Dikhabarkan akan bersalin pada bulan September nanti, pelakon cantik, Mona Allen juga mengadakan majlis gender reveal bagi berkongsi jantina bayi dalam kandungannya. Setelah lebih kurang empat tahun mendirikan rumah tangga bersama pengarah dan juga pelakon, Pekin Ibrahim mereka kini teruja menanti detik kelahiran cahaya mata pertama.
Pelbagai usaha dilakukan termasuklah kaedah perubatan Islam. Sebelum mencuba, Mona dan Pekin terlebih dahulu menjalani pemeriksaan bersama pakar dan mereka berdua didapati tiada masalah kesihatan yang lain.
Mona berikhtiar dengan meminum air kelapa muda yang dibakar yang disertakan dengan doa. Selepas tiga kali mengamalkan minuman tersebut, dengan izin Allah SWT pasangan romantis ini kemudiannya disahkan hamil.
Di dalam video tersebut dapat dilihat Mona dan Pekin berpakaian merah jambu yang mana sangat sinonim dikaitkan dengan bayi perempuan. Namun, setelah belon besar berwarna hitam diletupkan ternyata Mona hamil anak LELAKI!
Secara umumnya, ibu hamil memerlukan penambahan 300 kalori/hari daripada biasa berbanding wanita yang tidak mengandung. Penambahan 300 kalori sehari amat penting diperolehi daripada makanan yang berkhasiat supaya ia boleh menyumbang kepada pembentukan dan perkembangan bayi. Ini kerana apa yang ibu makanan turut sama dikongsi oleh bayi dalam kandungan.
Semasa mengandung, apa sahaja yang anda makan dan minum merupakan sumber utama nutrien bagi bayi anda.
Jika anda mengalami alahan yang teruk dan tiada selera makan pada trimester pertama, pastikan anda cara jenis makanan yang boleh diterima tekak. Sebaiknya yang berkhasiat dan dapat memberi khasiat kepada bayi dalam kandungan. Bagi yang mengalami alahan yang mencapai trimester kedua sehingga bersalin, pastikan anda tetap makan makanan berkhasiat. Biar sedikit tetapi kerap.
1.Vitamin B kompleks – menjaga sistem otot, saraf dan jantung, supaya berfungsi dengan normal. Sumber makanan: Birijin, kekacang, sayur hijau, produk tenusu (susu), telur dan bijirin.
2.Vitamin D – untuk pertumbuhan dan pembentukan tulang bayi. Sumber makanan: Minyak hati ikan, susu dan kuning telur.
3.Vitamin E – bagi pembentukan sel-sel darah merah yang sihat. Sumber makanan: Gandum, kekacang, minyak sayur dan sayur hijau.
4.Protein – sumber zat pertumbuhan sel. Sumber makanan: Daging, kekacang, ikan dan telur.
5.Asid folik– untuk perkembangan sistem saraf, dan sel darah. Keperluan asid folik semasa tempoh kehamilan adalah 800 mcg sehari terutamanya pada 12 minggu pertama kehamilan. Kekurangan nutrien ini boleh membawa kepada gangguan pembentukan otak yang boleh menyebabkan kecacatan pada susunan saraf atau pun otak bayi. Sumber makanan: Bayam, brokoli, pisang dan tomato.
6.Zat besi – mengelakkan berlakunya anemia di kalangan ibu mengandung. Sumber makanan: Bayam, kangkung, daging dan hati.
7.Kalsium – bagi proses pembentukan tulang, dan gigi bayi serta menghalang ibu dari mengalami osteoporosis. Sumber makanan: Sayur hijau, kekacang, susu dan produk tenusu.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Umum mengetahui tentang kehamilan kedua isteri Raja Pop Negara, Datuk Jamal Abdillah selepas melahirkan bayi perempuan yang diberi nama Nur Azura Yamani Oktober lalu.
Nama Nur Azura diambil sempena filem Azura lakonan Jamal bersama Fauziah Ahmad Daud menjadi pengikat kasih antara Datuk Jamal dan Datin Zai Izzati yang melangsungkan pernikahan pada 1 April 2017.
Sedang enak mengulit bahagia dengan permata hati mereka, Tuhan mengurniakan seorang lagi rezeki apabila Zai Izzati kembali berbadan dua.
Ketika mengesahkan perkara itu April lalu, penyanyi yang popular dengan lagu Kekasih Awal Dan Akhir ini memaklumkan jantina anak keempatnya itu belum diketahui ketika itu.
Namun, penyanyi berusia 61 tahun ini bukan sahaja sudi berkongsi jantina anak, malah turut mendedahkan nama bayinya dalam temubual bersama BH Online, baru-baru ini.
“Alhamdulillah, saya bakal menimang cahaya mata lelaki. Saya dan isteri sudah pun memilih nama untuknya. Kami sukakan nama El Isaac Yamani.
“Nama ini diambil sempena nama Nabi Ishak. Cuma ejaannya saya ubah. Selain itu, nama ini dipilih kerana saya mahu ada sebutan ‘Zek’ yang juga nama karakter saya dalam filem Azura,” dedah penyanyi bervokal mantap ini.
Bergilir jaga anak dengan isteri
Bercerita mengenai kehidupannya selepas mempunyai anak kecil, penyanyi kelahiran Teluk Intan, Perak itu berkata, masanya kini banyak dihabiskan dengan anak berbanding sebelum ini.
“Walaupun ada pembantu rumah, tetapi dalam urusan mengasuh anak, saya dan isteri akan bergilir-gilir menjaganya. Isteri sedang sarat kerana kandungannya sudah memasuki enam bulan. Apabila sudah ada anak kecil, masa untuk diri sendiri semakin berkurangan.
“Fokus saya kini pada anak. Kalau dahulu, saya boleh pergi beriadah pada bila-bila masa, tetapi sekarang saya tak boleh keluar sesuka hati. Badan pun sudah tak ‘fit’ dan semakin berisi,” cerita Jamal.
Anak sulungnya, Osama Yamani yang kini menggunakan nama Yamani Abdillah terpilih untuk menyertai program realiti Big Stage yang memulakan konsert pertama, semalam.
Akuinya, sebagai bapa sudah tentu menaruh harapan besar untuk melihat kejayaan anaknya.
Sebagai penyanyi berpengalaman, Jamal berkata, dia sempat menitipkan pesanan berguna kepada Yamani dari segi persembahan dan penyampaian.
“Dia ada maklumkan pada saya mengenai penyertaannya. Pesan saya, kalau itu yang dimahukan, kena buat betul-betul. Yamani perlu tahu perbezaan antara membuat persembahan dengan pertandingan. Jangan terlalu teruja atau ghairah ketika menyanyi.
“Yamani juga kena menonjolkan bakat bermain alatan muzik yang ada padanya untuk membezakan dirinya dengan peserta lain.
“Selain menyanyi dengan bersahaja dan menghayati lirik, Yamani ada kelebihan bermain alatan muzik. Gunakan kelebihan yang ada ketika membuat persembahan. Saya percaya bakat sampingan dapat membezakan dirinya dengan peserta lain,” kata pemilik nama sebenar Jamal Ubaidillah Mohd Ali.
Menceritakan perkembangan terbaharu kerjaya seni, Jamal berkata, Konsert 40 Tahun Persada Seni Jamal Abdillah anjurannya yang sepatutnya berlangsung pada Jumaat lalu selama tiga hari terpaksa ditangguhkan ke tahun depan berikutan wabak COVID-19 yang masih belum reda.
Jelas penyanyi yang mendapat jolokan Raja Pop ini, walaupun terpaksa menunda projek meganya itu namun dia tidak terkilan kerana ia ada kaitan soal keselamatan, nyawa dan kesihatan.
“Dalam keadaan sekarang, saya rasa lebih baik ditangguhkan sahaja konsert berkenaan pada Ogos tahun depan. Saya tak mahu menanggung risiko jika berkeras mahu menganjurkannya sekarang. Insya-Allah, saya harap COVID-19 akan segera berakhir.
“Walaupun ditangguhkan, namun kerja awal penganjuran konsert sudah dijalankan. Antaranya, menempah pemuzik yang bakal beraksi termasuk kru teknikal. Pembayaran sudah dibuat kerana saya mahu perjalanan konsert ini lancar tanpa sebarang masalah berbangkit pada kemudian hari,” kata Jamal.
Sumber: BH Online
Jangan lupa saksikan Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara, setiap Rabu jam 9 malam di Astro Ria saluran 104/124 dan ulangannya setiap Ahad jam 9.30 pagi.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Gerakan bayi dalam kandungan biasanya dapat dirasai sekitar minggu ke-18 kandungan. Ia bukan saja melahirkan rasa teruja bagi bakal ibu, tetapi ia juga adalah petanda penting terhadap kesihatan bayi.
Semakin bayi besar, pergerakan yang dilakukan apabila meregangkan kaki dan tangan akan semakin terasa. Seiring dengan itu, doktor atau jururawat juga akan meminta para ibu memantau pergerakan bayi setiap hari.
Apabila bayi dalam kandungan kurang gerak, ini adalah perkara yang perlu diambil perhatian. Antaranya ialah :
1. BILA PERLU MULA KIRA GERAKAN BAYI
Jika anda menjalani rutin pemeriksaan di klinik kerajaan, jururawat akan memberi satu carta khas untuk anda menandakan pergerakan bayi setiap hari, bermula sekitar minggu ke-28 kehamilan. Pergerakan bayi yang baik memberikan isyarat kepada ibu bahawa bayi berada dalam keadaan yang baik dan memuaskan.
Maka sekiranya berlaku perubahan atau kurangnya pergerakan bayi berbanding normal, ianya mungkin tanda-tanda awal bayi anda tidak sihat. Hal ini adalah serius dan ia memerlukan pemeriksaan lanjut oleh doktor.
2. BERAPA KALI BAYI PERLU BERGERAK DALAM SEHARI?
Secara tepatnya, tak ada jumlah tendangan yang tetap dan perlu dirasa. Ini kerana, setiap bayi mempunyai corak tidur dan keaktifan yang berbeza. Namun, proses menandakan carta sedikit sebanyak dapat membantu ibu memahami corak pergerakan bayi setiap hari.
Pada awalnya mungkin anda teragak-agak dan berasa kekok untuk mengira gerakan bayi. Tapi apabila sudah biasa, anda akan dapat mengagak waktu serta corak pergerakan bayi yang aktif.
3. CARA KIRA GERAKAN BAYI
Merujuk kepada carta pergerakan bayi yang diberikan oleh Klinik Kesihatan, mereka mencadangkan agar kiraan sehingga 10 kali pergerakan perlu dicatatkan setiap hari bermula jam 9 pagi. Gerakan ini tidak kiralah sama ada tendangan, gulungan, tumbukan atau pergerakan lain dalam tempoh 12 jam.
Semua pergerakan bayi akan dikira sebagai satu gerakan apabila bayi bergerak dalam jangka masa yang agak lama atau terhenti-henti. Maksudnya, jika bayi mula bergerak, kemudian berhenti selama beberapa saat dan bergerak kembali, itu masih dikira satu pergerakan. Pergerakan seterusnya hanya akan dikira jika ia berlaku selepas 30 minit berikutnya.
4. APA PERLU BUAT KALAU TERLUPA KIRA GERAKAN BAYI?
Memang mudah untuk kita terlupa mencatat pergerakan bayi, lebih-lebih lagi apabila kita sibuk melakukan kerja-kerja harian atau tengah travel dari satu tempat ke tempat lain.
Tapi apabila sudah teringat, bolehlah membuat beberapa rangsangan untuk merasakan pergerakan bayi. Berikut adalah antara perkara yang boleh dilakukan :
1. Angkat kaki ke atas dan relaks. Bayi lebih mudah terjaga apabila anda duduk diam kerana semasa anda sibuk bergerak bayi mungkin tertidur kerana terasa seperti dibuai.
2. Berbaring mengiring.
3. Minum air / air yang sangat sejuk. Bayi anda mungkin dapat merasakan perubahan suhu dalam badan anda dan cuba untuk mengelak daripadanya.
4. Buat bunyi bising, mainkan muzik, zikir, dan sebagainya. Cuba lihat tindak balas daripadanya.
5. Jika bayi anda mula bergerak selepas anda melakukan rangsangan ini, kemungkinan besar bayi anda tak apa-apa. Namun, pastikan anda terus memantau pergerakannya pada jam-jam berikutnya.
5. RISIKO BAYI KURANG GERAK
Selepas tempoh 28 minggu, pergerakan bayi yang kurang aktif boleh menjadi sesuatu yang serius. Ia mungkin petanda bagi beberapa masalah seperti:
1. Kebocoran air ketuban
2. Bayi berhenti membesar
3. Bayi mengalami hipoksia (tali plasenta tidak dapat mengalirkan darah yang penuh oksigen dan nutrien kepada bayi)
4. Kematian bayi dalam kandungan
Oleh sebab itu, ibu-ibu dinasihatkan agar tidak culas memantau pergerakan bayi setiap hari. Kalau rasa tak sedap hati, jangan teragak-agak dan terus ke klinik atau hospital yang berdekatan.
6. APA YANG DOKTOR AKAN BUAT BILA BAYI KURANG GERAK?
Untuk memeriksa kesihatan kandungan, pihak hospital akan memantau kadar degupan jantungnya terlebih dahulu. Jika ia kurang memuaskan, doktor akan melakukan imbasan (scan) untuk melihat jumlah air ketuban serta kadar tumbesaran bayi.
Sekiranya terdapat masalah serius pada perkembangan bayi, ibu mungkin akan ditahan wad dan dicadangkan untuk melahirkan bayi secepat mungkin. Jangan membuat andaian dan mendengar nasihat yang salah. Kebanyakan ibu di luar sana yang terlambat menyelamatkan anak yang dikandung kerana mendengar nasihat dan sangkaan yang salah. Antaranya :
• Pergerakan janin memang akan berkurangan bila semakin matang. Ini adalah nasihat yang salah.
• Pergerakan janin akan berkurang apabila ibu berpuasa. Ini juga nasihat yang salah.
Jadi, ibu-ibu perlu lebih peka dan sentiasa memantau kecergasan pergerakan bayi dalam kandungan. Jangan sambil lewa dan ambil mudah. Kalau lambat dikesan, nyawa bayi mungkin berada dalam bahaya.
Penyebab utama anemia di kalangan wanita mengandung adalah kekurangan zat besi. Semasa mengandung, badan manusia akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.