Bagi penghidap diabetes atau penjaga pesakit diabetes, anda mesti mengetahui cara suntik insulin di bahagian tubuh yang tepat. Teknik suntikan insulin yang betul akan memastikan keberkesanannya dalam mengawal paras gula darah.

Dah Tak Rasa Sakit, Setiap Hari Kena Ambil Insulin Masa Hamil Sebab GDM!

Kaedah atau cara suntik insulin yang tepat

Menurut perkongsian Hello Doktor, sebenarnya, terdapat beberapa kaedah atau teknik suntikan insulin yang boleh dilakukan. Ini termasuklah penggunaan picagari, pen insulin, pam insulin dan penyuntik jet.

Doktor akan melakukan pemilihan kaedah suntikan yang bersesuaian dengan pesakit.

Namun, penggunaan picagari bagi menyuntik insulin adalah kaedah yang paling biasa dilakukan oleh kebanyakan pesakit diabetes kerana kosnya yang jauh lebih murah.

Picagari terdiri daripada pelbagai jenis berdasarkan jumlah insulin yang akan disuntik selain saiz jarum yang akan digunakan.

Picagari juga adalah sejenis item yang bersifat pakai buang, yang bermaksud ia hanya boleh digunakan untuk satu kali penggunaan sahaja.

Di manakah lokasi yang paling sesuai untuk suntik insulin?

Suntikan insulin dilakukan di bawah lapisan kulit tubuh, atau dengan lebih tepat lagi ke dalam lapisan lemak di bawah kulit anda.

Jarum picagari yang pendek akan digunakan untuk menyuntik insulin ke dalam lapisan berlemak yang terletak di antara kulit dan juga otot.

Sekiranya insulin ini disuntik jauh ke bahagian otot anda, ia tidaklah membahayakan namun tubuh badan anda akan menyerapnya dengan lebih pantas.

IKLAN

Malah suntikan sehingga ke bahagian otot sebenarnya lebih menyakitkan berbanding suntikan sehingga ke bahagian lapisan lemak sahaja.

Jika tubuh badan anda menyerap insulin dalam kadar yang pantas, anda mungkin akan mengalami hipoglisemia iaitu paras gula darah yang terlalu rendah.

Mereka yang dikehendaki mengambil suntikan insulin perlulah menyuntik pada bahagian tubuh secara pusingan dan bukan di kawasan yang sama setiap kali suntikan dilakukan.

Ini kerana, jika anda melakukan suntikan pada lokasi yang sama setiap masa, ia akan menyebabkan satu keadaan yang disebut lipodistrofi.

Lipodistrofi adalah satu keadaan di mana terdapat pengumpulan lemak yang tidak normal di bawah lapisan kulit anda. Ia akan menyebabkan kemunculan ketulan yang akan mengganggu proses penyerapan insulin dalam tubuh.

Oleh sebab itu, anda perlulah menyuntik pada kawasan yang berbeza bergilir-gilir setiap kali suntikan.

Berikut adalah bahagian tubuh yang sesuai untuk disuntik dengan insulin:

#1. Cara suntik insulin di bahagian perut
Bahagian tubuh pertama yang paling sesuai disuntik insulin adalah di bahagian perut anda. Ini kerana, insulin akan diserap dengan lebih cepat selain ia adalah lokasi yang paling mudah untuk anda lakukan suntikan tersebut.

IKLAN

Lokasi yang lebih tepat adalah di bahagian antara bawah tulang rusuk hingga ke kawasan kemaluan anda. Elakkan menyuntik di sekitar 2 inci daripada pusat anda.

Selain itu, elakkan juga melakukan suntikan di bahagian yang mempunyai calar, parut atau tahi lalat kerana semua perkara ini hanya akan mengganggu kelancaran proses penyerapan insulin.

#2. Cara suntik insulin di bahagian paha
Selain daripada bahagian abdomen atau perut, anda juga boleh menyuntik insulin di bahagian paha kaki anda. Anda boleh menyuntik di sekitar kawasan bahagian atas dan bahagian sebelah luar paha kaki.

Anda boleh mula menyuntik di kawasan sekitar bermula 4 inci daripada atas paha sehinggalah 4 inci sebelum kawasan lutut. Elakkan bahagian sebelah dalam paha kerana terdapat jaringan saluran darah yang lebih padat di kawasan tersebut.

Walaupun suntikan di bahagian paha ini merupakan antara kawasan yang paling mudah untuk dilakukan, ia mungkin akan memberikan sedikit rasa tidak selesa kepada anda sewaktu berjalan atau berlari selepas suntikan.

Apatah lagi jika anda kerap menyuntik insulin di kawasan paha ini.

#3. Cara suntik insulin di bahagian lengan
Anda juga boleh melakukan suntikan di bahagian lengan anda. Lokasinya adalah di bahagian sebelah belakang lengan, iaitu di antara bahu dan siku anda.

IKLAN

Jika anda melakukan suntikan secara bersendirian, kawasan ini mungkin boleh dikatakan antara bahagian yang agak sukar dicapai. Anda mungkin memerlukan bantuan individu lain untuk menyuntikkan insulin tersebut.

Namun, jika suntikan tersebut dilakukan pada bahagian tangan yang tidak dominan bagi seseorang tersebut, ia adalah lebih selesa dan kurang menyakitkan berbanding suntikan di bahagian lain.

Sebagai contoh, jika tangan kanan anda lebih dominan, maka adalah lebih baik jika suntikan tersebut dilakukan pada bahagian lengan sebelah kiri. Ia lebih selesa dan kurang menyakitkan.

#4. Cara suntik insulin di bahagian pinggul atau punggung
Bahagian terakhir yang paling sesuai untuk anda suntik insulin adalah di bahagian pinggul atau punggung anda.

Lokasi yang paling tepat adalah di bahagian bermula daripada bawah pinggang sehinggalah ke bahagian atas punggung di antara dua pinggul.

Cuba elakkan daripada melakukan suntikan di bahagian bawah punggung. Bahagian ini juga merupakan kawasan tubuh yang agak sukar untuk dicapai bagi suntikan insulin disebabkan lokasinya yang berada di belakang tubuh.

Anda mungkin memerlukan bantuan rakan atau ahli keluarga anda untuk menyuntik insulin.

Kesimpulan
Dengan mengetahui teknik suntikan insulin yang betul dapat membantu serapan berlaku dengan lebih berkesan ke dalam tubuh.

Teknik suntikan insulin yang betul akan membuatkan ia bertindak dengan lebih berkesan atau tidak diserap dengan terlalu cepat oleh tubuh sehingga boleh menyebabkan hipoglisemia.

Dah Tak Rasa Sakit, Setiap Hari Kena Ambil Insulin Masa Hamil Sebab GDM!

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI