Keibubapaan

Displasia Pinggul Kanak-Kanak: Diejek Jalan Itik, Kasih Ibu Jadi Kunci Pemulihan

Share

Siapa sangka, kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dari Bijie, Wilayah Guizhou, China kini mampu berjalan dengan stabil selepas menjalani rawatan pemulihan akibat displasia pinggul kanak-kanak atau Developmental Dysplasia of the Hip (DDH) sejak usia setahun.

Sebelum ini, kanak-kanak yang dikenali sebagai Tiantian sering jatuh ketika berjalan. Cara jalannya kelihatan bertongkat-tongkat dengan badan bergoyang ke kiri dan kanan, berbeza daripada kanak-kanak seusianya. Keadaan itu bukan sahaja membimbangkan ibu bapanya, malah mengundang pandangan dan ejekan orang sekeliling apabila berada di tempat awam.

Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dari Bijie, Wilayah Guizhou, China kini mampu berjalan dengan stabil selepas menjalani rawatan pemulihan untuk dysplasia pinggul.

Puas Berulang Alik Ke Hospital Cari Jawapan

Ibunya, Wu, membawa Tiantian mendapatkan rawatan di tiga buah hospital di ibu negeri Guizhou, Guiyang sebelum akhirnya anaknya didiagnosis mengalami displasia pinggul kanak-kanak

. Menurut doktor, sendi pinggul Tiantian tidak terbentuk dengan sempurna, menyebabkan pergerakannya tidak stabil dan sukar untuk berjalan seperti kanak-kanak lain.

Doktor di hospital tersebut mencadangkan agar Tiantian menjalani pembedahan pada usia tiga tahun bagi membuang sebahagian tulang pinggul. Namun, Wu dan suaminya tidak berpuas hati dan merasakan masih ada pilihan rawatan lain yang kurang invasif serta lebih sesuai dengan usia anak mereka.

Pilih Terapi, Bukan Pembedahan

Pasangan ini kemudian membawa Tiantian ke sebuah hospital terkemuka di Nanjing, Wilayah Jiangsu. Di sana, doktor mencadangkan rawatan terapi manipulatif dan pemulihan berterusan tanpa pembedahan buat masa itu, memandangkan usia Tiantian masih kecil dan rawatan awal masih berpotensi memberi kesan positif.


DDH-illustration

Sejak itu, Wu memainkan peranan besar dalam membantu proses pemulihan anaknya yang mengalami displasia pinggul kanak-kanak. Dia menggalakkan Tiantian untuk berjalan sebanyak mungkin, berdiri sendiri setiap kali terjatuh dan tidak terlalu bergantung pada bantuan orang dewasa.

Bagi menaikkan semangat anak kecil itu, Wu memberi ganjaran berupa mainan kecil setiap kali Tiantian menunjukkan kemajuan walaupun sedikit. Pendekatan ini membantu membina keyakinan diri Tiantian secara perlahan-lahan.

Kreatif Latih Anak Setiap Hari

Wu turut menggunakan kaedah praktikal dan kreatif untuk latihan harian. Antaranya, dia berjalan dalam keadaan membongkok di hadapan Tiantian supaya anaknya berpaut pada bahagian belakangnya sebagai sokongan ketika belajar berjalan.

Selain itu, mereka sekeluarga turut bermain “permainan itik”, di mana Tiantian menjadi anak itik, Wu sebagai ibu itik, manakala abang dan kakak Tiantian turut serta. Permainan ini bukan sahaja melatih otot pinggul dan kaki, malah menjadikan sesi terapi lebih menyeronokkan untuk kanak-kanak seusia Tiantian yang berdepan displasia pinggul kanak-kanak

.

Latihan pengukuhan otot dilakukan setiap hari tanpa gagal, termasuk ketika cuti Tahun Baru Cina, menunjukkan komitmen tinggi keluarga ini terhadap proses pemulihan anak mereka.

Diejek, Tapi Kasih Sayang Jadi Kekuatan

Rakaman video yang dikongsi di media sosial menunjukkan perkembangan Tiantian dari masa ke masa sehingga akhirnya pada bulan September, dia tidak lagi perlu memakai brace ortopedik.

Wu mengakui, sepanjang tempoh itu ramai yang memandang dan mengejek cara berjalan anaknya di tempat awam. Namun dia memilih untuk kekal optimis dan memberikan kasih sayang sepenuhnya kepada Tiantian tanpa menghiraukan kata-kata negatif.

“Ramai orang kata saya ibu yang hebat, tapi sebenarnya saya hanya melakukan apa yang seorang ibu sepatutnya lakukan,” katanya dengan penuh rendah hati.

Kepentingan Rawatan Awal

Pakar menegaskan bahawa kanak-kanak yang menunjukkan simptom displasia pinggul kanak-kanak perlu menjalani pemeriksaan seawal mungkin. Rawatan awal mampu mengelakkan komplikasi jangka panjang seperti masalah berjalan kronik dan kesakitan sendi apabila dewasa kelak.

Secara umum, proses pemulihan DDH boleh mengambil masa sekitar setahun, bergantung kepada tahap keseriusan dan konsistensi rawatan yang dijalankan oleh ibu bapa serta sokongan profesional kesihatan.

Perkongsian ini menjadi peringatan penting buat ibu bapa agar tidak memandang remeh sebarang perubahan pada cara berjalan atau pergerakan anak. Setiap usaha kecil, jika dilakukan dengan penuh kesabaran dan kasih sayang, mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan si kecil.

BACA LAGI : Cara Guna Baby Carrier Dengan Betul: Elak Risiko Kecederaan Pinggul Bayi

Sumber : SCMP

Published by
Nana