
Setiap kali membuka kertas peperiksaan anak murid, hati seorang guru pasti berdebar. Tapi bayangkan perasaan bila kertas yang dibuka itu kosong langsung tiada jawapan, seolah-olah pelajar itu menyerah tanpa cuba.
Begitulah yang dilalui oleh seorang guru Bahasa Inggeris baru-baru ini yang kecewa melihat jawapan yang diberikan oleh anak muridnya . Perkongsiannya di Threads selesai menanda kertas peperiksaan, beliau hanya mampu menarik nafas panjang sebelum menulis pesanan kecil di atas kertas pelajarnya:
“Sangat lemah! SMK bukan tempat bermain, perlu lebih usaha.”
Tulisannya ringkas, tapi sarat dengan perasaan kecewa dan kasih. Guru itu tahu, bukan mudah mendidik anak murid zaman sekarang cepat bosan, cepat mengelat, dan kadang terlalu diselamatkan oleh mak ayah di rumah.
Hatinya pedih, bukan sebab murid tak pandai, tapi sebab murid tak mahu mencuba. Cikgu pun ada hati mereka juga manusia yang boleh kecewa bila usaha tidak dihargai.
Namun niat baik itu tidak selalu difahami. Seorang lagi guru turut berkongsi pengalaman hampir sama menulis pesanan teguran di kertas pelajar, tapi akhirnya dimarahi oleh ibu bapa.
“Saya pernah tinggalkan pesanan dekat paper pelajar. Lepas tu ada parents WhatsApp marah saya. Kata saya buat emosi anak dia terganggu.
Notes yang saya tulis:
‘We did this multiple times but you still choose to leave it blank? You tak akan kemana with this kind of attitude!’
Parents dia bagi essay message dekat saya. Then saya reply ‘Mungkin kalau puan ajar anak puan buat karangan panjang macam ni, mungkin anak puan akan excellent.’
That parents blocked me till now.”
Kata-kata guru ini kedengaran sinis, tapi siapa yang benar-benar faham dunia pendidikan pasti tahu — ia lahir daripada rasa kecewa dan putus asa. Guru bukan marah sebab benci, tapi sebab sayang. Bila usaha bertahun-tahun tak membuahkan hasil, siapa yang tak terasa?
Tapi di sebalik kisah tegang itu, ada satu cerita kecil yang cukup menyentuh hati ramai ibu bapa. Seorang ibu berkongsi tentang anaknya yang masih Darjah 4, yang pulang ke rumah bercerita sesuatu yang membuatkan dia terdiam lama.
“Anak aku darjah 4, dia cite naik skola aritu ade 10 org je dia dgn kwn2 yg siap kn keje skola BM.. yg lain sume x siap… pastu cikgu tu ckp ‘awak semua buka buku baca, saya nak keluar kejap..’ Tapi anak aku nampak cikgu tu nangis kat luar kelas.”
“Terus aku bising kat anak aku, sebab tu mama selalu pesan siap kerja sekolah. Kesian cikgu tu hari-hari beria mengajar tapi korang buat tak endah je. Cikgu pun manusia, ada anak-anak, ada keluarga dia nak jaga. Bukan menghadap murid 24 jam.
Macam anak aku, aku dah pesan siap-siap kat cikgu, kalau patut didenda atau rotan, silakan. Semoga tabah la guru-guru masa kini.”
Petikan itu jadi tular semula kerana terlalu jujur. Bayangkan betapa remuk hati seorang guru, terpaksa keluar dari kelas untuk menahan tangis sebab muridnya tak ambil berat.
Itu bukan air mata marah. Itu air mata kecewa kecewa kerana usaha dan harapan tidak disambut. Inilah realiti dunia pendidikan hari ini. Cikgu pun ada hati
, bukan robot yang boleh tahan segalanya.Realitinya, ramai guru hari ini hidup dalam dilema. Nak menegur takut dikatakan kasar, nak marah takut dikata ganggu emosi anak. Sedangkan tanpa teguran, bagaimana anak nak belajar erti tanggungjawab?
Anak-anak zaman sekarang cepat tersentuh. Sedikit teguran boleh dianggap buli, sedikit hukuman boleh dilapor sebagai “trauma”. Tapi di sebalik semua itu, siapa yang ajar anak bertahan bila hidup sebenar nanti tak seindah TikTok dan game?
Ramai ibu bapa sekarang terlalu cepat melindungi setiap kesilapan anak didefend, setiap kelemahan diselindung. Sedangkan kalau dulu, bila anak tak siapkan kerja sekolah, mak ayah sendiri yang minta cikgu denda.
Hakikatnya, guru dan ibu bapa bukan musuh. Mereka sama-sama nak tengok anak berjaya. Bezanya cuma pendekatan.
Kalau guru terlalu letih dan ibu bapa terlalu defensif, siapa nak bimbing anak-anak ni? Bila anak gagal, bukan cikgu sorang yang rugi, tapi kita semua.
Sebab itu penting untuk ibu bapa faham bila cikgu menulis teguran di kertas ujian, itu bukan hinaan. Itu doa dalam bentuk nasihat. Bila cikgu marah, itu tanda dia masih peduli. Yang patut ditakutkan ialah bila cikgu dah tak marah langsung — sebab itu tandanya dia dah putus asa.
Kisah guru yang menangis di luar kelas, guru yang dikecam hanya kerana menulis “Sangat lemah”, dan guru yang diblok ibu bapa selepas menegur dengan jujur semuanya menggambarkan satu hakikat pahit dunia pendidikan hari ini.
Cikgu pun ada hati. Mereka ada rasa, dan setiap hari mereka cuba jadi kuat demi anak-anak bangsa. Tapi bila semangat mereka makin patah kerana salah faham dan tekanan, siapa pula yang akan menjaga mereka?
Semoga kisah ini membuka mata kita semua — bahawa mendidik anak bukan hanya tanggungjawab cikgu. Ia tugas bersama. Dan kadang-kadang, air mata cikgu hari ini adalah harga yang dibayar untuk masa depan anak-anak kita.