“Dia Pandai Melayan Anak-Anak.” Intan Kongsi Keterbukaan Hatinya Terima Aizam

Share

“Saya bersyukur kerana suami dan keluarganya menerima saya seikhlas hati biarpun dengan status sebagai ibu tunggal kepada dua cahaya mata.

“Kami berkenalan tidak lama, sekitar enam bulan sebelum membuat keputusan bernikah. Sepanjang mengenalinya, saya lihat suami pandai melayan anak-anak dan menerima mereka seadanya.

“Itu memang menjadi kriteria yang saya cari daripada seorang lelaki,” kata Intan Liana Saleh, 35.

Selepas tiga tahun bergelar ibu tunggal, Intan, selamat bernikah dengan jejaka pilihan hati, Mohd Aizam Yahya, 25.

Dengan sekali lafaz, Intan sah bergelar isteri kepada Mohd Aizam yang juga penjawat awam di sebuah premis acara di Jalan Ampang. Pasangan ini dinikahkan bapa pengantin perempuan, Saleh Abu dengan disaksikan lebih 100 tetamu.

Bercerita lebih lanjut mengenai perkenalan dengan suaminya, Intan yang berasal dari Segamat, Johor berkata, dia mengenali Mohd Aizam melalui seorang rakan.

Tertarik sikap pemaaf suami

Intan berkata, sudah menjadi pendiriannya mahu mencari pasangan yang dapat menerima dirinya dan anak-anak.

“Alhamdulillah keluarga mentua juga menerima saya dalam hidup mereka. Selain terpikat dengan gelagatnya pandai melayan anak-anak, saya tertarik dengan sikap suami yang pemaaf.

“Sepanjang kami berkawan, setiap hari sebelum tidur, dia hubungi saya untuk meminta maaf,” katanya.

Pernah melalui episod kegagalan rumah tangga, Intan berkata, sikap pemaaf dan mudah mengalah suaminya menguatkan lagi keyakinan untuk memilih lelaki berkenaan sebagai teman hidup.

Anak-anak faham dan seronok 

Ditanya mengenai resepsi perkahwinan, Intan berkata, mereka tidak bercadang menganjurkan sebarang majlis. Malah, mereka tidak memikirkan soal berbulan madu berikutan situasi semasa penularan pandemik COVID-19.

Mengenai penerimaan anak-anak iaitu Arish Muqri, 7, dan Ariq Muqri, 4, Intan berkata, mereka seronok dengan kehadiran Mohd Aizam.

Intan Liana adalah bekas isteri pemuzik Ude atau nama sebenar, Muhammad Radzi Abdul Wahid, yang sebelum ini pernah menarik perhatian ramai dengan kisah pergolakan rumah tangga mereka pada 2017.

Intan yang bercerai dengan Ude pada 2018, sempat bermadu dengan pelakon, Izreen Azminda.

Kredit: BH Online

Anak ada bakat? Sertai Bakat Cilik Pa&Ma sekarang!! Kalau anak-anak ada bakat hebat, janganlah simpan sendiri. Jom, support mereka dengan menyertai Bakat Cilik Pa&Ma. Rakam aksi anak-anak dengan bakat mereka dan hantarkan kepada Pa&Ma.

Nak join? Klik saja https://toko.ideaktiv.com/product/bakat-cilik/ atau untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi https://wa.me/+60179701167

IKLAN