
Tidak semua kelahiran berlaku dengan mudah. Bagi sebahagian ibu, setiap kali melahirkan anak, mereka perlu melalui pembedahan caesarean (C-section) iaitu satu prosedur besar yang melibatkan risiko kepada rahim dan kesihatan keseluruhan.
Bila sudah tiga kali melalui pembedahan ini, ramai ibu tertanya-tanya mengapa doktor mula menasihati mereka untuk mempertimbangkan prosedur ikat selepas czer, atau nama perubatannya bilateral tubal ligation (BTL). Adakah ia bermaksud tidak boleh hamil lagi? Atau sekadar langkah keselamatan?
Baru-baru ini, Dr. Malar Santhi Santherasegapan, seorang doktor dan pempengaruh kesihatan media sosial terkenal, berkongsi penjelasan penting di platform Threads bersama Dr. Lisa Eik Lee Cil Cah, pakar sakit puan dari sebuah hospital swasta di Cheras.
Mereka menjelaskan bahawa selepas tiga kali pembedahan caesarean, risiko komplikasi meningkat dengan ketara bukan sahaja semasa pembedahan, tetapi juga pada kehamilan seterusnya.
Menurut mereka, antara risiko utama yang sering menjadi pertimbangan doktor ialah:
Dr. Malar menjelaskan, saranan untuk melakukan ikat selepas czer bukan bertujuan menafikan rezeki atau menutup peluang hamil, sebaliknya demi keselamatan dan kesihatan ibu yang telah melalui banyak pembedahan besar.
“Atas faktor keselamatan ibu, kebanyakan doktor akan mencadangkan untuk melakukan BTL selepas pembedahan kali ketiga,” kata Dr. Malar.
“Namun, keputusan akhir tetap bergantung kepada ibu dan pasangan selepas berbincang dengan doktor pakar obstetrik dan ginekologi (OBGYN).”
Prosedur BTL ini biasanya dilakukan serentak semasa pembedahan caesarean terakhir, bagi mengelakkan risiko pembedahan berulang. Ia bersifat kekal, jadi keputusan perlu dibuat dengan penuh pertimbangan dan persetujuan bersama pasangan.
Dalam ruangan komen perkongsian Dr. Malar, ramai wanita tampil berkongsi pengalaman peribadi mereka menjalani prosedur ikat selepas czer selepas tiga kali pembedahan caesarean.
“Kehamilan ketiga saya dirancang sebagai elective c-section dan doktor cadangkan BTL. Ramai terkejut sebab usia baru 30-an, tapi saya dan suami sepakat. Badan kita, kita yang jaga,” kongsi seorang pengguna.
“Saya pula dah tiga kali czer, tapi doktor tak mahu ikat sebab luka cantik dan sembuh elok. Katanya boleh cuba lagi sebab anak semua lelaki. Tapi saya rasa cukuplah tiga,” tulis seorang lagi ibu.
Ada juga ibu yang tidak disarankan melakukan BTL kerana keadaan rahim masih baik, dan mereka hanya dinasihatkan menggunakan peranti intrauterin (IUD) untuk menjarakkan kehamilan.
Menariknya, ramai warganet berpendapat bahawa topik seperti risiko selepas banyak kali caesarean dan pilihan perancangan keluarga ini sepatutnya diterangkan lebih awal — contohnya ketika kursus praperkahwinan atau sesi kaunseling keibubapaan.
“Dicadangkan ketika kursus kahwin diselitkan penerangan begini supaya bakal suami dan isteri sama-sama faham. Bukan sekadar topik ringan yang buat peserta segan,” tulis seorang pengguna Threads.
Setiap ibu berhak membuat pilihan yang terbaik untuk diri dan keluarganya. Prosedur ikat selepas czer bukanlah hukuman atau penafian terhadap rezeki anak, tetapi satu langkah keselamatan apabila risiko kehamilan semakin tinggi.
Bincanglah dengan doktor pakar, fahami kondisi tubuh dan buat keputusan dengan tenang. Apa jua pilihan, yang paling utama adalah nyawa dan kesihatan ibu kerana di situlah bermulanya kasih, kekuatan dan kebahagiaan seisi keluarga.