
Berita baik buat seluruh rakyat Malaysia. Cuti Am Tambahan Aidilfitri yang diumumkan kerajaan menjadikan sambutan Hari Raya tahun ini lebih meriah dan dinanti-nantikan ramai. Pengumuman ini pastinya memberi kelegaan kepada rakyat yang sedang merancang perjalanan pulang ke kampung halaman serta mahu meluangkan masa lebih panjang bersama keluarga tercinta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa cuti tambahan itu diberikan bagi memudahkan orang ramai membuat perancangan pulang ke kampung serta meluangkan lebih masa bersama keluarga ketika Hari Raya.
Menurut beliau, tarikh cuti tambahan tersebut bergantung kepada tarikh sebenar 1 Syawal yang akan diumumkan kelak.
Jika Aidilfitri jatuh pada Jumaat, 20 Mac, maka cuti tambahan akan diberikan pada Isnin, 23 Mac. Namun sekiranya Hari Raya disambut pada Sabtu, 21 Mac, cuti tambahan akan diberikan lebih awal iaitu pada Jumaat, 20 Mac.
“Sama ada Aidilfitri disambut pada Jumaat atau Sabtu, jangan bimbang, kita beri cuti tambahan Hari Raya.
“Kalau raya pada Jumaat, maka cuti tambahan pada Isnin 23 Mac, kalau raya pada Sabtu, cuti tambahan Jumaat, 20 Mac.
“Kita buat pengumuman awal supaya orang ramai boleh buat perancangan cuti Aidilfitri,” katanya pada perasmian Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026.
Pengumuman awal mengenai Cuti Am Tambahan Aidilfitri
ini memberi banyak kelebihan kepada rakyat Malaysia. Antaranya ialah memudahkan orang ramai merancang perjalanan pulang ke kampung dengan lebih teratur.Setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, lebuh raya utama negara biasanya mengalami kesesakan luar biasa kerana jutaan rakyat Malaysia pulang ke kampung halaman secara serentak. Dengan adanya pengumuman lebih awal, orang ramai boleh memilih waktu perjalanan yang lebih sesuai bagi mengelakkan kesesakan yang teruk.
Selain itu, pengumuman ini juga membantu mereka yang bekerja di sektor swasta atau perlu memohon cuti tambahan supaya dapat merancang cuti tahunan dengan lebih teratur.
Bagi yang merancang perjalanan pulang ke kampung halaman, pengumuman awal mengenai Cuti Am Tambahan Aidilfitri ini tentunya membantu untuk menyusun jadual perjalanan, mengelakkan kesesakan, serta merancang masa berkualiti bersama keluarga tercinta sepanjang bulan Syawal.
Sumber: Berita Harian