Daftar Kelahiran Anak & Kematian Dilanjutkan 90 hari Selepas Tamat PKP, Penalti Dimansuhkan!

Share

Kelahiran anak yang disambut pada tempoh PKP ini pastinya menggusarkan ibu bapa kerana masalah untuk mendaftarkan kelahiran anak mereka di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Pun begitu, kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi pastinya membuatkan ibu bapa merasa lega.

Dalam sidang media harian yang diadakan sebentar tadi, beliau memaklumkan bahawa tempoh mendaftar kelahiran anak dan kematian bakal dilanjutkan sehingga 90 hari selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

Bukan itu sahaja malah katanya lagi, Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan lanjutan itu, sekali gus penalti yang seharusnya dikenakan akan turut dimansuhkan.

“Bagi rakyat yang berada di luar negara, mereka diberi tempoh sehingga 90 hari selepas tamat tempoh PKP di negara berkaitan untuk membuat pendaftaran melalui pejabat kedutaan.

“Ini akan menyelesaikan masalah pendaftaran kematian dan kelahiran,” katanya ketika sidang media di Putrajaya yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Berdasarkan maklumat dalam laman web Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), permohonan pendaftaran kelahiran biasa di Malaysia hendaklah dibuat dalam tempoh 60 hari dari tarikh kelahiran bagi Semenanjung, manakala bagi Sabah dan Sarawak dalam tempoh 14 hari dari tarikh kelahiran.

Gambar hiasan.

Bagi kes kematian, salinan daftar kematian atau permit mengubur berwarna kelabu perlu diserah kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhampiran dalam masa tujuh hari bekerja bagi Semenanjung.

Baca: Bila Nak Bersalin Maaf Doa Suami Tu Penting Isteri Hamil 9 Bulan Datang Mohon Restu Suami Kena Tahan Ingkar PKP

Bagi Sabah dan Sarawak, permohonan pendaftaran kematian biasa di kedua-dua negeri berkenaan hendaklah dibuat dalam tempoh 24 jam dari tarikh kematian.

Dalam pada itu, bagi mengehadkan pergerakan sepanjang PKP ini, beliau juga turut memaklumkan bahawa operasi mesin ATM akan mula dihadkan bermula jam 8 pagi hingga 8 malam sahaja bagi mengelakkan orang ramai memberikan alasan keluar hingga lewat malam untuk mengeluarkan wang.

Terus kekal di rumah dan gunakan peluang yang ada untuk mengeratkan lagi silaturrahim sesama keluarga.

Sumber: MKN & Berita Harian. 

IKLAN