Cara Johan Didik Anak Tak Kedekut, Hantar Ke Rumah Anak Yatim Buka Mata Ramai

Share

Setiap ibu bapa pasti pernah berdepan situasi anak sukar berkongsi, sama ada mainan, makanan mahupun perhatian. Walaupun nampak remeh, sikap terlalu mementingkan diri jika tidak dibimbing sejak kecil boleh memberi kesan kepada pembentukan emosi dan sahsiah anak. Itulah yang cuba ditangani menerusi cara Johan didik anak yang jarang dilakukan tetapi penuh makna.

Cara Johan mendidik anak-anaknya mencuri tumpuan ramai selepas beliau berkongsi kisah memilih pengalaman hidup sebenar sebagai pengajaran penting untuk membentuk sikap tidak mementingkan diri dalam diri anak-anaknya.

Menerusi satu perkongsian di media sosial Threads, Johan mendedahkan keputusan menghantar anak lelakinya, Ahmad Sodiq Hanania atau lebih dikenali sebagai Sodiq, ke sebuah rumah anak yatim selepas menyedari sikap anaknya yang sukar berkongsi dengan orang lain.

Sikap Tak Suka Berkongsi Jadi Perhatian

Menurut Johan, Sodiq menunjukkan kecenderungan untuk menyimpan segala miliknya sendiri dan tidak selesa berkongsi walaupun dengan ahli keluarga terdekat.

“Sikap ini bukan sahaja melibatkan barang peribadi, malah makanan dan pakaian juga dia sukar untuk berkongsi. Dari situ saya rasa dia perlu belajar secara langsung tentang nilai empati dan kesyukuran,” jelas Johan jujur.

Sebagai seorang bapa, Johan mengakui beliau dan isterinya, Ozlynn Waty, sudah beberapa kali menasihati dan menegur. Namun, perubahan yang diharapkan masih belum kelihatan, membuatkan Johan mencari pendekatan lain yang lebih memberi kesan mendalam.

Tinggal Tiga Hari Di Rumah Anak Yatim

Johan menegaskan, keputusan tersebut bukan dibuat secara terburu-buru atau atas dasar marah. Sebaliknya, ia hadir selepas Sodiq dan adiknya, Haziq, terlibat dalam satu kesalahan yang memerlukan pengajaran lebih bermakna.

“Saya bawa kedua-dua mereka tinggal di rumah anak yatim selama tiga hari. Bukan untuk menghukum, tetapi supaya mereka melihat sendiri kehidupan yang berbeza dan belajar menghargai apa yang mereka ada,” katanya.

Sepanjang tempoh tersebut, anak-anak Johan didedahkan dengan kehidupan yang lebih sederhana. Mereka perlu berkongsi ruang, makanan dan keperluan harian bersama anak-anak lain yang hidup tanpa kemewahan, namun tetap ceria dan bersyukur.

 

View on Threads

 

Pengalaman Yang Mengubah Cara Pandang Anak

Menurut Johan, pengalaman itu memberi kesan besar kepada anak-anaknya. Mereka mula memahami bahawa tidak semua orang bernasib baik seperti mereka dan setiap nikmat yang dimiliki wajar disyukuri serta dikongsi.

Perubahan sikap anak-anaknya selepas itu juga jelas kelihatan. Mereka menjadi lebih mudah berkongsi, kurang merungut dan lebih bertimbang rasa terhadap orang sekeliling sesuatu yang sukar dicapai hanya melalui nasihat lisan.

Raih Reaksi Positif Ibu Bapa

Perkongsian cara Johan didik anak ini menerima reaksi positif daripada warganet, khususnya ibu bapa yang turut berdepan cabaran mendidik anak agar tidak bersikap kedekut.

Ramai menyifatkan pendekatan Johan sebagai berani, tegas tetapi masih berlandaskan kasih sayang. Tidak kurang juga yang berkongsi pengalaman sendiri, mengakui mereka masih mencari kaedah terbaik untuk memupuk nilai empati dalam diri anak-anak.

Didikan Lebih Utama Daripada Harta

Dalam perkembangan berkaitan, Johan sebelum ini pernah menyatakan bahawa hasil kerja keras dan kekayaan yang dikumpulnya bukan untuk diwariskan kepada anak-anak, sebaliknya demi kebahagiaan isterinya.

Bagi Johan, tanggungjawab utama sebagai ibu bapa adalah menyediakan keperluan asas, pendidikan, ilmu dan pembentukan sahsiah yang kukuh. Kisah ini menjadi peringatan bahawa mendidik anak bukan sekadar memenuhi kehendak material, tetapi membentuk hati, emosi dan nilai kemanusiaan.

Kadangkala, pengalaman hidup sebenar menjadi guru terbaik dalam membesarkan anak yang lebih empati, bersyukur dan berjiwa besar.

BACA LAGI : Didik Anak Lelaki Dengan Lembut, Kekuatan Sebenar Dalam Keibubapaan Positif

Published by
Nana