KANAK-KANAK lelaki luka di leher dan lebam di belakang badan serta kaki dipercayai akibat didera pengasuh di pusat jagaan kanak-kanak (taska) di Taman Pelangi, Semenyih.

Baru pertama kali hantar anak ke taska telah melakar tragedi hitam buat puan Solihani Samsudin. Menurut perkongsiannya di laman Facebook miliknya, ketika dia menghantar anaknya pagi itu, Aqil Hariri seronok makan dan bermain dengan kawan-kawan.

Petang hari berkenaan, Aqil kelihatan dalam keadaan baik sehingga mendengar suaranya, dia terus lari mendapatkan mamanya. Pada awalnya dia hanya bersangka baik mungkin hanya merindui mamanya, namun ketika memberi susu untuk aqil, dia perasan ada kesan luka pada leher anaknya. Dia bertanya pada pemilik taska dan gurunya, tetapi mereka berikan alasan kemungkinan terkena pintu pagar.

Pada 8 malam hari tersebut, Aqil yang seakan seperti panas, berpeluh-peluh membuatkan Solihani membuka baju Aqil. Namun begitu, terkejut mereka suami isteri apabila mendapati kesan merah yang banyak dibelakang badan anaknya seperti dicubit. Terus mereka membuat keputusan untuk hantar ke klinik untuk pemeriksaan.

Disebabkan kes kelihatan berat, Dr di klinik meminta mereka buat laporan polis atau tanyakan kembali pada pihak taska punca berlakunya kesan merah itu. Mereka telah bertindak untuk mengangkap gambar dan hantar pada pemilik taska. Kesannya hampa, pemilik taska itu menafikan perbuatan itu punca dari taskanya dan mengatakan memang ada kesan lebam pada badan Aqil.

Meskipun pada asalnya memang ada Mongolian spot pada badan Aqil, tetapi Solihani sudah memeriksa badan Aqil ketika mandikannya pagi itu dan tiada kesan merah sebegitu sebelum menghantarnya ke taska.

Malah pemilik taska juga memaklumkan tiada apa pun terjadi setelah melihat kembali rakaman CCTV. Ibunya tidak tidak berpuas hati dengan jawapan itu dan meminta untuk melihat rakaman tersebut tetapi tidak boleh kerana dikatakan ibu bapa tiada hak untuk melihat malah turut menyatakan kesan tersebut seperti gigitan nyamuk.

Oleh kerana pemilik taska menafikan, mereka suami isteri terus membuat laporan polis dan ke hospital untuk memeriksa kesihatan anaknya. Aqil ditahan wad untuk memantau perubahan warna lebam dan akan buat xray jika perlu. Pihak hospital dah sahkan memang terdapat kesan kuku dan dicubit, malah pihak polis dah dapat rakaman CCTV.

gambar hiasan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima laporan dibuat ibu mangsa berusia 34 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berhubung kejadian pada 9.55 malam Selasa lalu.

“Dalam laporan itu, wanita berkenaan mendakwa terdapat kesan lebam seperti dicubit di belakang badan serta kedua-dua kaki anaknya yang berusia setahun lapan bulan selepas mengambilnya dari taska terbabit.

“Selain itu, mangsa didakwa luka di leher, namun pihak taska memaklumkan tiada apa-apa berlaku terhadap mangsa. Wanita itu tidak berpuas hati dan membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, kanak-kanak itu mendapat rawatan di Hospital Kajang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nurulhuda Baharuddin daripada Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) di talian 011 26177140 untuk tindakan lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001

SUMBER: Harian Metro & Solihani Shamsuddin