
Bagi kebanyakan ibu, saat dibenarkan pulang ke rumah bersama bayi dianggap penamat kepada perjalanan getir melahirkan zuriat. Namun bagi seorang wanita ini rupa-rupanya detik itu hanyalah permulaan kepada mimpi ngeri yang hampir meragut nyawanya setelah kelahiran bayi.
Pengalaman yang dikongsikan menerusi Newsweek ini membuka mata ramai bahawa risiko selepas bersalin tidak boleh dipandang ringan walaupun kelahiran dianggap “selamat”.
Biarpun kisah ini berlaku di luar negara, ia harus dijadikan pengajaran oleh para wanita yang bakal bergelar ibu dan kelahiran seterusnya.
Wanita yang berasal dari Amerika Syarikat ini melalui proses bersalin yang sangat sukar, mengambil masa hampir 35 jam. Keadaannya semakin kritikal apabila dia didiagnos dengan preeclampsia (tekanan darah tinggi semasa hamil) serta jangkitan sepsis.
Keadaan itu memaksa doktor melakukan pembedahan emergency caesarean section (C-section) bagi menyelamatkan nyawa ibu dan bayi. Syukur, bayi perempuannya lahir dengan selamat dan kedua-duanya dibenarkan keluar hospital beberapa hari kemudian.
Namun, apa yang disangka sebagai fasa pemulihan rupa-rupanya menyimpan bahaya tersembunyi yang dikenali sebagai delayed postpartum hemorrhage.
Enam hari selepas pulang ke rumah, wanita itu mula berasa sangat lemah, keletihan melampau dan emosinya tidak stabil. Pada mulanya, dia menyangka itu hanyalah kesan biasa selepas bersalin dan kurang tidur.
Namun segalanya berubah apabila dia ke bilik air dan tiba-tiba mengalami pendarahan yang sangat banyak. Darah dan ketulan darah keluar tanpa henti sehingga memenuhi lantai. Dia tidak lagi mampu berdiri, apatah lagi bergerak.
Dalam keadaan panik, suaminya segera menghubungi talian kecemasan 911 untuk mendapatkan bantuan segera.
Setibanya di hospital, doktor mengesahkan dia mengalami delayed postpartum hemorrhage
iaitu pendarahan serius yang berlaku beberapa hari atau minggu selepas bersalin.Punca utamanya ialah sisa tisu plasenta yang masih tertinggal di dalam rahim, menyebabkan rahim gagal mengecut dengan sempurna. Walaupun jarang berlaku, keadaan ini sangat berbahaya dan boleh membawa maut jika lambat dirawat.
Doktor terpaksa melakukan prosedur kecemasan untuk mengeluarkan sisa tersebut dan menghentikan pendarahan. Menurut pasukan perubatan, jika usaha itu gagal, satu-satunya pilihan untuk menyelamatkan nyawa ialah pembedahan membuang rahim (hysterectomy).
Nasib menyebelahinya apabila rawatan kecemasan berjaya menyelamatkan nyawa tanpa perlu melalui prosedur drastik tersebut.
Walaupun secara fizikal dia akhirnya pulih, kesan emosi dan trauma masih menghantui. Dia mengakui sentiasa dilanda ketakutan, terutama ketika bersendirian bersama bayinya.
Setiap rasa sakit kecil atau keletihan membuatkan dia cemas, bimbang delayed postpartum hemorrhage akan berulang. Pengalaman hampir mati itu meninggalkan parut emosi yang tidak mudah sembuh.
Kisah ini membawa satu mesej penting bersalin bukan titik akhir risiko kesihatan seorang wanita. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah:
Pendidikan tentang komplikasi selepas bersalin dan pemerhatian berterusan sangat penting, bukan sahaja oleh ibu, tetapi juga pasangan dan ahli keluarga.
Kelahiran seorang anak sering diraikan sebagai saat bahagia, namun kesihatan ibu selepas bersalin masih terlalu kerap dipandang remeh. Kisah ini menjadi peringatan bahawa sokongan, pemantauan dan kesedaran tentang risiko delayed postpartum hemorrhage boleh menjadi penentu antara hidup dan mati.
Kerana hakikatnya, perjuangan seorang ibu tidak berakhir di bilik bersalin kadangkala, ia baru sahaja bermula.
Sumber: newsweek.com