Berita

Detik Akhir Empat Beranak, Maut Selepas Makan Beriani Dan Tembikai

Share

Niat sekadar menikmati makan malam bersama keluarga, namun siapa sangka ia menjadi santapan terakhir buat empat beranak.

Tragedi menyayat hati ini berlaku di Mumbai, India apabila empat ahli keluarga termasuk dua kanak-kanak maut selepas disyaki mengalami keracunan makanan dipercayai berpunca daripada hidangan beriani yang diikuti dengan tembikai.

Walaupun ini kejadian luar negara, harus dijadikan pengajaran supaya berhati-hati menikmati sebarang hidangan.

Menurut pihak polis Mumbai, kejadian berlaku di kawasan Pydhonie pada malam 25 April lalu apabila sembilan ahli keluarga berkumpul untuk makan malam sekitar jam 10.30 malam waktu tempatan. Difahamkan, mereka menikmati hidangan beriani bersama-sama sebelum masing-masing pulang ke rumah.

Gambar sekadar hiasan

Namun, keadaan mula bertukar cemas apabila empat mangsa daripada keluarga tersebut dipercayai memakan tembikai pada awal pagi keesokan harinya.

Tidak lama selepas itu, mereka mula menunjukkan simptom serius seperti muntah-muntah dan cirit-birit yang teruk beberapa jam kemudian, dipercayai akibat keracunan makanan.

Mangsa yang terlibat terdiri daripada seorang lelaki berusia 40 tahun, isterinya berusia 35 tahun serta dua anak perempuan mereka masing-masing berusia 16 dan 13 tahun.

Gambar sekadar hiasan

Kesemua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital JJ untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Namun, usaha pasukan perubatan untuk menyelamatkan mereka tidak berhasil apabila keempat-empat mangsa disahkan meninggal dunia antara pagi hingga malam pada 26 April.

Lebih memilukan, kejadian ini meninggalkan trauma mendalam kepada ahli keluarga lain yang pada malam sebelumnya masih sempat berkumpul dan menikmati makan malam bersama.

Pihak hospital telah menjalankan bedah siasat ke atas semua mangsa, namun punca sebenar kematian masih belum dapat dipastikan.

Setakat ini, pihak berkuasa memaklumkan mereka masih menunggu keputusan laporan lanjut bagi mengenal pasti sama ada kematian berpunca daripada hidangan beriani, tembikai atau faktor lain yang berkaitan.

Kes tersebut kini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (AD), manakala polis Mumbai sedang menjalankan siasatan terperinci bagi merungkai punca sebenar tragedi yang mengorbankan empat nyawa dalam sekelip mata.

Tragedi ini sekali lagi menjadi peringatan tentang pentingnya memastikan kebersihan dan keselamatan makanan sentiasa dijaga, kerana sesuatu yang kelihatan biasa kadangkala boleh bertukar menjadi malapetaka yang tidak disangka.

Sumber: Sinar Harian

Published by
Nor Yusoff