
Baru sahaja rakyat Malaysia dikejutkan dengan tragedi menyayat hati melibatkan adik Khairil Izani Khaizalulinurdin, 10, yang dihanyutkan arus deras, kini satu lagi insiden hampir sama kembali meruntun jiwa ramai.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang sebelum dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Bandar Mahkota Cheras, petang Jumaat.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian di Kondominium Sri Hijau pada jam 7.08 malam.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang telah dikejarkan ke lokasi dan tiba kira-kira 14 minit kemudian bagi menjalankan operasi menyelamat.
Maklumat awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang ketika cuba mengambil bola miliknya. Namun, keadaan arus yang deras ketika itu menyebabkan mangsa disyaki dihanyutkan dengan pantas.
“Kanak-kanak berkenaan disyaki jatuh ke dalam longkang untuk mengambil bola. Semasa kejadian, arus longkang deras dan mangsa dipercayai dibawa arus,” katanya dalam satu kenyataan.
Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat masih giat dijalankan dengan bantuan Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
Insiden ini sekali lagi menjadi peringatan buat semua ibu bapa agar lebih berwaspada, terutama ketika musim hujan dan kawasan longkang atau saliran yang dipenuhi arus deras. Semoga mangsa segera ditemui dalam keadaan selamat.
Sumber: Bernama & Sinar Harian