Kanak-kanak belajar bercakap melalui interaksi dengan orang dewasa dan rakan sebaya. Proses untuk belajar bercakap dipengaruhi oleh beberapa faktor.
Menurut perkongsian di instagram Dr Izzar suami kepada pelakon popular Ummi Nazeera, setiap perkembangan anak untuk bercakap berbeza-beza mengikut umur dan faktor lain.
Dr. Izzar juga berkongsi beberapa tip untuk ibu bapa lain yang boleh digunakan bagi merangsang minat anak-anak untuk berlatih bercakap. Ikuti perkongsian penuh ini
BILA ANAK NAK BERCAKAP??
Bercakap ni merupakan salah satu dari komponen perkembangan anak. Perkembangan bercakap untuk anak ni berbeza-beza mengikut umur dan lain-lain baik anak-anak lain. So, jangan nak compare-compare anak kita dengan anak orang lain. Kalau orang lain start compare memang sakit hati kan?
Nak tolong anak biar anak bercakap ada banyak cara. Antaranya kita sebagai parents sendiri kenalah selalu bercakap dengan anak. Biar anak tiru dan ikut kita bercakap.
Kalau parents bercakap tu, cakapla perkataan betul-betul dan jelas. So anak ikutlah. Kalau parents cakap pelat atau bahasa baby yang tak faham tu, anak pun ikutlah sekali.
Bila anak bercakap sendiri, kita puji dia banyak-banyak. Buat dia happy n bersemangat nak bercakap lagi.
Kurangkan masa dia main gajet atau tengok tv. Ni bergantung sebab ada yang lagi banyak bercakap kalau tengok upin ipin or cocomelon sebab dia ikut. Ada yang diamm je tengok. Tu tak bagusla.
Lagi bagus, kenala interaktif. Kenala nyanyi-nyanyi, tunjuk gambar-gambar etc. Parents kenalah kreatif.
Ayra sekarang dah boleh cakap dan gabung perkataan dah. Menari pun suka. Alhamdulillah. #drizzarshares
Ni saya tengah guna buku belajar interaktif dari @mybababaa. Boleh belajar perkataan dalam bahasa Melayu, English, dan juga Mandarin. Belajar perkataan sambil ada gambar sebagai contoh perkataan tu.
Kalau u guys perasan, Ayra dapat kaitkan perkataan ‘oval’ dengan bentuk oval kolam dalam gambar tu. First time tu. Memang membantu dalam perkembangan.
Menurut perkongsian daripada Portal My Health pula, Menurut Pakar Perkembangan dan Pendidikan Kanak-Kanak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mastura Badzis, keupayaan seseorang kanak-kanak bercakap adalah berbeza antara seorang dengan yang lain dan berkait rapat dengan faktor persekitaran dan kesihatan mereka.
-Faktor Persekitaran
-Faktor Kesihatan
-Faktor Genetik
Faktor Persekitaran
Rangsangan dari persekitaran kanak-kanak adalah penting dalam perkembangan pertuturan dan bahasa mereka. Orang dewasa, rakan sebaya serta persekitaran tempat tinggal penting bagi meransang pertuturan dan bahasa kanak-kanak. Kanak-kanak yang tidak atau kurang menerima rangsangan pertuturan berisiko mengalami kelambatan pertuturan dan bahasa. Pengaruh rakan sebaya juga akan mempengaruhi pertuturan dan bahasa kanak-kanak.
Faktor Kesihatan
Kanak-kanak yang tidak mempunyai masalah kesihatan selalunya mempunyai kemahiran bercakap yang lebih baik berbanding kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan. Kanak-kanak kelainan upaya juga mempunyai risiko yang tinggi untuk mempunyai masalah kelambatan dalam perkembangan pertuturan mereka. Ada kanak-kanak yang kerap dimasukkan ke hospital disebabkan masalah kesihatan, hal ini akan mengganggu perkembangan interaksi mereka dengan ahli keluarga dan rakan sebaya. Keadaan ini boleh merencat serta melambatkan perkembangan pertuturan dan bahasa mereka.
Ads
Faktor Genetik
Kanak-kanak yang mempunyai adik-beradik, ayah atau ibu yang mempunyai sejarah kelambatan pertuturan dan bahasa juga boleh mendapat masalah ini.
Perkembangan bahasa kanak-kanak yang normal
0-3 bulan
Kanak-kanak mula belajar bercakap seawal usia 0-3 bulan. Pada waktu ini kanak-kanak telah menunujukkan minat untuk berinteraksi dengan orang dewasa dengan memberikan senyuman mahupun ketawa.
4-6 bulan
Kanak-kanak berusia 4-6 bulan biasanya akan mula mengeluarkan bunyi vokal. Pada waktu ini permainan vokal merupakan cara kanak-kanak belajar untuk bercakap.
6-8 bulan
Pada usia 6-8 bulan kanak-kanak telah mula menghasilkan suku kata yang berulang seperti “mama”, “dada” atau “papa”. Walaupun suku kata tersebut belum bermakna tetapi kanak-kanak telah mula berinteraksi dengan orang dewasa dengan menghasilkan suku kata.
8-12 bulan
Pada usia 8-12 bulan perkataan pertama biasanya akan muncul, contohnya: mama, nenen(susu). Selalunya kanak-kanak pada usia ini telah mempunyai pemahaman bahasa yang baik seperti boleh mengikut arahan-arahan yang mudah.
18-24 bulan
Selalunya kanak-kanak yang berusia 18-24 bulan telah mula menggunakan 2 patah perkataan dalam pertuturan mereka, contohnya; nak air, dah habis.
3 tahun
Ads
Apabila kanak-kanak mencapai usia 3 tahun mereka selalunya telah mula membuat ayat lengkap sekurang-kurangnya 3 patah perkataan dalam satu ayat. Kanak-kanak juga telah memahami dan menggunakan kata kerja dalam ayat yang dituturkan. Contoh; adik nak tidur, abah pergi kerja.
4 tahun
Apabila usia kanak-kanak tersebut mencapai 4 tahun mereka telah mula menggabungkan ayat-ayat ringkas menjadi ayat-ayat yang lebih kompleks. Di sini, faktor persekitaran seperti pergaulan dengan rakan sebaya banyak membantu dari segi pertambahan perbendaharaan kata dan meningkatkan kemahiran naratif atau kemahiran bercerita.
Tips Membantu Kanak-kanak Belajar Bercakap
Stimulasi bahasa dan pertuturan adalah sangat penting dalam membantu kanak-kanak belajar bercakap. Ibu bapa yang selalu berinteraksi dengan anak-anak semasa mereka bermain, menonton televisyen atau melakukan aktiviti seperti membaca akan dapat membantu kanak-kanak untuk belajar bercakap serta menambah kemahiran-kemahiran baru yang dapat menggalakkan perkembangan pertuturan dan bahasa kanak-kanak.
Biarkan anak anda memilih jenis mainan atau topik perbualannya sendiri
Langkah-langkah untuk memberi anak peluang memilih:
-Perhatikan minat anak anda supaya anda dapat menarik minat mereka semasa berinteraksi
-Tunggu, beri masa untuk anak anda memberi respons. Ini membenarkan anak anda memproses apa yang anda cakap
-Dengar bunyi, perkataan atau ayat yang anak anda hasilkan supaya anda faham apa yang ingin anak anda sampaikan
Ikut minat anak anda apabila anak anda telah memulakan interaksi sama ada dengan perkataan, bunyi atau isyarat badan. Anda perlu mengikut minat anak anda. Anda boleh mengikut minat mereka dengan:
-Ikut serta bermain bersama-sama anak anda
-Tiru bunyi atau perkataan yang dihasilkan oleh anak anda
-Terjemah bunyi atau isyarat badan anak anda
Ads
-Beri komen pada perbuatan yang sedang anak anda lakukan
-Mengambil giliran untuk memastikan interaksi berterusan
-Perkara yang boleh dilakukan untuk memastikan interaksi berterusan
-Sesuaikan giliran anda dengan anak anda. Komunikasi yang seimbang memerlukan anda mengambil kira kesesuaian panjang giliran anak anda, rentak anak anda serta minat mereka
-Beri bantuan kiu untuk anak anda mengambil giliran
-Ekpresi muka seperti tersenyum atau mengangkat kening
-Sentuhan atau tunjuk seperti sentuh tangan atau tunjuk pada mereka apa yang diinginkan
-Tanya soalan seperti “giliran siapa sekarang?”
-Tanya soalan yang sesuai sewaktu berinteraksi dengan anak anda. Pastikan anak anda faham dengan soalan anda.
-Gunakan rutin harian untuk mengambil giliran dalam berinteraksi seperti sewaktu makan bersama.
-Tambahkan perbendaharaan kata sewaktu berinteraksi
-Anda boleh membantu menambahkan perkataan baru semasa anda berinteraksi dengan anak anda. Tambahkan bahasa dengan:
-Beri anak anda perkataan. Jangan terlalu mengharap atau menekan mereka untuk meniru anda
-Guna pelbagai perkataan seperti kata kerja, kata nama atau perkataan yang menerangkan perasaan
-Tambahkan apa yang mereka sebut, tiru apa yang mereka sebut atau tambah beberapa perkataan lain untuk membuatkan masej anak anda lengkap
-Berkomunikasi dalam aktiviti seharian anda. Berkomunikasi sewaktu bermain dengan anak anda. Anda juga boleh berkomunikasi sewaktu membaca buku dengan anak anda atau sewaktu mendengar muzik.
Oleh itu, luangkan masa anda untuk membantu anak-anak anda belajar bercakap. Berikan persekitaran yang kondusif supaya anak anda boleh belajar bercakap. Sekiranya anak anda tidak boleh bercakap seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengan mereka, bawa anak anda untuk menjalani pemeriksaan lanjut di klinik-klinik atau hospital-hospital berhampiran. Tindakan awal dapat mencegah anak anda dari mengalami kelambatan pertuturan dan bahasa.
Rujukan
Cooke, J & Willian, D. 1985. Working with Children’s Language. Bicester. Winslow Press
Pepper, J & Weitzman, E. 2004. It Takes Two to Talk. Canada. A Hanen Centre Publication
“Anak saya 5 tahun tapi dia masih gagap. Saya risau tengok dia macam susah nak buat ayat nak bercakap. Boleh saya tahu macam mana nak rawat gagap?”
Apa itu gagap di kalangan kanak-kanak?
Adakah anak anda sering tersekat-sekat semasa bercakap atau anak anda kerap mengulangi suku kata dan perkataan yang sama semasa bercakap? Jika ya, seringkah anda tertanya-tanya sama ada anak anda mengalami kegagapan?
Gagap ialah keadaan di mana pertuturan menjadi tidak lancar atau tersekat-sekat.
Kebiasaannya, kanak-kanak berusia 2 hingga 5 tahun mengalami tempoh kegagapan dalam proses perkembangan bahasa mereka. Semasa bercakap mereka sering tersekat-sekat, mengulangi suku kata, perkataan atau ayat, pemanjangan sesuatu bunyi perkataan atau berhenti ketika bercakap. Ini bukanlah fenomena luar biasa. Hampir 5% kanak-kanak mengalami kegagapan normal pada usia ini.
Kadang-kadang ini terjadi disebabkan oleh kanak-kanak terlampau penat, gembira, teruja untuk bercakap atau ingin bercakap dengan pantas.
Apakah gagap normal di kalangan kanak-kanak?
-Kanak-kanak mengalami kegagapan normal apabila mengulangi suku kata atau perkataan 1 hingga 2 kali contohnya sa-sa-saya. Kegagapan juga disertai sisipan seperti “um”, “uh” dan “er”
-Kegagapan muncul antara umur 2 hingga 5 tahun. Muncul dan hilang pada waktu-waktu tertentu.
-Kegagapan muncul dan hilang pada waktu-waktu tertentu disebabkan oleh kanak-kanak sedang melalui proses pembelajaran benda baru dan cuba untuk memahirkan kemahiran bahasa yang ada
Apakah faktor mempengaruhi kegagapan?
Faktor utama yang menyebabkan kegagapan masih belum dikenal pasti namun beberapa faktor yang sering dikaitkan dengan kegagapan adalah seperti berikut:
-Genetik ? Individu yang mempunyai sejarah keluarga dengan masalah gagap berkemungkinan besar untuk mengalami masalah tersebut.
-Faktor perkembangan ? Kanak-kanak mengalami perkembangan kognitif, fizikal, sosial/emosi dan bahasa pertuturan dengan cepat pada usia 2 hingga 5 tahun.
-Persekitaran ? Individu terutamanya kanak-kanak yang terdedah kepada persekitan individu gagap (bapa, abang, saudara-mara), cenderung untuk mengikut gaya percakapan mereka dan boleh menjadi gagap. Selain itu harapan tinggi ibu bapa juga menyumbang kepada kegagapan di kalangan kanak-kanak, kerana ini boleh meningkatkan ketakutan kanak-kanak dan seterusnya meningkatkan kemungkinan berlakunya gagap.
Apakah ciri-ciri masalah kegagapan di kalangan kanak-kanak?
-Pengulangan suku kata dan perkataan lebih dari 2 kali seperti sa-sa-sa-saya.
-Pengulangan melibatkan kepayahan dan ketegangan otot-otot yang ketara di kawasan muka dan mulut.
-Bermula dan berterusan selepas 3 tahun setengah
-Tempoh kemunculan dan hilang gagap semakin bertambah. Tempoh gagap berlanjutan 6 hingga 12 bulan dan ada yang kekal.
-Kanak-kanak mengelak daripada menggunakan perkataan yang menyebabkan kegagapan.
-Mengalami kegagapan lebih 10 perkataan daripada 100 perkataan.
Apakah kesan kegagapan di kalangan kanak-kanak?
Semakin meningkat dewasa, kanak-kanak akan semakin menyedari masalah pertuturan yang di alami. Oleh yang demikian, kegagapan meningkatkan rasa malu di kalangan kanak-kanak. Ini mengakibatkan kanak-kanak rasa kurang yakin diri untuk berkomunikasi. Selain itu, rakan sebaya mula menyedari masalah ini dan mula mengejek.
Selain itu, kegagapan meningkatkan tekanan kanak-kanak di situasi yang memerlukan mereka bercakap.
Bagaimanakah kegagapan dapat dikenal pasti?
Jika terdapat ciri-ciri kegagapan yang dinyatakan di atas, ibu bapa digalakkan untuk membawa anak berjumpa dengan Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan) untuk mendapatkan penilaian dan rawatan yang sewajarnya.
Tip-tip yang boleh dilakukan untuk membantu kanak-kanak gagap.
Berikut merupakan antara tips yang boleh dilakukan untuk membantu kanak-kanak gagap:
-Bercakap secara tenang dan tanpa tergesa-gesa. Tunggu seketika dalam beberapa saat sebelum memberikan respon kepada anak selepas mereka habis bercakap. Model bercakap dengan tenang dan lancar adalah lebih berkesan berbanding memberi komen atau nasihat tentang bagaimana mereka bercakap.
-Model percakapan yang lancar. Bercakap dengan menggunakan ayat-ayat pendek dan mudah.
-Elakkan meminta anak bercakap dengan betul setiap masa
-Wujudkan peluang untuk anak bercakap dengan tenang, harmoni dan gembira
-Dengar apa yang dituturkan oleh anak sehingga habis, tanpa perlu menyudahkan atau membetulkan ayat yang dituturkan oleh anak.
-Kurangkan bertanya kepada anak. Banyakkan komen atau perjelaskan apa yang dituturkan oleh anak berbanding bertanya banyak soalan mengenainya.
-Luangkan masa bersama anak. Luangkan masa untuk berinteraksi dengan anak dengan lebih efektif untuk meningkatkan keyakinan anak untuk bertutur. (Lihat Tips-tips berkomunikasi dengan individu gagap)
Rujukan
http://www.webmd.com/parenting/stuttering diperoleh pada 2 September 2015.
http://www.stutteringhelp.org/kids diperoleh pada 2 September 2015.
https://www.mnsu.edu/comdis/kuster/Parents/Parentsguide.html diperoleh pada 2 September 2015.
(http://www.myhealth.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=8170&Itemid=3 diperoleh pada 2 September 2015.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Apabila umur anak 3 tahun, antara pandai urus diri dan pandai membaca mana lebih penting? Kalau jawapannya bebas diaper, dah cukup melegakan hati.
Kadang-kadang, ada segelintir mak ayah yang lebih pentingkan anak 2-3 tahun pandai membaca tapi tidak kisah anak tidak reti makan dan minum sendiri, tidak reti buka baju seluar dan belum bebas diaper. Ada yang sampai umur 6 tahun, pandai membaca dan mengira tapi masih lagi pakai diaper ke tadika melainkan memang ada masalah kesihatan lain.
Bagi Terapis Cara Kerja, Maryam Jamadi, bebas diaper ini bukan sahaja dapat menjimatkan poket mak ayah, malah banyak kepentingannya dalam perkembangan emosi dan sosial anak juga. Seperti yang dikongsikan sebelum ini di artikel “Cara Memanipulasi Anak”, umur setahun hingga 3 tahun adalah fasa anak untuk dapatkan “Autonomy” ke atas dirinya sendiri.
Sebab itulah, masa ini anak akan mula merampas baju yang hendak dipakaikan, merampas sudu atau mengamuk ingin makan sendiri, mahu pakai kasut sendiri, marah apabila barang yang dipegang dirampas dan sebagainya.
Semua ini sebab anak sudah ada ada kesedaran dan keinginan untuk belajar urus diri sendiri. Mereka lihat apa yang mak ayah buat dan mereka ikut walaupun belum cekap. Sokong anak untuk belajar berdikari, bukannya perlekehkan mereka apatah lagi menghalang. Sebab secara tak langsung mak ayah akan menyebabkan perkembangan emosi dan anak terganggu.
Malah kajian tentang ini juga telah dilakukan pada tahun 2002 dan hasilnya kebanyakan anak yang lewat bebas diaper akan meningkatkan risiko mendapat masalah mengawal pundi kencing dan masalah usus di masa akan datang (diterbitkan di Journal of Pediatric Urology).
TANDA-TANDA ANAK SUDAH BERSEDIA
Selalunya mak ayah sudah boleh mula mengajar anak bebas diaper pada umur 2-4 tahun, ada juga anak yang sudah menunjukkan kebolehan bebas diaper seawal 18 bulan. Untuk mengelakkan kejadian lantai basah, tilam basah atau bau “hancing” seluruh rumah. Lebih baik mak ayah tahu dahulu tanda-tanda anak sudah bersedia untuk bebas diaper:
1. Boleh duduk, berdiri dan melangkah anak tangga di tandas dengan sendiri.
2. Mempunyai skil motor dan koordinasi yang baik untuk membuka pintu sendiri.
3. Berminat untuk ke tandas dan proses di dalam tandas (Duduk, ambil paip air atau tisu, flush)
4. Mahu mengikut sesiapa sahaja ke tandas untuk melihat proses di tandas.
5. Sudah mempunyai keupayaan untuk menahan kencing atau berak selama lebih kurang 2 jam.
6. Sudah pandai maklumkan mak ayah dengan bahasa tubuh atau beritahu nak “iyak”/ ‘pupu” atau ‘kencing/cing”.
7. Tidak minat lagi memakai diaper dan mahu membuka sendiri diaper lepas “membuang”.
8. Pandai mengikut arahan.
9. Mempunyai masa yang sama untuk “membuang” seperti lepas bangun tidur atau lepas makan.
* Tanda-tanda diatas juga boleh digunapakai untuk anak bekeperluan khas, cuma umur sahaja berbeza.
Jika anak mempunyai tanda diatas, maka ayuhlah kita mengajar anak bebas diaper ya mak ayah jangan tangguh-tangguh lagi
PERSEDIAAN MAK AYAH
Ada banyak sangat cara untuk mengajar anak bebas diaper. Kalau ikut cara orang dulu-dulu ada yang bogelkan sahaja diluar, kalau nak “membuang” WAJIB bagitahu kalau tidak tunggulah “hadiah”nya. Hasilnya, sehari dua dah pandai.
Dibawah ini adalah teknik yang selalu digunakan oleh Terapis Carakerja untuk anak bekeperluan khas, tetapi diolah sedikit untuk anak yang tipikal. Sebelum melatih anak bebas diaper, mak ayah perlulah:
Pilih sama ada nak latih anak menggunakan tandas terus ataupun guna “potty”.
Kedua-duanya ada kebaikan dan keburukan, kalau mak ayah rajin gunalah potty kerana ia agak kurang menyeramkan untuk anak, mudah dibawa dan selamat. Kalau malas nak membasuh, gunalah tandas terus. Kalau ada duit lebih, belilah tempat duduk tandas kecil yang siap ada tangga.
Latih anak menggunakan bahasa tubuh seperti pegang perut sambil cakap “berak/iyak”, “kencing/cing”, “pee/poopoo”. Pilihlah satu paling sesuai dan kata setiap kali tukar diaper. Tunjukkan “kuih” pada anak setiap kali anak membuang dalam diaper.
Cerita sosial (Social Story)
Ceritakan kenapa kita ke tandas, apa yang dilakukan, proses di tandas dan sebagainya. Mak ayah boleh juga cerita dengan memggunakan patung kesukaan. Contohnya,
“Setiap pagi, selepas Didi bangun tidur. Didi akan pergi tandas untuk “iyak/poopoo”. Mula-mula Didi buka seluar, duduk di atas tandas dan meneran (sambil buat muka meneran). Abang nak jadi macam Didi tak?”. Mak ayah bolehlah buat cerita ikut kretiviti masing-masing sambil buat ekspresi muka “over” lagi anak suka.
Perhatikan tingkahlaku anak sebelum “membuang” contohnya resah gelisah, kehulu kehilir, menyorok di belakang almari atau duduk di sudut bilik.
Catat masa setiap kali anak “membuang” selama seminggu sebelum latih anak. Selalunya anak sudah ada pola masa yang sama seperti waktu pagi selepas bangun tidur, tengahari selepas makan dan sebagainya.
Pastikan anak makan makanan berserat seperti buah dan sayur dengan mencukupi.
Proses melatih jadi lebih sukar sekiranya anak sembelit.
Pakaikan diaper jenis seluar (diaper pant) dan seluar bergetah yang longgar supaya mudah untuk dibuka bila dah tak tahan dihujung-hujung.
Semua di atas ini boleh mula dilakukan untuk anak berumur setahun keatas untuk persediaan bebas diaper.
AYUH, MULAKAN SEKARANG
Jika mak ayah dah ada “bahan-bahan” untuk melatih anak seperti jadual masa, potty dan seluar dalam anak maka boleh mulakan dengan ikut 3 tahap yang saya rumuskan ini:
Tahap pertama (Masih memakai diaper)
1. Bawa anak ke tandas 10 minit sebelum sebelum jadual pola masa, terutamanya sejurus lepas bangun tidur, lepas makan dan sebelum tidur. Nak lagi bagus, bawa setiap 2 jam. Sebab lebih kerap lagi bagus.
2. Tekan sedikit di bahagian pundi kencing di bahagian bawah perut anak semasa duduk di tandas dan ajar anak untuk meneran.
3. Puji anak setiap kali anak berjaya “membuang” di dalam tandas.
4. Jika anak terlepas “membuang” di dalam diaper, tunjuk diaper basah pada dia dan kata “abang tak boleh buang dalam ini”.
5. Disarankan mak ayah fokus latih berterusan selama lebih kurang seminggu.
Tahap Dua (Pakai waktu tidur sahaja)
1. Mak ayah boleh mula pakaikan anak seluar dalam kesukaan mereka untuk menggantikan diaper.
2. Pakaikan diaper waktu tidur siang dan tidur malam sahaja.
3. Tunjuk anak diaper basah sekiranya dia terlepas.
4. Bawa anak ke tandas sejurus bangun tidur sampai jadi rutin harian.
Tahap Tiga (100% bebas diaper)
1. Boleh mula kurangkan memakai diaper di waktu malam.
2. Letak alas katil kalis air supaya katil tidak tercemar dengan bau “hancing”.
Kunci utama untuk berjaya adalah kerapkan memuji anak. Pokok pun boleh mati kalau setiap hari kita datang marah-marah.
Sabar, jangan terlalu memarahi anak sekiranya lambat kerana nak berjaya perlukan masa, bukannya sekali ajar dah pandai, ada yang seminggu dah berjaya, ada yang sebulan malah ada yang setahun baru berjaya. Sebab ia perlu berterusan baru cepat nampak kesan. Kalau skip sehari buat, esok malas, mula balik tahun depan maka bertahunlah jawabnya.
Dalam melatih anak bebas diaper, jangan lupa untuk melatih skil urus diri seperti pakai baju dan seluar ya. Tak adalah sampai umur 6 tahun masih lagi mak ayah kena bukakan seluar dan jirus setiap kali anak nak “membuang”.
Cuba ajak anak jijak tanah atau rumput waktu petang, kalau mereka susah sangat nak tidur sebelum 10 malam. Kaki tangan yang bersentuhan dengan tanah atau rumput, kita namakan grounding, atau earthing.
Menurut Dr Mazliana Mazlan, anak-anak yang diberi peluang bermain walaupun dalam tempoh yang singkat sebenarnya dapat membantu mengurangkan hormon stres dan sekaligus beri peluang anak tidur lebih lena.
Kajian menyatakan, proses grounding sekurang-kurangnya 30 minit, dapat turunkan hormon stress iaitu cortisol dalam badan kita. Maka, anak-anak akan lebih mudah untuk tidur di malam hari kerana paras hormon stress telah menurun.
Tak perlu pegi jauh pun sebenarnya, tanah dan rumput depan rumah pun dah cukup. Asalkan ia betul-betul di atas tanah.
Kalau dapat pasir pantai dan air laut, lagi best kesan dia. Sebelum Isya’ pun, mesti anak-anak dah terlentok di bucu katil.
Sama-sama kita cuba ya, untuk beri masa 30 minit setiap hari biarkan anak berkaki ayam di depan rumah, supaya mereka dapat tidur awal dan berkualiti setiap hari.
Tidur sangat penting untuk perkembangan otak dan kesihatan tubuh badan anak kan? ❤️
Kedit: Dr Mazliana Mazlan
Follow saya untuk perkongsian lebih tentang pemakanan dan gaya hidup sihat anak-anak dan keluarga.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Masa yang dinanti telah tiba! Harga emas sedang meningkat, menandakan peluang terbaik untuk menambah koleksi barang kemas atau melabur untuk masa depan. Bagi yang...