Berita

Coretan Meruntun Jiwa Suami Cikgu Jamaliah, Janji Beri Yang Terbaik Untuk Tiga Anak Lelaki

Share

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan satu berita yang begitu meruntun jiwa seorang guru wanita, Cikgu Jamaliah, dilaporkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke rumah pengasuh untuk mengambil anaknya.

Berita itu bukan sekadar kisah kemalangan biasa. Ia adalah kisah seorang ibu yang keluar rumah untuk menjemput anak, tetapi tidak pernah kembali.

Lebih memilukan, di sebalik tragedi ini, muncul satu perkongsian di Facebook daripada suami arwah luahan yang begitu jujur, begitu dalam sehingga ramai yang membacanya mengalirkan air mata.

Coretan Meruntun Jiwa Suami Cikgu Jamaliah

Dalam coretan beliau berkongsi detik terakhir bersama isteri tercinta, Cikgu Jamaliah, pada pagi kejadian. Perkongsian suami arwah di Facebook benar-benar meruntun jiwa. Bukan sekadar cerita kehilangan… tapi kisah cinta yang terlalu tulus, yang akhirnya terhenti di satu simpang jalan.

Pagi itu, mereka seperti biasa keluar bekerja, berbual tentang hal anak-anak, berkongsi rutin yang sudah sebati dalam hidup berkeluarga.

“Dakapan terakhir kuat erat… sebelum masing-masing keluar menjalankan tugas dunia. Hari tu penghabisan dunia untuk beliau… mungkin beliau tahu…”

Tiada siapa tahu, pelukan itu adalah yang terakhir. Tiada siapa sangka, itu kali terakhir dia melihat isterinya berjalan keluar dari pintu rumah.

Sejadah dan telekung yang digunakan arwah selepas solat Zohor… masih terletak elok di tempatnya. Tidak terusik.

“Sejadah dan telekung bilik selepas selesai zohor terakhir beliau… aku biarkan terletak elok sampai saat ini…”

Seolah-olah… ada bahagian dalam dirinya yang belum bersedia untuk menerima hakikat bahawa pemiliknya tidak akan kembali.

Petang itu, rutin harian mereka berjalan seperti biasa. Siapa ambil anak, siapa balik awal itu perkara kecil yang mereka bincangkan setiap hari.

“Babah on the way balik ni… babah angkutlah abang youk dengan adik sekali.”
“Eh tak apa bah, nanti umi nak ambil…”

Itulah ayat terakhir antara mereka. Beberapa minit kemudian, segalanya berubah. Satu panggilan telefon masuk daripada rakan sekampung.

“Mat… kau datang simpang sekarang… bini kau excident…”

Dalam keadaan biasa, dia mengaku dirinya jenis kelam kabut bila dengar berita kecemasan. Tapi petang itu… lain.

“Aku macam… tak tahu nak describe… macam kau tahu sesuatu besar nak jadi, tapi kau hanya mampu pasrah…”

Dia terus capai kunci motor, tinggalkan anak di rumah tanpa sempat berkata apa-apa. Hati seorang suami waktu itu… hanya mahu sampai cepat.

Lokasi kejadian hanya kira-kira satu kilometer dari rumah. Dekat… tapi cukup untuk memisahkan dua dunia yang hidup dan yang akan pergi.

Di situ, dia melihat kereta isterinya remuk teruk. Orang ramai sedang membantu mengeluarkan arwah yang tersepit.

Dan saat itu… seorang suami hanya mampu memeluk tubuh isterinya, Cikgu Jamaliah.

“Aku duduk… aku riba umi… aku rasa nadi dia… ‘umi…’”

Dia lupa pada kesakitan sendiri. Kakinya yang retak… tidak lagi terasa.

“Kaki aku sakit aku lupa… Kuasa Allah, aku boleh berdiri tanpa rasa apa…”

Semua itu hilang… bila berdepan dengan saat paling berat dalam hidupnya.

Dalam perjalanan ke hospital, dia memangku isterinya di tempat duduk belakang. Memandang wajah yang selama ini menjadi penenang hidupnya.

“Aku tenung muka dia… tak ada darah… bersih… Allah…”

Tiada luka yang jelas di luar. Namun di dalam… kecederaannya terlalu parah.

Saat di hospital dia sudah bersedia. Sejak dari saat dia merangkul tubuh isterinya di lokasi kejadian, hatinya sudah mula menerima kehilangan Cikgu Jamaliah.

“Aku dah redha… sejak aku rangkul badan umi dalam kereta tadi…”

Dan akhirnya, panggilan itu datang. Jam 4.46 petang  isterinya disahkan pergi buat selama-lamanya.

Namun apa yang paling merobek jiwa bukan hanya kehilangan itu. Tetapi bagaimana dia mengenang isterinya seorang wanita yang terlalu baik untuk dunia ini.

“Tidak pernah meninggikan suara… tidak pernah menolak…”
“Babah minta masak pukul 12.30 malam pun… umi bangun…”

Cinta mereka bukan cinta yang gah di mata orang. Tapi cinta yang hidup dalam perkara kecil—dalam layanan, dalam pengorbanan, dalam diam.

“Kuku tangan kaki babah pun umi yang keratkan…”

Hal-hal kecil yang dulu mungkin nampak biasa… kini jadi kenangan paling mahal.

Dan di hujung luahan itu seorang suami mengakui sesuatu yang paling dalam dari hatinya.

“Babah cintakan umi kerana Allah… wanita kiriman dari syurga…”

Kini, dia tinggal bersama tiga anak lelaki membawa bersama kenangan, cinta, dan rindu yang tidak akan pernah selesai selepas pemergian Cikgu Jamaliah. Dia juga berjanji untuk memberikan yang terbaik buat mereka, meneruskan kehidupan dengan penuh kekuatan walaupun kehilangan itu terlalu berat.

Info Kejadian Yang Meragut Nyawa Seorang Ibu

Menurut laporan, kejadian berlaku sekitar jam 4 petang di Kilometer 2.2 Jalan Sri Menanti–Parit Sikom, Pontian.

Mangsa, Cikgu Jamaliah, 37 tahun, yang merupakan guru di SMK Dato Mohd Yunos Sulaiman, Pekan Nanas, sedang dalam perjalanan ke rumah pengasuh anaknya ketika kemalangan berlaku.

Siasatan awal mendapati kereta Toyota Vios dipandunya bertembung dengan sebuah lori Isuzu selepas keluar dari simpang Parit Basilam.

Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pontian.

 

Published by
Nor Yusoff