Kalau anak jenis tak boleh duduk diam, sentiasa nak bergerak dan penuh tenaga, sukan bola tampar mungkin jawapannya. Dalam dunia sekarang yang banyak bergantung kepada skrin, memperkenalkan anak kepada sukan macam bola tampar bukan saja buat mereka aktif, tapi bantu mereka berkembang dari pelbagai aspek.
Gerak Aktif, Risiko Rendah
Bola tampar ialah sukan tanpa kontak fizikal langsung macam ragbi atau bola sepak. Jadi, risiko untuk anak cedera akibat perlanggaran sangat rendah. Mereka akan belajar melompat, menepis bola, dan bergerak dengan lincah atas gelanggang sambil kekal selamat.
Asah Kemahiran Sosial
Bila main bola tampar, teamwork tu wajib. Anak-anak akan belajar berkomunikasi dengan rakan sepasukan, menyusun strategi, dan menghormati keputusan jurulatih. Semua ni bukan sahaja bagus untuk di gelanggang, tapi juga untuk kehidupan harian mereka.
Ads
Bina Disiplin & Tanggungjawab
Setiap pemain ada peranan masing-masing. Bila anak sertai latihan dan perlawanan, mereka belajar tentang kepentingan masa, latihan konsisten, dan tanggungjawab terhadap pasukan. Ini secara tak langsung bantu mereka jadi lebih berdikari dan berdisiplin.
Ads
Kuatkan Fizikal & Fokus
Bola tampar melatih koordinasi tangan-mata, ketangkasan, dan refleks. Anak juga belajar untuk fokus dengan pantas sebab permainan ni cepat dan dinamik. Dalam masa sama, ia bantu mereka bina stamina dan kekuatan otot.
Ads
Terbuka Untuk Semua
Tak kira anak lelaki atau perempuan, sukan bola tampar terbuka untuk semua. Lagi best, ada banyak kelab dan akademi bola tampar yang terima anak-anak dari usia 7 tahun ke atas. Jadi, memang sesuai untuk mereka mula dari awal.
Macam Mana Nak Mulakan?
Cari program sukan komuniti atau akademi bola tampar berhampiran.
Mulakan dari rumah dengan bola lembut dan asas permainan.
Libatkan diri ibu ayah: tonton perlawanan, beri sokongan masa latihan.
Lompatan Kecil, Impak Besar!
Bola tampar bukan sekadar aktiviti hujung minggu. Ia adalah sukan yang boleh bantu anak berkembang secara fizikal, sosial dan emosi. Satu lompatan untuk capai bola mungkin kecil, tapi impaknya besar dalam membina keyakinan dan masa depan anak. Jadi, kalau anak anda jenis aktif dan suka cabaran, kenalkan mereka dengan dunia bola tampar. Siapa tahu, dari minat ini lahir bakat baru negara!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
6 tahun pertama ialah usia keemasan bagi setiap individu. Jika didikan yang diterima baik dan penuh kasih sayang, maka mereka mudahlah untuk dibentuk.
Menurut juruterapi pediatrik, Idzmir Shahril berkongsi tentang kesan didikan kepada emosi kanak-kanak. Apa yang berlaku pada usia 6 tahun ke bawah akan memberikan kesan jangka panjang sehingga mereka dewasa.
Ibu bapa tidak patut mensia-siakan fasa ini. Buang sempadan kesempurnaan kerana anak hanya akan mengingati masa indah yang dihabiskan dengan mereka. Explore, play & bonding, itulah yang sebaik-baiknya.
6 tahun pertama adalah waktu rumah bersepah. Jika anda ada ruang lebih, boleh sediakan ruang khas hanya untuk bermain.
6 tahun sahaja. Selepas itu lebih susah nak minta anak peluk apatah lagi ucapkan perkataan sayang. Anak dah malu.. Kerana pada masa itu anak sudah mempunyai akal.
Bila nak didik anak berkasih sayang? 6 tahun ke bawah.
Kesan daripada didikan 6 tahun ke bawah akan memberi kesan terhadap sosio emosi anak pada 7 tahun ke atas. ?
Don’t trust me, but trust the process.
Dari segi kajian, didikan 6 tahun kebawah dengan Banyak bermain dan bonding time bersama Ibubapa banyak memberi kesan terhadap sosio emosi anak.
Selari dengan pesanan Rasullullah S.A.W, 6 tahun kebawah Baginda berpesan berkasih sayang dan menyanyangi anak tanpa batas. Tidak boleh dipukul walaupun mereka melakukan kesalahan walaupun ATAS DASAR MENDIDIK.
Akhirnya, kesan terhadap sosio emosi anak, mereka akan rasa dekat dengan kita dan merasakan kita adalah orang yang menjadi pelindungnya serta dianggap teman tempat rujukannya.
Ini akan memberi kesan untuk jangka masa panjang ya. Ia akan Bermula 7 tahun sehingga DEWASA! USIA EMAS anak adalah 6 tahun ke bawah!
Ada Ibu bapa datang berjumpa saya, mereka merasa kecewa dan kesal apabila anak lebih menuruti perintah atuk nenek berbanding kita Ibubapa mereka.
Cuba tanya diri kita semula. Kenapa anak memilih atuk nenek dia berbanding anda sebagai ibubapa mereka?
Jadi mulai hari ini dan saat ini, tanam satu azam. Peluk anak, cium anak, ucapkan perkataan SAYANG, pandang anak dengan kasih sayang, Tahan marah dan genggam tangan daripada naik ke kulit anak.
Ucapkan yang baik-baik, kata kan yang baik-baik, nasihat yang baik sahaja sehingga anak berusia 7 tahun walaupun TERPAKSA ulang perkara yang sama 1001kali. Anak baru hidup, jadi dengan siapa dia akan belajar kalau bukan dari orang tuanya?
6 tahun sahaja. 6 tahun sahaja wahai ibubapa sekalian.
Objektif bukan untuk mendidik, tetapi berkasih sayang sambil mendidik dengan kasih sayang dan kasih sayang.
Setiap ibu ayah ada cara ‘parenting’ yang mereka gunakan untuk mendidik anak. Katanya, cara orang Perancis mendidik anak antara yang bagus untuk dicontohi. Pendekatan mereka tak jauh beza dengan cara orang tua kita dulu-dulu yang lebih percaya pada pendekatan tegas semasa mendidik anak-anak.
Biasanya kalau orang barat mereka lebih suka pendekatan psikologi dan banyak beralah pada anak-anak. Nampaknya hari ini semakin ramai ibu ayah muda yang memilih pendekatan sebegini untuk membesarkan anak mereka.
Apa pun cara yang kita pilih semuanya berkesudahan mahu si anak menjadi insan yang berjaya, beradab dan berakhlak mulia. Tapi tak salah untuk tiru cara ‘parenting’ orang barat kalau ia ada kebaikan pada perkembangan dan sahsiah anak kita. Ini cara ibu bapa Perancis mendidik anak mereka.
1. Sesekali biar anak rasa kecewa
Tak semua keinginan anak mesti dipenuhi oleh ibu ayah. Belajar rasa kecewa adalah perkara bagus untuk anak yang sedang membesar. Biarkan dia belajar pengalaman ini untuk persediaannya menghadapi cabaran yang lebih banyak dalam kehidupan nanti. Perasaan kecewa tak dapat apa yang diinginkan boleh menyuntik semangat tak putus asa dalam diri anak.
2. Ajar anak untuk bersabar
Mengajar anak untuk menunggu sesuatu perkara seperti hendak susu, makan, perhatian dari ibu ayah atau menanti ibu atau ayah menjawab soalannya membantu mereka menjadi orang yang penyabar tanpa perlu cepat mengamuk dan marah-marah. Skil ini penting supaya anak tahu menghormati ibu ayah dan tidak hanya tahu mengarah sahaja.
3. Ajar anak hormat masa ‘privacy’ ibu dan ayah
Dari kecil lagi biasakan ajar anak tentang masa ‘privacy’ ibu dan ayah. Anak perlu dibiasakan yang ibu dan ayah juga perlukan masa dihabiskan bersama tanpa kehadiran anak. Bukan maksudnya tak sayang anak tapi ia penting untuk keharmonian dan kebahagiaan ibu ayah serta keseimbangan keperluan hidup.
4. Jangan lindungi kesalahan anak
Biarkan anak belajar dari kesilapannya. Tak perlu nak tolong ‘cover’ atau lindungi kesalahan yang anak dah buat. Bila ibu atau ayah selalu lindungi mereka, anak tak akan belajar akibat yang dia akan tanggung bila bersikap cuai atau terlupa.
Dia akan terus ulang kesalahan yang sama tanpa belajar sesuatu. Bila ibu dan ayah tak ‘cover’ mereka maka di masa akan datang dia akan lebih beringat dan berhati-hati. Ini membantu mereka belajar tentang kehidupan yang sebenar.
5. Biarkan anak bebas bereksplorasi
Tak perlu jadi ibu yang terlalu paranoid dan melindungi anak kerana bimbang keselamatannya. Sebagai ibu bapa, kita memang prihatin tentang keselamatan anak. Sesekali biarkan anak bebas bereksplorasi dan mencuba macam-macam aktiviti aktif seperti bermain monkey bar di taman permainan, skateboard, skuter atau melompat dan memanjat cuma pantau keselamatan mereka sahaja.
6. Tak obses penuhkan jadual anak dengan aktiviti belajar
Hari ini ramai ibu ayah yang obses hantar anak belajar macam-macam kemahiran sampai padat jadual seharian mereka hingga tak ada masa untuk anak berehat. Tapi orang Perancis tak percaya cara itu boleh jadikan anak mereka cemerlang. Mereka lebih percaya untuk memberi ruang kepada anak untuk buat aktiviti sendiri dan paling penting masa bersama keluarga sekurang-kurangnya makan malam bersama. Jadi mereka tak akan memenuhkan jadual harian anak dengan aktviti belajar sahaja.
7. Libatkan anak dalam urusan kerja rumah
Ajar anak dari kecil tolong ibu ayah buat kerja rumah. Bagi orang Perancis, semua tugas-tugas di rumah adalah juga tanggungjawab anak kerana mereka adalah sebahagian daripada keluarga dan mesti menyumbangkan sesuatu dalam urusan kerja rumah. Ibu ayah kena ajar anak buat kerja rumah bersesuaian ikut umur mereka. Barulah mereka belajar bertanggungjawab dan faham kesusahan membuat kerja rumah.
8. Masa bersama keluarga paling penting
Keluarga Perancis sangat mementingkan masa berkualiti bersama keluarga. Kalau susah untuk makan malam bersama setiap hari kerana komitmen masing-masing, mereka tetap akan rancang sekurang-kurangnya beberapa kali mesti makan bersama. Setiap hujung minggu, pastikan rancang jadual makan malam atau tengah hari bersama keluarga diikuti dengan aktiviti bersiar-siar bagi mengeratkan hubungan.
9. Hubungan rapat adik-beradik
Bagi yang mempunyai ramai anak, mereka biasakan anak yang besar untuk membantu adik-adik lain. Contohnya kakak atau abang boleh bawa adik bermain di taman permainan, hidangkan makanan di meja makan atau bantu adik menyiapkan kerja sekolahnya jika boleh. Ini membantu mengeratkan hubungan kasih sayang antara adik-beradik, mengurangkan pergantungan pada ibu ayah dan menjadikan mereka lebih mampu berdikari dan bertanggungjawab.
10. Ajar anak beradab sopan
Walaupun anak seorang yang pemalu terutama dengan orang yang dia tidak dikenali tetapi mereka tetap diajar beradab sopan dengan orang lain walaupun dengan kawan sendiri. Mereka diajar untuk biasa memperkenalkan diri, mengucapkan salam, selamat tinggal dan terima kasih sebagai asas kelakuan baik di depan tetamu walaupun sekadar di kalangan kawan-kawan.
11. Masa berkualiti di luar rumah
Walaupun orang Perancis mementingkan masa bersama anak di meja makan tetapi mereka percaya kanak-kanak mesti dibiarkan menghabiskan banyak masa membuat aktiviti di luar rumah. Memberi kebebasan kepada anak untuk bermain di taman bersama kawan-kawan, bersiar-siar dengan keluarga adalah cara terbaik memastikan mereka sihat, gembira dan cerdas.
Rasanya banyak juga cara orang Perancis mendidik anak sama dengan cara yang dilakukan oleh ibu bapa di Malaysia kan? Apa yang penting semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak mereka.
Hai min, anak i dah masuk 14 bulan tapi masih belum nampak tanda-tanda nak berjalan. Sepatutnya umur berapa dia dah boleh berjalan? Ada orang cakap anak lelaki ni lambat sikit. Betul ke?
Sofea, bukit bandar
Jawapan daripada Doktor
Kebanyakan kanak-kanak sudah mampu berjalan pada umur setahun. Secara umum 85% kanak-kanak mula berjalan tanpa berpegang sekitar umur antara 10-14 bulan. Sekiranya anak anda belum mampu berjalan semasa umurnya mencecah 18 bulan, beliau boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak yang lewat berjalan.
Perkembangan Awal Kanak-kanak
Kemampuan berjalan adalah suatu tahap perkembangan yang sangat penting bagi seseorang kanak-kanak. Selain itu terdapat tahap-tahap perkembangan otot kasar (gross motor) lain yang boleh diperhatikan di peringkat lebih awal.
Berikut ialah kemampuan otot kasar serta umur yang mana seseorang bayi sepatutnya mencapai perkembangan tersebut:
Kawalan kepala – umur 3 bulan
Kaki memijak – umur 4 bulan
Meniarap – umur 6 bulan
Duduk tanpa bantuan – umur 9 bulan
Berdiri tanpa sokongan – umur 12 bulan
Apakah punca yang menyebabkan seseorang kanak-kanak itu lewat berjalan?
Sekiranya seseorang bayi didapati lewat berjalan, salah satu daripada faktor-faktor berikut mungkin boleh berperanan:
Faktor keluarga atau keturunan: Sekiranya ibu atau bapa kanak-kanak tersebut sendiri mengalami masalah lewat berjalan semasa mereka kecil, anak mereka mungkin menghadapi masalah yang sama disebabkan faktor keturunan. Walau bagaimanapun sekiranya ibu atau bapa mampu berjalan semasa berumur 2 tahun serta tiada masalah perubatan yang lain, kemungkinan besar tiada apa yang perlu dirisaukan tentang anak mereka.
Kelahiran pra matang: Secara umumnya bayi yang dilahirkan pra matang atau ‘premature’ akan mengalami sedikit kelewatan perkembangan secara keseluruhan, termasuk lewat berjalan. Jadi kelewatan sekitar 2-3 bulan mungkin tidak menjadi masalah, bergantung kepada tahap bayi tidak matang tersebut semasa lahir.
Cerebral palsy: Kanak-kanak yang menghadapi masalah cerebral palsy biasanya boleh dikesan di peringkat awal, terutama sekiranya mereka mempunyai risiko-risiko berkaitan seperti lemas semasa kelahiran atau kelahiran kurang matang. Walau bagaimanapun ada kanak-kanak cerebral palsy hanya dikesan apabila mereka diperiksa oleh doktor kerana lewat berjalan.
Kanak-kanak cerebral palsy umumnya mengalami kekejangan otot serta kesukaran menggerakkan anggota badan dengan baik. Contohnya, mereka sukar duduk bersila tetapi memilih untuk duduk dengan kaki dilipat ke belakang (posisi ‘W’), atau mereka tidak merangkak secara normal tetapi lebih kepada mengheret kaki.
Lewat perkembangan secara umum (global): Ini bermaksud masalah lewat berjalan kanak-kanak tersebut adalah sebahagian daripada lewat perkembangan dalam aspek lain seperti bercakap, komunikasi, sosial, kemahiran tangan dan kognitif (berfikir).
Terdapat banyak punca-punca lewat perkembangan global. Antaranya ialah masalah sindrom seperti Down syndrome, kecederaan otak disebabkan lemas atau jangkitan kuman, atau pelbagai penyakit kronik yang lain.
Masalah otot: Ini termasuk penyakit-penyakit yang dikenali sebagai muscular dystrophy, spinal muscular atrophy dan congenital myopathy. Penyakit-penyakit ini menyebabkan banyak otot-otot badan menjadi lemah.
Tanda-tanda awal mungkin boleh dikesan semasa peringkat bayi dan kanak-kanak lagi. Antaranya ialah bayi terasa lembik semasa digerakkan, kawalan kepala yang lemah dan kurang kekuatan pergerakan kaki dan tangan. Oleh itu mereka biasanya lewat berjalan, bahkan ada yang langsung tidak mampu berjalan atau berdiri.
Bilakah anak saya perlu dibawa untuk pemeriksaan sekiranya disyaki lewat berjalan?
Kebiasaannya kanak-kanak di Malaysia akan diperiksa pada umur setahun semasa ketika pengambilan suntikan imunisasi. Sekiranya anak anda masih tidak mampu berdiri semasa berumur setahun atau mengalami masalah perkembangan lain, anak anda mungkin akan dirujuk kepada doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Secara umumnya, kanak-kanak yang tidak mampu berdiri semasa berumur setahun dan tidak berjalan semasa berumur 18 bulan perlu diperiksa oleh doktor. Mereka mungkin perlu dirujuk kepada pakar kanak-kanak. Walau bagaimanapun itu tidak semestinya bermakna kanak-kanak itu mempunyai masalah kesihatan.
Bayi menggigit ketika menyusu boleh membuatkan mama terkejut dan sakit. Ketahui punca serta 8 cara berkesan untuk mengatasi masalah bayi menggigit ketika menyusu dengan lebih tenang.