Agaknya bila ibu ayah perlu risau kalau anak lambat bercakap. Hari ini banyak kes kanak-kanak lambat bercakap. Kadangkala bila orang mula membanding-bandingkan anak kita yang belum bercakap dengan anak orang lain, kita jadi keliru dan tertanya-tanya betulkah anak kita lambat bercakap atau memang sengaja tak nak bercakap?

Menyedari hal tersebut seorang Speech Languange Therapist/Terapis Pertuturan, Siti Sarah Said berkongsikan panduan bagaimana ibu bapa perlu bertindak sekiranya mendapati anak mereka ada ciri-ciri tersebut.

Anak-anak membesar dan berkembang pada kadar yang berbeza.

Ada yang mula mengeluarkan perkataan pertama sebelum usia 12 bulan, ada pula yang sebaliknya.

Sepanjang tempoh ini, akan timbul banyak persoalan.

Adakah anak saya masih normal? Adakah anak saya dikira lewat bercakap? Adakah anak saya memerlukan bantuan?

Perhatikan tanda-tanda awal kelewatan bahasa seperti yang disenaraikan, yang mungkin ada pada anak kita.

Jika tanda-tanda ini jelas ada pada anak, tarik nafas dalam-dalam dan bertenang dahulu.

Langkah yang disarankan, cuba dapatkan sekurang-kurangnya sesi ‘screening’ atau penilaian penuh Speech-Language Therapist (SLT) bagi mengenalpasti masalah komunikasi yang dihadapi oleh anak kita.

SLT akan berpasukan dengan ibu bapa bagi membantu anak sepanjang proses intervensi yang dirancang.

Bila Ibu Ayah Perlu Risau Kalau Anak Lambat Bercakap?

Umur 12 bulan

Masih tidak menghasilkan bunyi yang menggabungkan konsonen dan vokal (“bababababa”).

Intonasi bunyi yang dihasilkan tidak pelbagai.

Tidak menggunakan gerak isyarat seperti menunjuk, melambai “bai bai” atau menggeleng kepala untuk “taknak”.

Tidak respons kepada nama sendiri.

Tiada inisiatif untuk berkomunikasi bagi mendapatkan keinginan.

Umur 15 bulan

Tidak faham dan respons kepada perkataan seperti “susu” atau “tidak”.

Tidak menghasilkan sebarang perkataan.

Tidak tunjuk kepada objek ataupun gambar apabila ditanya.

Tiada kemahiran berkongsi tumpuan (tiada cubaan untuk berinteraksi untuk menarik perhatian orang lain bagi melihat ke arah perkara yang sama).

Bila Ibu Ayah Perlu Risau Kalau Anak Lambat Bercakap?

Umur 18 bulan

Tidak memahami arahan mudah seperti “ambil kasut”, “berhenti” atau “beri saya__”.

Tidak melirik ke arah perkara yang kita tunjuk.

Tidak menggunakan sekurang-kurangnya 10 perkataan seperti “ibu” dan “makan”.

Tidak respons kepada soalan dengan menggunakan perkataan atau gerak isyarat apabila ditanya seperti “apa itu?” atau “mana baju?’

Tidak boleh menunjuk kepada 2 atau 3 anggota badan seperti hidung, mata atau kaki.

Umur 24 bulan

Bila Ibu Ayah Perlu Risau Kalau Anak Lambat Bercakap?

Menyebut kurang daripada 100 patah perkataan.

Tidak menggabungkan 2 patah perkataan secara konsisten seperti “pakai kasut” atau “abah balik”.

Tidak mengikut 2 langkah arahan seperti “ambil bola dan bagi ibu”.

Tidak meniru aksi ataupun perkataan seperti “hentak kaki” atau “pusing”.

Tidak bermain olok-olok seperti memberi anak patung makan atau beraksi memandu kereta menggunakan gerak tangan.

Umur 30 bulan

Tiada penambahan kosa kata secara konsisten.

Tidak menggunakan perkataan perbuatan seperti “makan” “tidur” atau “lompat”.

Tidak boleh menjawab soalan mudah seperti “siapa ini?” dan “di mana kereta?”

Tidak berminat untuk berinteraksi dengan kanak-kanak lain.

Umur 3-4 tahun

Tidak bertanya soalan seperti “apa” dan “mengapa” apabila mencecah 3 tahun.

IKLAN

Masih tidak menghasilkan ayat seperti “saya nak minum air” atau “kereta saya jatuh” pada usia 3 tahun.

Tidak mampu bercerita secara ringkas p ada usia empat atau lima tahun.

“Ada tak yang boleh saya lakukan pada waktu ini?”

Sudah tentu.

Ini antara langkah bijak yang ibu bapa boleh lakukan di rumah bagi membantu anak berkomunikasi:

1. Bermain dengan anak.

Bina hubungan. Cipta suasana yang seronok. Lupakan tentang tekanan untuk bercakap.

Fokus kepada keperluan untuk berkomunikasi. Mengapa kita perlu berkomunikasi?

Jika tiada keinginan atau keseronokan untuk berkomunikasi, takkan timbul motivasi untuk bercakap. Mulakan dengan bermain bersama.

2. Cipta peluang untuk berkomunikasi.

Elakkan meneka dan beri terus apa yang anak mahukan. Beri mereka peluang untuk belajar berkomunikasi.

Jika sudah pandai tunjuk untuk dapatkan sesuatu, perlu belajar sebut pula.

Sentiasa tingkatkan kemahiran komunikasi anak.

Ini mungkin akan jadi waktu yang ‘struggle’ untuk anak dan kita sebagai parents, namun di sinilah bermulanya sesi pembelajaran.

1. Ringkaskan bahasa yang digunakan.

Gunakan ayat yang pendek apabila bercakap atau memberi arahan sesuai dengan tahap komunikasi anak. Ini membantu anak untuk fokus kepada perkataan yang sepatutnya.

IKLAN

2. Labelkan setiap benda, perbuatan atau orang yang terlibat.

Labelkan dengan cara MENYEBUT perkataan yang sepatutnya. Contohnya, jika sedang bermain di padang, “banyaknya RUMPUT! RUMPUT lembut. Jom duduk atas RUMPUT! Pegang RUMPUT…”

3. Tunjukkan pada anak bahawa kita sedar akan kehadirannya.

Bila Ibu Ayah Perlu Risau Kalau Anak Lambat Bercakap?

Perhatikan setiap tindakan anak kita, jika masih belum bercakap pun, pasti ada cara yang digunakannya untuk berkomunikasi dengan kita (gerak isyarat, mata, intonasi suara).

Anak-anak faham lebih banyak perkara berbanding dengan apa yang mereka boleh tuturkan.

Walaupun masih belum bercakap, mereka juga mahu ‘didengari’. Inilah saatnya untuk membina hubungan.

Bukankah kita akan bermotivasi melakukan perkara yang sukar jika ada orang yang kita boleh percayai?

4. Bercakap dengan anak menggunakan bahasa yang paling selesa kita gunakan.

Gunakan bahasa yang kita paling mahir gunakan. Perlu diingat, kita perlu modelkan penggunaan bahasa. Ini membantu anak mengembangkan kosa kata dan ayat.

Namun, memperkenalkan lebih daripada 1 bahasa juga adalah langkah yang bagus. Pastikan kita modelkan bahasa dengan baik.

5. Bercakap tentang apa yang kita lakukan dan apa yang anak sedang lakukan. Cakap, cakap dan bercakap!

Lebih banyak yang didengar, lebih banyak akan disimpan dan digunapakai kelak.

6. Semasa berinteraksi, kurangkan gangguan bunyi daripada persekitaran.

Perhatikan TV atau persekitaran yang bising. Ini boleh mengganggu tumpuan anak terhadap komunikasi.

7. Jadikan buku sebagai aktiviti rutin.

Tambah kosa kata dan kemahiran berfikir anak dengan buku.

Gunakan intonasi dan gaya bercerita sebagai daya penarik untuk anak sukakan buku.

Bermula dengan lakukan apa juga cara untuk mereka lihat buku itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan.

Proses membantu anak meningkatkan kemahiran berkomunikasi mungkin akan memakan masa dan tenaga. Akan ada turun naik semangat dan emosi. Namun percayalah, di akhir jalan akan sentiasa ada cahaya.

Yang penting, usaha dan doa!

Sumber: Siti Sarah Said

 

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI