Cara Lindungi Anak Daripada Influenza A, Virus Paling Ganas Musim Ini Yang Wajib Ibu Bapa Tahu!

Share

Musim sekarang ini, jangan anggap biasa aje bila anak kecil selesema. Namun jika anak dijangkiti penyakit Influenza A, ibu bapa perlu berwaspada kerana ia boleh mengakibatkan kematian!

Walaupun ramai orang pulih darinya tanpa komplikasi, virus ini boleh menyebabkan komplikasi serius seperti pneumonia, serangan jantung, dan kematian  terutamanya dalam kalangan warga emas, kanak-kanak, serta individu yang lemah sistem imun.

Dalam kes tertentu, jangkitan Influenza A boleh sampai ke otak dan menyebabkan radang (encephalitis)!

Kanak-kanak dan warga emas paling berisiko mengalami gejala sawan, kekeliruan, atau kehilangan kesedaran. Oleh itu, penting untuk ibu bapa tahu cara melindungi anak daripada virus ini.

Situasi Terkini Penularan Influenza A di Malaysia

Menurut laporan berita harian terkini, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis mengesahkan 19 kes dipercayai penularan jangkitan Influenza A di lima sekolah di negeri itu. Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Arifin, berkata berdasarkan data dari awal bulan ini hingga semalam, situasi masih terkawal. Walaupun begitu, ibu bapa disarankan untuk lebih peka dan mengambil langkah pencegahan segera.

Gejala Influenza A Yang Perlu Dikenal Pasti

Antara gejala biasa ialah demam tinggi, batuk kering, sakit tekak, hilang selera makan, dan keletihan melampau. Jika tidak dikawal, virus ini boleh merebak cepat dan menyerang paru-paru. Elakkan anak daripada keluar rumah tanpa sebab penting, pastikan mereka memakai pelitup muka di tempat awam, banyakkan minum air, dan cukupkan waktu rehat.

Apa Itu Virus Influenza?

Virus influenza tergolong dalam famili Orthomyxoviridae. Ia menyerang saluran pernafasan (hidung, tekak, dan paru-paru) dan menyebabkan simptom seperti demam panas, batuk teruk, sakit sendi, keletihan melampau dan sesak nafas.

Jenis-Jenis Virus Influenza

  • Influenza A – paling ganas, boleh menyebabkan pandemik (contoh: H1N1).
  • Influenza B – lebih stabil tapi tetap bahaya, terutamanya pada kanak-kanak.
  • Influenza C – ringan dan jarang sebabkan wabak.
  • Influenza D – tidak menjangkiti manusia (biasanya pada haiwan).

Virus jenis A dan B inilah yang dimasukkan ke dalam vaksin setiap tahun untuk perlindungan yang optimum.

Apa Itu Vaksin Influenza?

Vaksin influenza adalah vaksin yang direka untuk melindungi kita daripada jangkitan virus influenza. Setiap tahun, virus influenza boleh bermutasi, jadi vaksin perlu diambil setiap tahun untuk melindungi diri daripada varian baru. Ia membantu mencegah penyakit serius seperti radang paru-paru, terutamanya bagi golongan berisiko tinggi.

Ini vaksin paling popular sekarang

Jenis Vaksin Influenza di Malaysia

Tidak dinafikan dengan peningkatan kes, vaksin-vaksin ini telah menjadi ‘barang laris’ atau popular pada masa kini. Bayangkan beberapa hospital sesak dengan pesakit. Berikut nama vaksin yang ibu ayah kena tahu.

  • Fluarix Tetra® – GlaxoSmithKline (Jerman), vaksin inaktif kuadrivalen.
  • Influvac Tetra® – Abbott Biologicals (Belanda), vaksin inaktif kuadrivalen.
  • FluQuadri™ – Sanofi Pasteur (Amerika Syarikat), vaksin inaktif kuadrivalen.
  • Vaxigrip Tetra® – Sanofi Pasteur (Perancis), vaksin inaktif kuadrivalen.

Kenapa Perlu Mendapatkan Vaksin Influenza?

1. Melindungi Diri Daripada Virus Influenza A

Vaksin membantu sistem imun melawan virus dengan lebih berkesan. Walaupun anda masih boleh dijangkiti, simptom akan menjadi lebih ringan dan pemulihan lebih cepat.

2. Mencegah Penyebaran Kepada Orang Lain

Apabila anda divaksin, risiko menjangkiti orang lain termasuk kanak-kanak dan warga emas berkurang. Ini membantu mengurangkan penyebaran penyakit di komuniti.

3. Mengurangkan Risiko Komplikasi Serius

Tidak divaksin bermakna risiko komplikasi seperti pneumonia meningkat. Vaksin influenza mengurangkan kemungkinan jangkitan menjadi teruk.

4. Meningkatkan Imuniti Komuniti

Apabila ramai mendapat vaksin, imuniti kolektif meningkat dan wabak lebih mudah dikawal.

Siapa Yang Perlu Mendapatkan Vaksin Influenza?

  • Kanak-kanak: Terutama yang berumur 6 bulan hingga 5 tahun.
  • Warga emas: Berumur 65 tahun ke atas.
  • Pesakit penyakit kronik: Seperti diabetes, jantung, asma, atau paru-paru.
  • Wanita hamil: Terutamanya pada trimester kedua dan ketiga.
  • Pekerja kesihatan: Berisiko tinggi kerana terdedah kepada pesakit.

Bilakah Waktu Terbaik Untuk Mendapatkan Vaksin Influenza?

Musim influenza di Malaysia biasanya berlaku antara Oktober hingga Disember. Jadi, sebaiknya vaksin diambil sebelum musim puncak untuk memberi masa sistem imun membina perlindungan yang kukuh terhadap Influenza A.

Di Mana Anda Boleh Mendapatkan Vaksin Influenza?

Vaksin boleh didapati di hospital kerajaan, klinik kesihatan, klinik swasta, dan beberapa farmasi terpilih. Pastikan anda memilih fasiliti bertauliah untuk mendapatkan vaksin yang diluluskan oleh KKM.

Influenza A bukan sekadar selesema biasa. Ia boleh menyebabkan komplikasi yang serius jika tidak dicegah awal. Lindungi anak dan keluarga anda dengan vaksinasi tahunan, amalkan kebersihan diri, serta elakkan tempat sesak ketika wabak menular. Kesedaran dan pencegahan awal adalah kunci untuk kekal sihat sepanjang musim.

Sumber: Berita Harian dan nationalpharmacy

 

Published by
Nor Yusoff