Gelagat si comel Lara Alana, buah hati kesayangan Scha Al Yahya dan Awal Ashaari ini sememangnya dinantikan oleh semua pengikut di instagramnya. Apa sahaja aktiviti yang dilakukan Lara sentiasa di intai malah menjadi ikutan peminatnya.

Berkongsi kisah Lara, Awal mengakui terlalu rindukan momen Lara ketika masih bayi. Banyak memori indah melihat perkembangan Lara membesar yang masih terpahat dalam hati.

“Pada saya momen ketika Lara nak belajar bercakap adalah momen paling indah untuk dikenang. Masa dia bercakap pelat dan perkataan yang tak difahami dia keluarkan ada masanya buat saya rasa rindu. Cakap pelat dia sampai kami tak faham. Rindu waktu-waktu itu. Sekarang semua benda dia sudah tahu, dah kurang rasa kecomelannya,” katanya berseloroh.

Awal dan Scha tampil menjadi pengacara dan untuk Pa&Ma TV Musim Ke 5 bersama lima pengacara lain bermula 3 Julai lalu di Astro Prima dan Prima HD. Bagi kedua-duanya, berkongsi kisah dan pengalaman mereka dalam membesarkan Lara banyak membantu sedikit sebanyak dalam program musim terbaru ini.

Berkongsi cerita masalah kekeliruan bahasa pada anak-anak, Awal tidak lokek berkongsi kisah Lara ketika awal bercakap.

“Kalau diikutkan Lara betul-betul boleh bercakap pada usianya dua tahun. Pada awalnya pada usia 2 hingga 3 tahun tak dinafikan Lara mengalami kekeliruan bahasa dalam pertuturannya. Memang ketara malah ada banyak kesalahan perkataan dan adakalanya dia tak boleh bezakan tapi kini alhamdulillah dia sudah boleh bezakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Di rumah kami selalu campurkan bahasa Melayu dan Inggeris dalam pertuturan, di sekolah dan bercakap dengan pengasuh dia gunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Boleh dikatakan Lara banyak belajar Bahasa Melayu daripada Awal dan Scha di rumah dan alhamdulillah dia kini fasih berbahasa Melayu dengan baik. Malah kalau nak tahu Lara juga sudah mula belajar menguasai bahasa ketiganya iaitu Bahasa Mandarin di sekolah,” kata Awal lagi.

Karektor Ceria Lara
Si comel Lara Alana sememangnya anak yang cukup mendengar kata. Malah banyak perkongsian Awal di instagramnya memperlihatkan sikap Lara yang menyenangkan.

“Lara sememangnya anak yang mudah dijaga namun dia juga sama seperti anak-anak yang lain, ada masanya yang buatkan dia obsess pada sesuatu. Kalau rancangan televisyen yang dia paling suka pastinya semua rancangan melibatkan princess seperti Sofea The First tak ketinggalan PJ Masks dan ada beberapa kartun lagi di Astro.

“Lara juga anak yang sangat suka bangun pagi. Senang bangun pagi malah kalau dia bangun lambat pun dia diam saja dan jarang nak buat hal, menangis dan sebagainya. Malah Lara tahu bila waktu pagi dan perlu bersiap untuk ke sekolah. Dia sangat patuh dengan rutin persekolahannya,” kata Scha berkongsi.

Kata Awal pula jika Lara bangun jam 6 pagi sekalipun dia langsung tidak ada masalah untuk mandi dan bersiap-siap. Bab-bab bangun pagi dia memang paling senang,” kata Awal lagi.

Kredit foto: @laraalana