
Dalam Islam sendiri, mendidik anak perlu disertai dengan kasih sayang, hikmah dan kesabaran. Konsep disiplin anak dalam Islam tidak pernah mengajar kekerasan sebagai jalan utama, sebaliknya menekankan pembentukan akhlak, adab dan hubungan emosi yang sihat antara ibu bapa dan anak.
Berikut adalah beberapa cara mendisiplinkan anak tanpa kekerasan, namun tetap berkesan dan selari dengan nilai Islam.
Jeritan “jangan” memang sinonim dengan kehidupan ibu bapa. Namun, perkataan ini sering membuatkan anak menjadi lebih memberontak dan tidak memahami sebab sebenar sesuatu larangan.
Cuba gantikan dengan ayat yang lebih positif dan menenangkan. Contohnya apabila anak bergaduh dan si adik menangis, elakkan terus menjerit. Sebaliknya, panggil kedua-duanya, peluk mereka dan cakap dengan nada lembut.
Anak belajar bukan hanya melalui kata-kata, tetapi melalui contoh. Ibu bapa adalah guru dan role model utama. Apa yang kita tunjukkan dalam kehidupan seharian, itulah yang akan mereka tiru.
Memukul anak bukan penyelesaian jangka panjang. Hari ini dipukul, esok kesalahan yang sama mungkin akan berulang. Dalam konteks disiplin anak dalam Islam, mendidik perlu dilakukan dengan penuh hikmah dan kesedaran.
Jika sekalipun wujud perbincangan ulama tentang hukuman fizikal, syaratnya sangat ketat dan tidak boleh mencederakan atau menimbulkan trauma. Hakikatnya, anak yang dibesarkan dengan kasih sayang akan lebih mudah mendengar kata berbanding anak yang hidup dalam ketakutan.
Apabila anak berkelakuan baik, jangan kedekut dengan pujian. Lebih-lebih lagi apabila berada di rumah saudara atau ketika menerima tetamu.
Pujian di hadapan orang lain membuatkan anak rasa dihargai dan disayangi. Pelukan dan sentuhan kasih sayang juga sangat penting kerana ia membantu perkembangan emosi yang lebih stabil.
Tidak semua cara didikan generasi terdahulu sesuai dengan cabaran hari ini. Dunia anak-anak sekarang sangat berbeza, dipenuhi dengan gajet, teknologi dan pengaruh luar.
Dengan memahami perkembangan emosi dan psikologi anak, ibu bapa dapat mempraktikkan disiplin anak dalam Islam dengan lebih realistik dan berkesan tanpa tekanan melampau.
Ganjaran bukan bermaksud rasuah. Ia adalah penghargaan terhadap usaha anak. Apabila anak berkelakuan baik atau berusaha memperbaiki diri, berikan pujian dan kata-kata semangat.
Ganjaran boleh berbentuk masa berkualiti bersama ibu bapa atau aktiviti yang anak gemari, selagi ia tidak memudaratkan perkembangan mereka.
Anak-anak sebenarnya penuh dengan tenaga dan imaginasi. Jika mereka melakukan sesuatu yang tidak sesuai, alihkan tumpuan mereka kepada aktiviti yang lebih selamat dan bermanfaat.
Kaedah ini membantu ibu bapa mengawal situasi tanpa perlu meninggikan suara atau menggunakan kekerasan.
Apabila anak melakukan kesalahan, jelaskan akibat secara logik dan tenang. Contohnya, jika anak menumpahkan air, ajar mereka cara membersihkan dengan betul.
Disiplin positif mengajar anak belajar daripada kesalahan, bukan takut kepada hukuman. Inilah asas sebenar disiplin anak dalam Islam yang menekankan pendidikan hati dan akhlak.
Ajar anak memberi salam, menghormati orang yang lebih tua dan menjaga adab dalam percakapan. Semua ini adalah asas akhlak yang sangat dituntut dalam Islam.
Mendidik anak memang mencabar. Namun dengan kesabaran, doa dan kasih sayang yang konsisten, insya-Allah anak-anak akan membesar menjadi insan yang baik, seimbang dan berakhlak mulia.