“Cuti Sekolah Jangan Jadi Cuti Rosakkan Otak Anak” – Pakar Otak

Share

Cuti sekolah sering dianggap masa untuk anak-anak “bebas”. Bebas bangun lewat, bebas makan ikut selera, bebas pegang gajet tanpa had. Namun tanpa sedar, inilah tempoh paling kritikal yang boleh memberi kesan besar kepada perkembangan otak anak.

Menurut perkongsian pakar otak, Dr Rizal Abu Bakar, kesilapan paling biasa ibu bapa ketika cuti sekolah ialah membiarkan anak makan secara merapu tanpa kawalan, kemudian mengharapkan anak kembali fokus dan cemerlang apabila sesi persekolahan bermula.

Hakikatnya, otak anak tidak boleh ‘reset’ begitu sahaja.

Otak Anak Bukan Mesin

Dr Rizal menjelaskan, otak anak boleh diumpamakan seperti sebuah komputer.
• Otak = hardware
• Ilmu, fokus, emosi dan prestasi akademik = software

Apabila sepanjang cuti:
• makanan tinggi gula diambil tanpa had,
• junk food menjadi rutin,
• nutrisi sebenar diabaikan,

maka hardware otak akan terganggu. Bila hardware bermasalah, sebaik mana pun software, ia tetap tidak dapat berfungsi dengan baik.

Sebab itu, selepas cuti sekolah, ramai ibu bapa mengadu:
• anak susah fokus di kelas,
• cepat penat dan emosi,
• prestasi akademik merosot.

Masalahnya bukan pada anak semata-mata, tetapi apa yang berlaku pada tubuh dan otaknya sepanjang cuti.

TAHUKAH ANDA: Makanan Yang Sering Dipandang Ringan

Sebagaimana yang  yang dimaksudkan makanan ‘merapu’ bukanlah satu jenis sahaja, tetapi corak pemakanan yang berulang dan berlebihan.

Antaranya:
• minuman manis seperti air sirap, air gas dan air berperisa,
• makanan ultra-processed seperti nugget, sosej dan mee segera,
• snek berwarna-warni dengan pewarna tiruan,
• makanan segera yang tinggi lemak dan rendah nutrisi.

Makanan ini memberi tenaga segera, tetapi tidak menyokong fungsi otak jangka panjang. Akibatnya, anak mudah ‘crash’, hilang fokus dan sukar mengawal emosi.

Kenapa Kesan Pemakanan Sangat Besar Pada Otak Anak?

Otak kanak-kanak sedang melalui fasa neurodevelopment  pembentukan rangkaian saraf, memori dan keupayaan berfikir.

Apabila pemakanan:
• tinggi gula,
• rendah protein dan lemak sihat,
• kurang vitamin dan mineral penting,

ia boleh mengganggu keseimbangan bahan kimia otak (neurotransmitter) yang bertanggungjawab terhadap fokus, motivasi dan kawalan emosi.

Sebab itu, anak yang kelihatan sihat secara fizikal belum tentu sihat dari sudut fungsi otak.

Bukan Tak Boleh, Tapi Perlu Kawal

Sebagai ibu bapa kesedaran itu perlu ada bahaya makanan ‘merapu’ untuk jangka masa panjang.

Cuti sekolah sepatutnya menjadi tempoh:
• rehat yang berkualiti,
• pemulihan otak,
• persediaan untuk kembali belajar.

Bukan tempoh membebankan sistem otak anak sehingga ‘letih’ sebelum sekolah bermula.

Apa Yang Ibu Bapa Boleh Buat?

Beberapa langkah mudah yang boleh diamalkan:
• jadikan air kosong sebagai minuman utama,
• pastikan setiap hari ada protein sebenar seperti telur, ikan atau ayam,
• kurangkan makanan proses dan gantikan dengan makanan rumah,
• kekalkan rutin tidur walaupun cuti.

Langkah kecil ini memberi impak besar kepada fokus dan emosi anak.

 Jangan Salah Faham Peranan Kita

Ibu bapa sering menaruh harapan tinggi pada guru dan sekolah. Namun hakikatnya, asas prestasi anak bermula di rumah daripada apa yang mereka makan, bagaimana mereka tidur dan rutin harian mereka.

Seperti yang ditekankan oleh Dr Rizal Abu Bakar, kita tidak boleh merosakkan hardware otak anak, kemudian berharap software akademik berfungsi dengan sempurna.

Anak bukan gagal. Yang perlu diperbaiki ialah cara kita menjaga mereka.

Sumber: Dr Rizal Abu Bakar

Published by
Nor Yusoff