
Seorang remaja lelaki nyaris menjadi mangsa culik dalam satu kejadian cemas yang berlaku di Seksyen 13, Shah Alam baru-baru ini.
Kejadian berlaku ketika mangsa sedang berjoging seorang diri di kawasan tersebut. Tiba-tiba, sebuah kereta yang dinaiki dua lelaki tidak dikenali menghampirinya. Namun, remaja itu berjaya menyelamatkan diri dalam cubaan culik.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata kejadian kira-kira 5.15 petang itu bagaimanapun menyebabkan remaja itu cedera pada bahagian muka dan lengan akibat pergelutan dengan suspek.
“Mangsa sedang berjoging seorang diri di kawasan berkenaan sebelum didatangi sebuah kereta dinaiki dua lelaki.
“Seorang daripada suspek kemudian turun dari kereta lalu mengacukan pisau dan mengarahkan mangsa masuk ke dalam kereta,” katanya.
Beliau berkata mangsa enggan memasuki kereta dan bergelut dengan suspek terbabit sebelum berjaya melarikan diri ke pondok pengawal kondominium berdekatan untuk mendapatkan bantuan.
Mohd Iqbal berkata remaja itu dibawa ke hospital manakala kes sedang disiasat mengikut Seksyen 363/511 dan 324 Kanun Keseksaan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Sabri Abd Rani menerusi talian 017-2892628 untuk membantu siasatan.
Sementara itu menerusi perkongsian ibu bapa mangsa yang tular di aplikasi Facebook menceritakan detik cemas yang dilalui oleh anak lelakinya yang berusia 15 tahun. Perkongsian dari WA GTAS itu dikongsikan Fauziah Nawi untuk peringatan bersama agar kejadian tidak berulang.
Pesanan buat semua
Insiden cubaan culik
Hari ni merupakan detik yg sgt mencemaskan apabila anak lelaki sy berumur 15 tahun cedera didalam cubaan culik oleh dua lelaki yg tak dikenali berlaku.
Sumber: Bernama