Cinta suami & anak-anak jadi penawar, Elyana terus tabah jalani kemoterapi! Itulah kisah penuh inspirasi penyanyi dan pelakon popular, Elyana, 38, yang tidak pernah berhenti berjuang melawan kanser limfoma walaupun sudah bertahun-tahun melalui detik sukar dalam hidupnya.

Sebagai seorang ibu, Elyana akui perjalanan ini bukanlah mudah. Kesihatan yang tidak menentu sering membataskan dirinya untuk melakukan aktiviti seperti ibu-ibu lain. Namun, doa, kasih sayang anak-anak dan sokongan suami tercinta menjadi sumber kekuatan paling besar untuknya terus bangkit.

Anak-Anak Cepat Matang, Jadi Pendorong Ibu

Elyana yang bergelar ibu kepada Cinta Sumayyah, 15, dan Cahaya Ramadhani, 6, berkata anak-anaknya membesar dengan penuh kesedaran tentang apa itu kanser. Sejak bayi lagi, mereka sudah terbiasa melihat ibu pulang daripada rawatan kemoterapi dalam keadaan lemah.

Cinta Suami & Anak-Anak Jadi Penawar, Elyana Terus Tabah Jalani Kemoterapi!

Ads

“Bagi mereka, melihat saya sakit itu normal. Mereka cepat matang, tahu apa itu kanser dan bagaimana kitarannya. Biarpun berbeza daripada rakan sebaya, anak-anak saya sangat memahami,” kongsinya penuh sebak.

Kasih Suami Tiang Semangat

Tidak dinafikan, sokongan seorang suami turut menjadi kekuatan terbesar buat Elyana. Walaupun dirinya sering sakit, suaminya sentiasa ada di sisi memberi semangat dan melengkapkan kasih sayang keluarga kecil mereka.

“Bila tubuh lemah, saya selalu lihat wajah suami dan anak-anak. Dari situ, semangat saya kembali. Cinta mereka ubat paling mujarab,” katanya.

Ads

Positif & Tidak Pernah Putus Asa

Walaupun sudah disahkan bebas daripada kanser sejak empat tahun lalu, Elyana masih perlu menjalani rawatan kemoterapi secara berkala. Baginya, sikap positif adalah kunci untuk terus kuat melawan rasa sakit.

Ads

“Kalau kita positif, benda positif akan datang kepada kita. Jangan pernah putus asa, doa dan senyuman anak-anak cukup untuk membuat saya bertahan,” jelasnya penuh harapan.

Inspirasi Buat Ibu-Ibu

Perjalanan Elyana ini menjadi inspirasi buat semua ibu yang sedang diuji dengan kesihatan. Walau tubuh sering lemah, naluri seorang ibu tetap mahu terus ada untuk anak-anak. Kasih sayang keluarga terbukti sebagai penawar yang tidak ternilai.

Bagi Elyana, setiap hari adalah perjuangan. Namun selama masih ada cinta dan doa keluarga, beliau percaya dirinya mampu bertahan. Benarlah kata orang, kasih sayang keluarga adalah ubat paling ajaib untuk seorang ibu.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads