. Bayi lebih tertarik dengan warna ‘bold’ bermula umur 3 bulan berbanding warna pastel. Ini untuk stimulate pergerakan penglihatan bayi kiri kanan atas bawah.
2) Wooden cubes besar tapak tangan bayi, untuk dia bang together. Ni biasanya umur 6 bulan, sebab dia nak belajar genggam dan bawa tangan dia ke tengah.
3)Rattle untuk stimulate pendengaran dia. 6-12 inci please. Dekat dekat nanti kesian telinga anak. Caranya, bunyikan kat tepi telinga. Pastikan dia tak nampak rattle tu. Kalau dia nampak, maknanya dia guna deria melihat, bukan deria pendengaran.
4) Bila dia dah pandai genggam, belikan crayon saiz besar ya. Pandai-pandailah cari yang non toxic, baby friendly. Dia nak belajar pegang dan conteng-conteng.
5) Board books. Ha belikan buku yang tebal tu untuk bagi dia belajar selak. Dia akan belajar guna hujung jari untuk pegang nanti. Cari gambar-gambar menarik, warna yang attractive. Mula dengan sesuatu yang mudah.
Tak perlu beli buku cerita yang panjang kerana umur setahun anak belum pandai baca atau faham. Mereka hanya tertarik pada gambar sahaja.
6) Teething toys. Kan dia nak menggigit. Kebiasaannya anak-anak akan mula bawa macam-macam benda dekat mulut (sebab tu bila dia dah dapat tangan, jangan letak apa-apa bersaiz kecil kat tempat rendah. Pastikan simpan di tempat selamat).
7) Mainan beroda. Beli yang besar sikit, dan yang tak boleh cabut-cabut. Penting untuk keselamatan anak kerana jika yang mudah tercabut risiko anak tertelan tinggi. Untuk fasa ini, anak akan belajar roll mainan ke depan ke belakang.
8) Cawan dan sudu. Nampak macam tak ada apa-apa dan bersepah je kan. Tapi ini lah masa nak bagi dia belajar pegang cawan, pegang sudu dan kacau sudu tu dalam cawan. Ni sebenarnya proses pembelajaran terbaik untuk anak.
Walaupun semua mainan ini bagus dan merangsang otak bayi untuk cepat belajar yang paling penting sekali komunikasi dua hala antara bayi dan ibu bapa. Perlu lihat tepat ke mata supaya dia dapat berinteraksi dengan baik.
Rangsang penglihatan bayi baru lahir, objek warna merah dan putih paling sesuai. Dia seperti melihat kita tetapi hakikatnya bayi kecil itu masih kabur penglihatannya.
Bayi yang baharu dilahirkan hanya mampu melihat sesuatu objek pada jarak yang terhad iaitu 20 – 25 sm dan memerhati dengan penuh minat pada wajah ibu yang memegangnya.
Pada jarak ini, dia dapat ‘membaca’ emosi yang terpapar pada wajah anda. Dia juga akan boleh tersenyum jika melihat anda senyum kepadanya. Walaubagaimanapun jarak penglihatannya masih agak sedikit. Dia tidak dapat fokus kepada apa yang dilihat.
Oleh itu, kerap jalinkan hubungan mata dengan bayi anda dan pastikan jaraknya antara 20 – 25 sm. Misalnya, ketika anda bermain dengannya atau ketika sedang menyusukannya. Kepekaan retina mencapai keseimbangan setelah menjelang akhir tahun pertama usia bayi.
Jangan letakkan bayi anda terlalu hampir dengan cahaya yang terlalu terang dan jangan pula kerap meletakkan bayi di tempat yang terlalu gelap kerana perkara ini akan melambatkan kepekaan retina bayi.
PADA PERINGKAT UMUR BAYI 0-3 BULAN, DAYA PENGLIHATAN PALING BAIK BAGI BAYI ANDA ADALAH PADA JARAK 23 – 30 SM. ANDA BOLEH MENGGUNAKAN OBJEK BERWARNA KONTRA SEPERTI MERAH DAN PUTIH DAN DILETAKKAN PADA JARAK YANG BERBEZA IAITU TINGGI DAN RENDAH.
Aktiviti ini bagus bagi menguji perkembangan visual bayi anda. Malah ia juga membantu keupayaan otaknya untuk menyusun maklumat dan membentuk daya tumpuan penglihatan yang lebih baik.
Antara bulan keempat dan keenam, benda-benda optik yang berwarna-warni dan bergerak dapat menarik minat bayi anda dan mempesonakannya. Dia boleh bertahan selama beberapa minit tanpa melelahkan otot-otot matanya. Bayi anda pun semakin cepat menangkap rangsangan lebih kecil.
Bila bergelar ibu ayah anda kena tahu dan pantau perkembangan anak sama ada normal atau lewat. Kadangkala rasa tertekan bila orang asyik bandingkan anak dia dengan anak kita. Mungkin jika dia lewat perkembangan boleh segera bertindak membuat rawatan selanjutnya.
Namun tentu ramai ibu bapa masih keliru apa yang dimaksudkan dengan lewat perkembangan. Bilakah yang dikatakan seseorang bayi itu lewat perkembangannya? Adakah bila seorang bayi berusia 1 tahun 4 bulan dan masih belum berjalan dibandingkan dengan bayi-bayi lain yang sudah boleh berjalan sekitar usia 10-11 bulan?
Bila ramai kawan-kawan membandingkan kebolehan anak masing-masing, ibu ayah tentu mula risau tentang perkembangan anak sendiri.
Baca penerangan lengkap yang ditulis oleh Dr Poongundran A/L Pannerselvan, Pakar Pediatrik mengenai tahap perkembangan seorang bayi hingga dia membesar sebagai kanak-kanak.
Maksud sebenar lewat perkembangan adalah kelewatan perkembangan seseorang kanak-kanak jika dibandingkan dengan kanak-kanak lain dalam lingkungan umur yang sama dari segi pelbagai aspek. Aspek-aspek yang dimaksudkan di sini adalah:
Perkembangan pergerakan kasar kanak-kanak (seperti berjalan, berlari, dan sebagainya)
Perkembangan pergerakan halus kanak-kanak (seperti cara penggunaan tangan dan pemegangan objek)
Perkembangan bahasa dan pertuturan (cara seseorang kanak-kanak bertutur, berkomunikasi, memahami dan menggunakan bahasa)
Perkembangan kognitif dan intelek (cara seseorang kanak-kanak memahami sesuatu, berfikir, dan belajar)
Perkembangan sosial dan emosi (cara seseorang kanak-kanak berinteraksi dengan yang lain serta mula berdikari)
Kelewatan perkembangan ini boleh bersifat sementara atau kekal. Kelewatan yang bersifat sementara biasanya berlaku dengan kanak-kanak yang lahir pramatang, atau diakibatkan oleh masalah kesihatan atau kemasukan ke hospital untuk jangka masa yang lama, kekurangan peluang untuk kanak-kanak tersebut untuk belajar skil baru dan stres dalam keluarga. Kelewatan sebegini biasanya bersifat sementara dan akhirnya akan mencapai perkembangan optimum mereka.
Kelewatan perkembangan yang bersifat kekal biasanya akan menunjukkan masalah dalam satu atau lebih dalam aspek-aspek seperti pemahaman dan pembelajaran, pergerakan, komunikasi, pendengaran dan penglihatan.
Secara amnya, kanak-kanak ini akan memerlukan penilaian oleh seorang doktor untuk menentukan aspek-aspek yang terlibat dalam perkembangan kanak-kanak tersebut. Di antara sebab-sebab yang boleh menyebabkan kelewatan perkembangan yang kekal adalah cerebral palsy, masalah berkaitan otot, autisma, masalah berkaitan dengan bahasa, emosi, penglihatan dan pendengaran.
Setiap Kanak-Kanak Adalah Berbeza
Perkembangan bagi seseorang kanak-kanak biasanya dilihat menerusi suatu julat perkembangan. Kita tahu bahawa setiap kanak-kanak mempunyai takat perkembangan yang berbeza dari seorang ke seorang yang lain. Hanya sekiranya kanak-kanak tersebut telah melangkaui takat julat perkembangan bagi umur tersebut, kita mengatakan kanak-kanak itu lewat dalam perkembangannya.
Antara tanda-tanda bahaya yang perlu dilihat dari satu umur ke umur yang lain adalah seperti berikut:
Umur
2 bulan
Tanda –tanda bahaya
Tiada respon untuk bunyi yang kuat
Tiada senyuman kepada orang
Tidak membawa tangan ke mulut
Apabila dibaringkan di atas perut, bayi tidak dapat mengangkat kepala ke atas
4 bulan
Mata tidak mengikut arah objek yang dipegang
Tidak senyum kepda orang
Apabila dalam posisi duduk, kepala masih belum dalam keadaan stabil
Tiada sebarang bunyi-bunyian dibuat
Tidak memasukkan objek ke dalam mulut
Tidak dapat menolak kaki ke bawah apabila bayi dipegang berdiri dengan tapak kaki di atas permukaan yang keras
Mempunyai masalah pergerakan sebelah mata atau kedua-dua mata dalam semua arah
6 bulan
Tidak dapat mencapai objek dalam jangkauan
Tidak menunjukkan perasaan kasih sayang kepada penjaga
Mempunyai kesukaran untuk memasukkan objek ke dalalm mulut
Tiada respon kepada bunyi di persekitaran
Tiada bunyi-bunyian ‘vowel’ dibuat seperti ‘ah’, ‘eh’, ‘oh’
Tidak dapat berpusing dari depan ke belakang atau belakang ke depan
Tiada ketawa atau tiada bunyi-bunyian riang dibuat
Badan terasa keras dengan otot-otot yang keras
Badan sangat lembik seperti patung mainan kainan
9 bulan
Tidak dapat menampung berat badan dengan kaki apabila dipegang berdiri
Tidak dapat duduk dengan bantuan
Tiada bunyi-bunyian seirama seperti ‘mama’, ‘papa’, ‘dada’
Tiada respon apabila nama dipanggil
Tidak dapat mengenali orang yang biasa dilihat
Tidak melihat ke tempat yang ditunding
Tidak memindahkan barang mainan dari satu tangan ke tangan yang lain
1 tahun
Tidak merangkak
Tidak dapat berdiri apabila dibantu
Tidak mencari objek yang anda cuba lindung di hadapan kanak-kanak tersebut Tidak mengutarakan satu patah perkataan seperti ‘’ibu’, atau ‘ayah’
Tidak mempelajari cara mengoyangkan kepala atau ‘bye-bye’ apabila ditunjukkan Tidak menunding jari ke objek
Skil-skil yang pernah ada kini telah dilupai
1 tahun 6 bulan
Tidak menundingkan jari ke objek yang ingin ditunjukkan kepada yang lain Tidak dapat berjalan
Tidak mengetahui kegunaan objek biasa yang dilihat di rumah
Tidak meniru perilaku orang lain
Tidak mempelajari perkataan baru
Tidak dapat bercakap sekurang-kurangnya 6 patah perkataan
Tidak mengendah atau tidak perasan apabila penjaga tidak berada di sisi Skil-skil yang pernah ada kini telah dilupai
2 tahun
Tidak menggunakan frasa dengan 2 patah perkataan seperti ‘nak susu’, ‘bagi bola’ Tidak tahu kegunaan barangan biasa di rumah seperti berus gigi, telefon, garpu, sudu Tidak meniru perilaku dan perkataan
Tidak dapat mengikut arahan mudah
Tidak dapat berjalan dengan lancar
Skil-skil yang pernah ada kini telah dilupai
3 tahun
Sentiasa jatuh atau tidak dapat menaiki tangga
Pertuturan yang tidak jelas atau sentiasa mempunyai air liur yang mengalir dari mulut secara berlebihan
Tidak dapat menggunakan alat permainan mudah
Tidak bercakap dalam ayat
Tidak memahami arahan mudah
Tidak mahu bermain dengan barang permainan atau bermain dengan kanak-kanak lain Tidak bermain berimaginasi/olok-olok (contoh mengajuk bercakap dalam terlefon menggunakan kiub)
Tidak melihat atau tiada kontek mata apabila melihat orang
Skil-skil yang pernah ada kini telah dilupai
4 tahun
Tidak dapat melompat di satu tempat
Mempunyai masalah menconteng
Tidak menunjukkan keinginan untuk bermain imaginasi/olok-olok
Tidak menghiraukan kanak-kanak lain atau tidak respon kepada orang selain dari ahli keluarga sendiri
Tidak suka untuk dipakaikan baju, ditidurkan atau menggunakan tandas Tidak dapat menceritakan kembali cerita yang disukai
Tidak dapat mengikut arahan dengan 3 tugasan (ambil patung dan beri kepada mama dan pergi ke pintu)
Tidak memahami maksud ‘sama’ dan ‘berbeza’
Tidak menggunakan ‘saya’ dan ‘anda’ dengan cara yang betul
Pertuturan yang tidak jelas
Skil-skil yang pernah ada kini telah dilupai
5 tahun
Tidak dapat menunjukkan pelbagai emosi yang berbeza
Menunjukkan kelakuan yang keterlaluan (terlampau takut, agresif, malu atau sedih) Tidak aktif dan tidak ingin berinteraksi
Kurang perhatian, mempunyai masalah untuk fokus dalam sesuatu kerja atau aktiviti lebih dari 5 minit
Tidak respon kepda orang atau respon yang bersahaja
Tidak dapat membezakan antara yang ‘sahih’ dan ‘olok-olok’
Tidak ingin bermain atau menyertai pelbagai permainan atau aktiviti Tidak dapat memberitahu namanya
Tidak dapat menceritakan tentang aktiviti harian atau pengalaman harian Tidak dapat melukis gambar
Tidak dapat memberus gigi, mencuci dan mengeringkan tangan, dan membuka pakaian tanpa bantuan orang lain
Skil-skil yang pernah ada kini telah dilupai
Jika Lewat Perkembangan Bawa Jumpa Doktor
Doktor tersebut akan melihat perkembangan anak anda dari kelahiran sehingga kini, melakukan pemeriksaan terperinci dari segi perkembangan, serta sistem saraf dan sistem yang berkaitan dan akan memulakan terapi yang bersesuaian dengan penemuan mereka.
Antara terapi yang mungkin disarankan adalah:
Program intervensi awal – merangkumi pemulihan dalam perkembagan kanak-kanak yang memerlukan penumpuan dalam aspek pergerakan, pertuturan, penulisan serta sensori kanak-kanak
Fisioterapi – untuk proses menguatkan otot-otot yang mungkin lebih lemah, dan aktiviti yang berkaitan dengan penggunaan otot tersebut
Pemulihan cara kerja – untuk proses adaptasi penggunaan peralatan untuk membantu kanak-kanak tersebut melakukan aktiviti harian
Audiologi dan pendengaran – untuk pemeriksaan pendengaran sekiranya kanak-kanak tersebut mengalamai masalah pertuturan yang mungkin disebabkan oleh masalah pendengaran
Pakar pertuturan dan bahasa – membantu dalam memberikan cara-cara untuk membantu pertuturan kanak-kanak itu yang mungkin lambat dengan pelbagai intervensi dan aktiviti
Apabila dilihat dari apa yang diberitahu oleh puan, anak puan mempunyai risiko untuk lewat perkembangan kerana masih belum berjalan dalam umur 1 tahun 4 bulan. Sekiranya anak puan sempat berjalan dalam masa 2 bulan yang akan datang, maka tiada masalah untuk dirisaukan, tetapi saya mengesyorkan penilaian di peringkat hospital dilakukan untuk melihat sama ada memerlukan sebarang bantuan perubatan. Kami tidak mengesyorkan urut kaki dalam hal ini kerana sebab utama anak puan mungkin lewat berjalan masih belum dikenalpasti dan sekiranya masalah berkaitan dengan saraf, urut tidak akan membantu