
“Dia kuat, tapi sayu.” Begitulah gambaran momen penuh sebak yang dilalui oleh Noraidah Lamat, ibu kepada arwah Zara Qairina Mahathir, ketika proses pengecaman jenazah anak tunggalnya dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu.
Menurut peguam yang mewakilinya, Hamid Ismail, suasana ketika itu sangat hening dan dipenuhi rasa pilu. Noraidah yang cuba menahan sebak akhirnya menitiskan air mata saat melihat wajah anaknya buat kali terakhir sebelum proses bedah siasat dijalankan.
“Proses bedah siasat masih lagi berlangsung. Kami terpaksa bersabar menunggu keputusan. Memang mengambil masa yang lama. Suasana di dalam sayu… ibunya tadi sedih, dia menitiskan air mata ketika proses pengecaman tetapi dia kuat,” ujar Hamid.
Dalam masa yang sama, Hamid menegaskan supaya orang ramai tidak menyebarkan video tular di media sosial yang memaparkan seorang wanita menjerit-jerit kononnya itu adalah ibu Zara Qairina. “Itu bukan ibu Zara. Tolong hentikan fitnah dan berikanlah ruang untuk beliau bertenang. Emosi beliau kini sangat tertekan dan memerlukan sokongan,” katanya.
Hamid juga menafikan dakwaan kononnya pihak guaman membuat kutipan dana untuk membayar kos guaman. Menurutnya, kes ini dijalankan secara pro bono (tanpa bayaran), dan mana-mana pihak yang membuat tabung kutipan adalah tidak benar.
Semoga Noraidah diberikan kekuatan luar biasa untuk melalui ujian berat ini, dan roh anak syurganya, Zara Qairina, ditempatkan di Jannah yang abadi.
Sumber : Sinar Harian