7 Cara Ajar Anak Membaca Dengan Seronok Tanpa Tekanan, Rahsia Anak Cepat Pandai Membaca!

Share

Dalam dunia keibubapaan hari ini, ramai ibu ayah rasa tertekan bila anak belum pandai membaca, terutama bila nampak anak orang lain dah boleh baca buku cerita dengan lancar. Tapi sebenarnya, setiap anak ada masa dan gaya belajar yang berbeza.

Menerusi perkongsian seorang ibu di laman Facebook, beliau berkongsi 7 cara ajar anak membaca yang boleh dijadikan panduan berguna untuk ibu ayah lain. Katanya, jangan sesekali paksa anak atau stres, sebab tekanan hanya akan buat anak hilang minat untuk membaca. Bahaya tau!

Nak tahu macam mana cara dia ajar anak sampai pandai membaca dengan santai? Jom tengok satu-satu.

1. Bacakan Buku Sejak Kecil (Read Aloud)

Mulakan seawal mungkin seawal 6 bulan pun dah boleh bacakan buku cerita. Kajian menunjukkan bayi yang dibesarkan dalam suasana yang sering dibacakan buku dan selalu berkomunikasi akan memiliki kosa kata yang lebih banyak.

Sebelum ajar anak membaca, biar dulu mereka pandai bercakap dan faham arahan. Menurut pakar terapi carakerja (OT), bawah umur 2–3 tahun tak perlu ajar ABC atau 123 lagi, cukup fokus pada perkembangan asas dulu.

2. Dengar Lagu & Menyanyi Bersama

Irama dan lagu bantu stimulasi otak anak. Bila anak menyanyi sambil menari, dua-dua belah otak aktif! Kalau guna fonik, boleh guna lagu popular seperti “Abu Ada Ayam” atau lagu ABC. Janji anak enjoy!

3. Bermain Dengan Huruf

Setiap huruf boleh dijadikan aktiviti menyeronokkan. Contohnya, huruf A untuk ayam — guna kulit telur ayam untuk tampal pada kertas. Biar anak kupas kulit telur tu sendiri.

Aktiviti begini bantu kuatkan motor halus, motor kasar dan koordinasi mata-tangan. Boleh juga buat “game tabur huruf”: sebut bunyi huruf dan suruh anak cari yang betul. Seronok dan efektif!

4. Gabung Bunyi (Phonics Blending)

Kalau guna fonik, ajar anak gabungkan bunyi seperti /beh/ + /aa/ = ba. Kalau ikut kaedah suku kata pun sama konsep — ‘b’ kawan dengan ‘a’ jadi “ba”.

Ibu ini siap DIY guna muka Hello Kitty, letak huruf satu-satu untuk anak belajar! Nak versi comel lagi, boleh cari flip-card menarik di pasaran.

5. Aktiviti Suku Kata

Bila anak dah boleh gabung dua huruf, teruskan dengan aktiviti suku kata. Contohnya bahagian tubuh: Da-hi, Pi-pi, Da-gu, Ka-ki.

Anak lebih cepat tangkap bila belajar sambil melihat, menyentuh dan bermain — bukan hanya melalui buku. Katanya, dia suka “bawa keluar” isi dari buku jadi benda nyata yang anak boleh pegang dan rasa.

6. Membaca Di Mana-Mana

Bila anak dah boleh membaca sedikit, jadikan membaca sebagai rutin bersama. Contohnya, ibu baca satu ayat, anak sambung ayat seterusnya. Tampal poster bacaan di tempat yang mudah dilihat — dinding, peti ais, ruang tamu. Membaca bukan hanya di buku, tapi di sekeliling kehidupan anak.

7. Jangan Stress, Jangan Drill – Make It Fun!

Pesan ibu ni, “Please jangan stress!” Bila kita tegang, anak pun boleh rasa. Bila kita paksa, minat mereka hilang. Cuba fikir aktiviti yang menarik minat anak, peluk dan puji selalu.

Katanya, setiap hari dia cuma luangkan 5–15 minit untuk aktiviti membaca. Selebihnya, main, main, dan main! Tahu-tahu saja, anak dah boleh membaca dengan lancar.

Cara ajar anak membaca bukan melalui paksaan, tapi melalui kasih sayang, komunikasi, dan keseronokan. Semoga perkongsian ini bantu ibu ayah di luar sana faham bahawa perjalanan membaca anak tak perlu stres — yang penting, enjoy the process dan raikan setiap kemajuan kecil mereka.

Sumber:  Facebook Azila Ghani

Published by
Nor Yusoff