Sebaik mengetahui jantina anak dalam kandungan isterinya, Sapawi Mat Din, 44, adalah orang paling gembira kerana penantiannya untuk memiliki anak lelaki selepas mempunyai tiga anak perempuan akhirnya tercapai.
Namun, tarikh 27 Disember lalu yang sepatutnya menjadi hari gembira buat mereka sekeluarga bertukar kelam seketika apabila isterinya, Norayuza Abdul Rajab, 38, mengalami komplikasi ketika bersalin sehingga menyebabkannya koma sehingga hari ini.
Tekanan Darah Naik Terlampau Tinggi
Sapawi berkata, isterinya sepatutnya melahirkan anak bongsu mereka di Hospital Pekan, namun ketika berada di dewan bersalin tekanan darah Norayuza naik terlalu tinggi sehingga menyebabkannya sesak nafas.
Jantung Isteri Berhenti 20 Minit
Saya dimaklumkan oleh doktor jantung isteri berhenti selama 20 minit hingga menyebabkan oksigen tidak sampai ke otak, malah saya diberitahu anak dalam kandungannya juga tidak dapat diselamatkan.
Isteri kemudian dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dan saya dimaklumkan jantung bayi masih berdegup sebelum isteri selamat melahirkan bayi kami secara pembedahan
Ads
Bayi Alami Kerosakan Otak
Namun katanya, komplikasi yang berlaku ketika proses kelahiran menyebabkan anaknya mengalami kerosakan otak dan beberapa masalah lain.
Dia yang bekerja sebagai operator kilang berkata, anaknya yang diberi nama Muhammad Samir Nasri kini masih menerima rawatan di Hospital Pekan dan selama hampir tiga bulan itulah dia berulang alik ke hospital untuk melihat anaknya.
Anak Tidak Membesar Seiring Usianya
Katanya, doktor memaklumkan otak anaknya tidak membesar seiring usianya, dia juga tidak mampu menelan air liurnya sendiri malah difahamkan beberapa ujian lagi akan dilakukan sebelum dia dibenarkan pulang.
Ads
Isteri dibenarkan pulang 15 Februari lalu namun keadaannya masih tidak berubah, hanya terbaring… Meskipun mampu mengerdipkan mata namun dia sebenarnya berada dalam keadaan tidak sedar.
Sayu Melihat Isteri
Sebagai suami hati saya sayu melihatnya, sepatutnya kami gembira dengan kehadiran orang baru dalam keluarga namun keadaan ini yang berlaku.. saya reda,” katanya yang mempunyai tiga lagi anak berusia lapan hingga 14 tahun.
Tak Pernah Ada Masalah Kesihatan
Ads
Sapawi berkata, Norayuza tidak pernah mempunyai masalah kesihatan sebelum hamil dan sepanjang tempoh kehamilan, isterinya mengalami tekanan darah tinggi namun masih terkawal.
Katanya, setiap hari dia akan berbual dan bercerita dengan Norayuza walaupun menyedari isterinya tidak dapat memberi tindak balas atau mendengarnya.
Bersyukur Dapat Melihatnya Setiap Hari
“Walaupun dia tidak lagi mampu bercakap atau bergerak namun saya bersyukur kerana dapat melihatnya setiap hari, sebab itu saya sentiasa berbual dengannya.
“Ketika saya bekerja, adik ipar dan sepupu akan membantu untuk menguruskan isteri saya. Apabila pulang, saya akan mengambil alih semula tugas itu,” katanya.
Jauh di sudut hati dia mahu melihat isterinya pulih seperti sedia kala walaupun doktor sendiri tidak memberi jaminan sama ada isterinya akan sembuh atau sebaliknya.
Mahal macam mane pun botol tukar la dengan kerap, jangan kedekut. Menjadikan botol susu sebagai satu koleksi sangat-sangay tidak relevan (kecuali belum digunakan). Tengah bancuh susu anak, entah kenapa tiba-tiba teringat ‘Eh, berapa lama eh boleh tahan satu botol susu ni.. takkan la pulak selama-lamanya..’
Pernah tak terfikir benda yang sama ? Berapa lama jangka hayat botol susu anak kita tu ? Apa efek bahaya guna botol susu terlampau lama kepada anak ?
TAHU TAK ?
Rupanya bahaya tau guna botol susu yang dah lebih 3 bulan. Tambah lagi yang dah banyak calar balar kat bahagian dalam botol tu. Calar-balar tu akan keluarkan toksid dan bahayakan kesihatan anak kita. Cuma kalau yang botol BPA Free tu paling maksimum pun 6 BULAN SAHAJA TAHAN.
APA ITU BISFENOL A (BPA) ?
Bisfenol A (BPA) ni bahaya terhadap keluarga kita (bayi terutamanya). Bisfenol A (BPA) adalah bahan kimia yang terdapat dalam plastik polikarbonat (polycarbonate) dan resin epoksi. Plastik polikarbonat yang jernih dan tahan lasak ini digunakan dalam pelbagai produk pengguna antaranya botol susu bayi, botol air mineral, bekas makanan dan juga dalam teether bayi. Resin epoksi pula digunakan untuk menyaluti lapisan dalam hampir semua makanan dan minuman dalam tin.
JANGKA HAYAT BOTOL SUSU
Jika Botol susu yang ada BPA jangka hayatnya hanya 3 ke 6 bulan. Manakala botol susu yang BPA FREE jangka hayatnya lebih panjang, namun sebaiknya tukar sekiranya berubah warna botol, banyak kesan calar dan sudah kekuning-kuningan.
KESAN BPA TERHADAP KESIHATAN DAN BAYI
BPA dari produk mengandungi bahan berbahaya ini dapat melarut resap ke dalam makanan atau minuman dan seterusnya memasuki badan. Dos Bisfenol A yang rendah sekalipun dalam badan manusia boleh disalah anggap sebagai estrogen.
Estrogen adalah hormon yang mengawal perkembangan otak, sistem peranakan dan pertumbuhan janin. Keadaan ini boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan. Bahkan janin dalam kandungan (ibu hamil jaga pemakanan anda) dan bayi adalah golongan yang paling berisiko jika terdedah dengan BPA ini kerana ia dikatakan mempengaruhi pembentukan otak dan perangai bayi.
Banyak kajian mengaitkan BPA dengan pelbagai masalah lain seperti :
• Baligh awal
• Kanser payudara
• Kanser prostat
• Penyakit jantung
• Obesiti
• Kencing manis
• Dan boleh menyongsangkan ciri-ciri jantina seseorang dan merosakkan kromosom !
FAKTOR PENGARUHI LARUT RESAP BPA KE DALAM MAKANAN
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan larut resap ini berlaku dengan lebih banyak. Antaranya :
• Kepanasan (api dan matahari)
• Calar
• Pendedahan terhadap sesetengah bahan kimia (termasuk sabun pencuci)
TIPS MENGELAKKAN BPA
Anda mungkin sukar untuk mengelakkan secara mutlak penggunaan produk yang mengandungi BPA ini, tetapi anda dapat mengurangkannya dengan mengamalkan langkah-langkah berikut ~
• Jangan panaskan makanan atau minuman dalam plastik polikarbonat sama ada menggunakan ketuhar gelombang mikro atau pun direbus.
• Kurangkan pengambilan makanan dalam tin, pilih yang segar atau sejuk beku. Jika mahu yang segera, pilih dalam botol kaca. Seboleh mungkin, gunakan bekas makanan daripada porselin, kaca atau keluli tahan karat terutamanya untuk makanan atau minuman panas.
• Berikan permainan yang selamat untuk anak anda. Lihat kod plastik di bawah permainan. Kod 7 adalah polikarbonat (elakkan juga kod 3 kerana ia mengandungi toksin).
• Jika mahu membungkus sup atau air panas dari penjual makanan, bawa bekas makanan atau minuman anda sendiri. Jangan gunakan plastik !
• Jangan membiarkan air di dalam botol air mineral terjemur di dalam kereta, dan kemudian meminumnya.
TIPS ELAK BPA PADA BOTOL SUSU ANAK ANDA
• Gunakan botol susu daripada KACA atau STANLESS STEEL (tahan lama dan tak perlu risau tentang BPA) atau boleh juga gunakan botol plastik yang bebas BPA (tapi perlu tukar dalam masa 3 bulan atau paling lama 6 bulan). Elakkan menggunakan botol polikarbonat.
• Jika anda menggunakan juga botol polikarbonat, pastikan ia tidak dijemur, tidak dipanaskan dan tidak dimasukkan air panas menggelegak ke dalamnya.
• Elakkan calar dengan menggunakan berus yang lembut daripada plastik dan span, bukan berus daripada dawai untuk membasuh botol susu bayi.
• Gunakan sabun yang sesuai dan selamat untuk mencuci botol anak anda.
BILA BOTOL ANAK PERLU DITUKAR SEGERA ?
1- Kesan Calar Pada Botol
Kesan calar dalam botol anak juga perlu diperhatikan,jika mempunyai banyak kesan calar, anda perlu menukarkan botol anak. Dibimbangi terdapat pembebasan toksik atau bahan kimia daripada plastik botol tersebut.
2- Sterilizer
Pengunaan sterilizer ini sebenarnya dapat mengurangkan jangka hayat botol ,contohnya jika botol boleh digunakan 6 bulan mungkin hanya boleh digunakan 4 bulan. Salah satu sebab adalah kerana ianya melibatkan penggunaan haba yang tinggi.
Pendedahan terhadap air yang menggelegak juga boleh menyebabkan botol polikarbonat melepaskan Bisphenaol A (BPA) dengan kadar lebih cepat berbanding terdedah kepada air sejuk atau air suam.
3- Warna Botol
Jika botol anak kelihatan kekuningan, ianya adalah tanda botol perlu ditukar. Lebih-lebih lagi sekiranya terdapat kesan calar di bahagian dalam botol.
4- Bau
Jika botol sudah berbau tidak nyaman walaupun kerapkali kali dibasuh, tukar botol kerana bau tidak menyenangkan boleh berpunca daripada kulat atau mikroorganisma di dalam botol.
5- Pengunaan Sabun Pencuci Botol
Penggunaan pencuci botol susu juga perlu di ambil kira. Mencuci dengan menggunakan sabun biasa ataupun sabun pencuci pinggan perlu dielakkan. Ianya bukan sahaja mengandungi bahan kimia menghakis, malah memberikan kesan bahaya kepada anak sekiranya sabun tidak dibilas dengan bersih. Gunakan bahan pencuci yang bersifat ORGANIK.
Sekarang dah tau kan ? Semoga perkongsian ni beri manfaat kepada ibu-ibu semua, buat pilihan yang tepat untuk kesihatan Si Manje yang tersayang
Kredit: maya darwish
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tahniah diucapkan buat penyanyi dan pelakon, Rafidah Ibrahim atau Fida yang kini bergelar ibu selepas selamat melahirkan seorang bayi lelaki Rabu lalu.
Menerusi Instagram, suami Rafidah, Shahzemir Shahzulkarib, 39 berkongsi perkhabaran gembira itu kepada semua.
“Alhamdulillah, isteri saya telah selamat melahirkan anak sulung kami, bayi lelaki tengahari semalam tanggal 6 Rejab 1445 bersamaan 17 Januari 2024,” tulisnya.
Dalam pada itu, baik Rafidah dan suami, sama-sama meluahkan rasa syukur atas kurniaan rezeki itu selepas dua kali mengalami keguguran sebelum ini.
“Syukur dan terima kasih buat semua yang sentiasa mendoakan kebaikan buat kami sekeluarga,” katanya.
Meninjau di ruangan komen, rakan-rakan selebriti dan pengikut Rafidah turut mengucapkan tahniah di atas kelahiran bayi comel yang ditunggu-tunggu itu.
Terdahulu pada awal November tahun lalu, Fida membuat perkongsian dia yang hamil kira-kira 25 minggu atau enam bulan di Instagram.
Fida dan suami, Shahzemir yang juga pengurusnya ketika aktif dalam karier seni mendirikan rumah tangga pada 6 Mei 2021 di Masjid Jamek Kampung Baru Kuala Lumpur selepas 17 tahun berkenalan.
Sertai ‘Komuniti Pa&Ma Ikhtiar Hamil‘ untuk mengikuti pelbagai tip kesuburan dan kehamilan serta pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma bersama pakar.
Apa yang anda makan semasa tempoh berpantang akan mencerminkan kesihatan anda kemudian hari. Oleh itu, anda perlu mengetahui amalan pemakanan yang betul semasa menjalani tempoh berpantang.
Melalui perkongsian dari Kak Engku Bidan Bersalin, pemakanan antara aspek yang amat penting dalam rawatan semasa pantang bersalin. Keperluan ini perlu diutamakan kerana proses kehamilan telah mengganggu keseimbangan hormon dalam badan anda. Jika tidak dikawal dan dijaga pemakanan dalam tempoh berpantang, anda akan mengalami pelbagai masalah kesihatan yang akan mengganggu penyembuhan dalaman dan luaran anda.
Lazimnya pada awal minggu pertama, digalakkan makan makanan yang kering untuk tujuan mengecutkan rahim. Pastikan waktu makan anda tepat untuk mengelak perut masuk angin. Jika anda mengambil nasi, makan semasa nasi masih panas dan ambil dalam kadar yang sederhana.
Jangan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak dalam satu masa. Jika masih lapar, anda boleh makan secara kerap. Untuk minum petang pula, anda boleh makan biskut tinggi serat (elakkan mengambil roti kerana kandungan yis yang tidak elok untuk proses pengecutan rahim).
Apabila memasuki minggu kedua dan seterusnya, anda sudah boleh mulai makan makanan yang berkuah seperti sup ikan, sup sayur dan buah-buahan supaya anda mendapat khasiat yang seimbang dalam pemakanan anda.
Semasa dalam pantang juga makanan yang dilarang makanan adalah bersifat sejuk, berangin, gatal dan berbisa. Minuman berais tidak dibenarkan. Ini adalah antara amalan pantang larang yang mesti dilakukan semasa berpantang untuk menyembuhkan dan menyegarkan kembali badan selepas menjalani proses bersalin.
Elakkan Makanan Berlemak
Semasa berpantang kuantiti dan kualiti makanan yang diambil akan memberi impak besar terhadap berat badan dan kesihatan anda. Jadi, anda dilarang untuk mengambil makanan yang boleh menggemukkan sewaktu berpantang. Anda disyorkan mengambil lebih banyak sayur-sayuran dan ulam-ulaman di samping masakan yang menggunakan pelbagai jenis rempah ratus yang terbukti dapat memulihkan kesihatan dan mengurangkan masalah berat badan yang anda alami ketika ini.
Melancarkan Proses Penghadaman
Halia dipercayai memiliki sifat panas dan kering. Sekiranya anda kerap mengambil makanan yang mengandungi banyak halia sepanjang berpantang, anda sebenarnya telah membantu diri untuk memecahkan angin, menghilangkan sejuk badan dan melancarkan proses penghadaman.
Atasi Masalah Kemurungan
Salah satu jenis ulam-ulaman yang terkenal di kalangan ibu berpantang ialah daun pegaga. Daun ini disifatkan sebagai tonik saraf kerana fungsinya yang membantu merehatkan dan menambahkan ingatan. Antara kelabihan lain yang ada pada daun pegaga ialah ia dapat mengatasi kemurungan yang mungkin timbul disebabkan oleh masalah fizikal selepas bersalin.
Pembuang Angin
Bagi masyarakat india, sayur sawi menjadi keutamaan bagi wanita india yang berpantang. Ini kerana pengambilan sayur sawi bertujuan untuk membuang angin. Sebaik-baiknya sayur ini dicelur terlebih dahulu dan dimakan bersama nasi panas.
Penambah Pengeluaran Susu
Pengambilan peria, pegaga, lobak putih dan cekur manis oleh ibu berpantang dapat mengatasi masalah kesukaran membuang air besar dan menambah penghasilan susu ibu. Sekiranya kerap diamalkan ia dapat membersihkan dan melancarkan peredaran darah dalam tubuh.
Kecantikan Wajah
Dalam usaha mengekalkan kesegaran tubuh, makanlah ikan haruan dan tenggiri sebagai makanan tambahan (boleh dibuat sup). Selain dapat melicinkan dan menegangkan kulit tubuh, ia membantu menyembuhkan luka dalaman dan luaran tubuh. Ia terjadi hasil daripada kandungan asid amino dan lemak yang ada pada kedua-dua jenis ikan ini. Apa yang lebih menarik ialah daging ikan-ikan ini yang bebas kolesterol akan membuatkan wajah kelihatan lebih berseri.
Lawas Buang Air Besar
Dengan mencampurkan perahan air asam jawa ke dalam sebarang jenis hidangan ibu berpantang, ia dapat memudahkan anda untuk membuang air besar selain daripada menyegarkan tubuh anda.
Hindari Kembung
Seelok-eloknya setiap hidangan dimakan bersama nasi putih yang baru sahaja dimasak. Tujuannya ialah untuk memastikan khasiat dan kesegarannya berkekalan. Oleh itu, elakkan daripada memakan nasi sejuk kerana dikhuatiri boleh menyebabkan kembung perut.
Minuman Penambah Tenaga
Bagi mengembalikan semula tenaga tubuh, anda digalakkan untuk minum air rebusan serai (dititik), halia, kulit kayu manis dan lada hitam. Dengan meminum air rebusan ini setiap pagi dan malam, badan anda akan kembali menjadi ringan dan tambah bertenaga.
Caesarean : Kurangkan Lada Hitam
Tujuan utama penggunaan lada hitam dalam penyediaan masakan ibu berpantang ialah untuk memanaskan badan. Namun yang demikian, bagi ibu berpantang yang melahirkan anak secara ceaserean, anda kurang digalakkan untuk mengambil lada hitam dalam kuantiti yang banyak.
Anti Oksidan
Terdapat pelbagai jenis ulaman berkhasiat yang sesuai dimakan semasa berpantang antaranya daun pegaga, cekur, pucuk mengkudu, ulam raja, kunyit hidup, daum kesum seta halia. Ulam-ulaman ini mengandungi fiber, zat galian (mineral) dan pelbagai vitamin, termasuklah A, C dan E, bersifat anti oksidan untuk menyegarkan dan membuang toksin dalam badan.
Pengambilan Cecair
Wanita selepas bersalin tidak dibenarkan mengambil air dalam jumlah yang banyak bagi mengelakkan perut menjadi buncit, peranakan kembang, melambatkan pengecutan rahim, faraj mudah longgar serta berair terutama jika minum air sejuk atau air batu. Pengambilan air dibenarkan secara kerap tetapi dalam jumlah yang sedikit dalam satu masa. Air penting untuk proses penyembuhan dan mengalakkan pengeluaran susu ibu.
Pemakanan Ikan
Makan ikan segar dan tidak gatal seperti haruan dan ikan sardin yang segar (bukan dalam tin). Ikan haruan juga dipercayai dapat memulihkan luka luaran dan dalaman (bersalin caesarean). Elakkan juga ikan berbisa dan gatal seperti ikan kembung, cencaru, tongkol, bawal hitam, terubuk dan parang. Kesannya menyebabkan kegatalan, timbulnya reaksi alahan dan boleh menyebabkan bisa atau bentan pada pintu rahim.
Pengambilan Sayuran Dan Buahan
Setiap buah-buahan pula, ia mempunyai khasiat tersendiri antaranya buah oren yang mengandungi banyak vitamin C yang membantu pemyembuhan luka disamping fiber untuk melawaskan air besar. Manakala elakkan makan sayuran menjalar, sejuk dan berangin. Antaranya ialah kangkung, timun, sayur keladi, pucuk ubi, bayam, kacang panjang, petola, petai, jering dan terung.
Minuman seperti tebu, cincau, kelapa muda serta buah-buahan seperti nenas, jambu, belimbing, nangka, cempedak dan pisang nangka, antara minuman jenis yang sejuk dan tajam. Makanan tersebut dilarang kerana dapat mengakibatkan sakit tulang dan sejuk otot serta lemah sendi.
Kecutkan Rahim
Kunyit yang sering diminum sebagai jamu terutamanya oleh ibu yang berpantang berupaya mengecutkan rahim dan mencuci darah. Selain itu, jika kunyit dimakan bersama nasi selama 40 hari, anda mampu mengembalikan kecergasan tubuh dan menyembuhkan luka dalaman.