KP Kesihatan Saran Cuci Tangan Sebelum & Selepas Sentuh Haiwan Peliharaan Bimbang Penularan Virus Covid-19

Share

Penularan pandemik Covid 19 kini lebih meluas apabila satu laporan mengenai jangkitan wabak ini terhadap haiwan telah direkodkan. Seekor harimau di Zoo Bronx, New York disahkan positif wabak itu selepas mengalami batuk dan kurang selera makan.

Mengambil kira faktor kesihatan dan keselamatan serta untuk membendung penularan wabak ini, Orang ramai dinasihatkan membasuh tangan sebelum dan selepas menyentuh haiwan peliharaan kerana dibimbangi haiwan terbabit dijangkiti COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata adalah penting untuk menjaga kebersihan termasuk ketika mengendalikan haiwan terbabit.

“Basuh tangan anda sebelum dan selepas mengendalikannya. Kementerian Kesihatan (KKM) akan bekerjasama dengan Jabatan Veterinar (DVS) untuk nasihat lanjut mengenai perkara ini,” katanya dalam ciapan di Twitter mengenai haiwan yang dijangkiti COVID-19 yang dilaporkan di sebuah zoo di New York.

Terdahulu, menerusi sidang media Dr Noor Hisham berkata sekiranya haiwan terbabit dijangkiti COVID-19, virus berkenaan boleh menjangkiti pemiliknya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat tujuh jenis coronavirus yang boleh menjangkiti haiwan dan manusia antaranya, Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS), Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV) dan yang terbaharu ialah COVID-19.

Sebelum ini, media melaporkan seekor harimau malaya di Zoo Bronx, New York disahkan positif COVID-19 selepas mengalami batuk dan kurang selera makan.

Harimau yang dinamakan sebagai Nadia itu berkemungkinan menjadi kes haiwan pertama yang jatuh sakit susulan dijangkiti coronavirus daripada manusia.

Selain itu, beberapa anjing peliharaan di Hong Kong serta seekor kucing di Belgium dilaporkan dijangkiti COVID-19 daripada pemilik mereka, namun tidak mengalami simptom yang signifikan.

Dalam satu laporan yang dibuat oleh Astro Awani, penulisan oleh Pensyarah Kanan Imunologi Veterinar di Jabatan Patologi & Mikrobiologi Veterinar UPM menggariskan beberapa panduan buat pemilik haiwan peliharaan yang boleh diguna pakai ketika penularan Covid-19 ini.

Adakah haiwan peliharaan anda boleh dijangkiti dan menyebarkan COVID19?

Menurut laporan Pertubuhan Dunia untuk Kesihatan Haiwan (OIE), kes jangkitan daripada manusia kepada haiwan ini adalah kes terpencil.

Buat masa ini, tiada bukti yang jelas bahawa virus SARS-CoV2 punca penyakit COVID-19 yang menjangkiti haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing boleh merebak kepada manusia atau haiwan lain.

Saringan besar-besaran sedang dan masih dijalankan oleh pihak berkuasa di China dan makmal diagnostik veterinar di Amerika Syarikat ke atas sampel anjing dan kucing dan setakat ini mendapati tiada sampel positif dijumpai.

Jangkitan daripada manusia kepada haiwan bukan sesuatu yang baharu. Semasa wabak SARS pada tahun 2003 di Hong Kong, sejumlah kucing dan anjing didapati positif, namun tiada bukti penyebaran virus boleh terjadi kepada manusia.

Buat masa ini, tiada laporan daripada kalangan doktor veterinar berkenaan peningkatan penyakit berkaitan pernafasan dalam kalangan haiwan peliharaan.

Secara kesimpulannya, pemilik haiwan peliharaan tidak perlu panik dengan laporan ini, sebaliknya perlu mengamalkan kebersihan diri semasa mengendalikan haiwan peliharaan.

Apakah langkah yang boleh diambil oleh pemilik haiwan peliharaan pada masa ini?

Beberapa saranan penting telah dikeluarkan daripada pihak Pusat Kawalan Penyakit (CDC), OIE dan Pertubuhan Doktor Veterinar Haiwan Kesayangan Sedunia (WSAVA) mengenai kontak dengan haiwan kesayangan sepanjang pandemik COVID-19.

Jika haiwan peliharaan sememangnya dibela di dalam rumah, kekalkan ia di dalam rumah. Namun begitu, sesetengah pemilik haiwan selesa membiarkan haiwan peliharaan di luar rumah.

Secara amnya, langkah pencegahan penularan kepada manusia yang disarankan boleh juga diamalkan ke atas haiwan jika anda mempunyai simptom COVID-19.

Pemakaian penutup muka, elakkan mencium dan memeluk haiwan peliharaan dan yang paling penting, amalkan membasuh tangan sebelum dan selepas mengendalikan haiwan peliharaan anda adalah langkah-langkah yang boleh diambil pemilik haiwan.

Di waktu perintah kawalan pergerakan ini, banyak kes kucing jalanan yang terbiar kebuluran dan pelbagai pihak mengambil inisiatif untuk memberi makanan kepada kucing jalanan.

Inisiatif sukarelawan ini amatlah dipuji dan amalan langkah kebersihan diri juga perlu diambil perhatian oleh mereka.

Adakah virus SARS-CoV boleh dipindahkan melalui sentuhan ke atas haiwan?

SARS-CoV2 boleh merebak melalui titisan dan boleh berada pada permukaan rata untuk tempoh beberapa jam.

Sebaliknya, bulu haiwan adalah berliang dan risiko untuk virus merebak melalui sentuhan haiwan adalah amat rendah.

Jika anda masih risau haiwan peliharaan anda mungkin terdedah kepada individu yang berkemungkinan positif COVID-19, anda disarankan untuk memandikan haiwan anda.

Apakah yang perlu anda lakukan seterusnya jika anda didapati positif COVID19?

Tempoh jangka masa bagi pesakit COVID19 jika tiada simptom untuk menjalani isolasi ialah sekurang-kurangnya 14 hari dan mungkin lebih panjang jika pesakit mempunyai simptom.

Ini semestinya tempoh yang sukar untuk pesakit dan haiwan peliharaan yang berada di dalam jagaan mereka.

Kebajikan haiwan wajib dijaga sepanjang anda berada di hospital untuk isolasi.

Kita tidak mahu situasi di mana anjing dan kucing terbiar atau lebih teruk lagi, mati kelaparan ditinggalkan.

Kenal pasti ahli keluarga atau rakan-rakan yang dapat membantu memberi makanan dan air sepanjang ketiadaan anda dan bekalkan mereka dengan bekalan makanan yang mencukupi.

Jadi bagi yang mempunyai haiwan peliharaan, sebaiknya langkah pencegahan yang disarankan bagi mengelakkan jangkitan atau penularan perlulah sentiasa dititik beratkan. Ia penting supaya anda dan juga haiwan peliharaan kesayangan juga dapat dilindungi.

Sumber: Bharian & Astroawani

 

 

 

IKLAN